Tuesday, 2 June 2020

Tidak Perlu Mendabik Bahawa Diri Inilah Hidup Paling Susah Di Dunia

Hidup ini, tidak perlu kita mendabik dada bahawa hidup kita inilah yang paling susah dan hanya kitalah orang yang paling perit melalui pengalaman yang menderitakan. Orang lain pun ada je masalah tersendiri. Sama ada kita tahu atau tidak. Sama ada orang itu cerita atau tidak. Atau kalau cerita pun, ia tak sebanding apa yang dia benar-benar lalui. Itu je.

Kita masing-masing ada kesusahan dengan bentuk tersendiri Janganlah sebab kita mengalami kesempitan kewangan, lalu kita anggap orang lain yang kaya raya tidak ada masalah dalam hidupnya. Mereka mungkin sahaja ada masalah lain seperti hubungan kekeluargaan yang retak, diuji anak yang sakit, kesihatan mental yang tidak stabil dan lain-lain. Kalau mereka tidak ditimpa apa-apa pada waktu itu juga, akan datang, giliran mereka pula. Malah, mungkin giliran mereka pula yang lebih pahit. Kita tidak tahu.

Kadangkala, ada orang yang susah menjadikan pengalaman yang susah pada dirinya sebagai alasan untuk menyalahkan, mempergunakan dan melucutkan serta merampas hak orang yang “kurang” susah atau tidak menempuhi apa yang mereka lalui. pemalas, kurang berusaha, tidak cukup berprestasi dan macam-macam. Disebabkan “kurangnya” kesukaran yang orang itu lalui atau orang itu tidak lalui apa yang mereka lalui, itu juga sebagai cara untuk diamkan mereka yang bersuara.

“Aku dulu macam ini macam itu….ko tau?.”.

Ini selalu sahaja sikap negatif yang ada pada pekerja senior. Disebabkan junior tidak menanggung kepayahan seperti mereka, maka junior akan dibenamkan dan dipijak sesuka mereka. Begitu juga mengurangkan hak mereka untuk dihormati dan diberi layanan adil. Mereka membuat kasta sesama pekerja dengan dasar “siapa yang paling susah dalam kehidupan ini”.

image

Setiap orang ada cabaran kesukaran mengikut peringkatnya. Kanak-kanak ada tahap cabarannya. Dewasa ada tahap cabarannya. Pelajar PT3 ada tahap cabarannya, pelajar SPM ada tahap cabarannya. Tidak perlulah samakan tahap cabaran setiap orang. Kita pun tidak boleh pulas pelajar PT3 untuk fikir dan “levelling” macam pelajar SPM. Sebab kemampuan pelajar PT3 bukan untuk ke tahap itu..

Level 1 lawanlah anak ayam dulu. Sebab itu cabaran yang sesuai dan kadar kemampuan maksimum yang boleh tanggung. Level 100 barulah lawan Raja Diablo tu sebab itulah cabaran yang sesuai untuk level itu. Di mata level 100, memanglah anak ayam itu macam monster boleh sepak macam tu je, tapi tidak sama untuk mereka yang level 1.

Seperti itu jugalah antara junior dan senior. Memanglah junior belum masuk cabaran berkeluarga, sebagai contoh, tapi tak berkeluarga itu pun ada cabaran yang maksimum untuk tahap mereka. Terpulang pada Tuhan macam mana Dia nak uji hamba-Nya. Susah senang semua dalam genggaman-Nya. Kalau nampak dia senang, kenapa nak dengki sangat? Nak heret orang lain susah macam mereka juga? Sebab mereka “kurang susah”, jadi boleh ambil kesempatan dan pergunakan orang lain.

Bersyukurlah atas bahagian masing-masing. Kalau kita susah, Allah nak beri kita rezeki dalam bentuk yang lain. Kalau orang lain senang, mungkin juga sebenarnya dia ada kepayahan lain yang dia tanggung, tetapi kita tidak tahu. Kalau tak ada pun, suatu hari nanti, ada lah cabaran sesuai untuk dia supaya dia boleh level up.

Tidak perlulah mahu merebut kebanggaan bahawa dialah orang yang berkehidupan yang paling susah dalam sesuatu syarikat. Walau macam mana pun hidup seseorang itu, asalkan dapat berkhidmat untuk masyarakat, tidak menyusahkan orang dan jaga reputasi syarikat, sudah memadai.

https://www.facebook.com/photo.php?fbid=3054612631255976&set=pb.100001218067654.-2207520000..&type=3&theater

No comments:

Post a Comment