Tuesday, 2 June 2020

Tawakkal Itu Sepertimana Kita Tidur

Tawakkal itu sepertimana kita tidur.

Selagimana kita berusaha untuk tawakkal, selagi itulah bukan tawakkal sepertimana kalau seseorang berusaha untuk tidur, maka dia tidak akan tertidur. Mindanya lapang dari segala macam fikiran dan jiwa telah pun pasrah untuk berbaring, lalu atas sebab itulah seseorang itu mulai tertidur.

Tidak tergambar lagi bagaimana kita telah berpindah dari alam jaga ke alam lena. Tidak sedar pun kita telah berpindah alam. Entah bagaimana proses pemindahan, kita pun tidak tahu. Apa yang penting, pada awalnya kita sudah merelakan diri untuk tidur dan rela dibawakan ke mana sahaja.

Seseorang pandai ilmu tentang tidur pun tetap tidak berguna jika tidak terealisasi dalam praktik realitinya. Pengetahuan tersebut tersemat ke dadanya, lalu hidup dalam nafasnya dan mengalir di setiap urat nadinya. Lantas, ilmu itu menjadi bermanfaat baginya.

Demikianlah seseorang yang mengaku mengenal Allah dan mampu ekspresikan dengan konseptual yang jitu serta menghuraikan hakikat tawakkal secara komprehensif, tetapi selagimana jiwa disulami dengan kekotoran dan kebusukan, selagi itulah jiwa itu tidak memaknai erti sinaran kerohanian yang sebenar-benarnya.

image

Pandangan matanya tertumpu kepada selain tajalli-Nya dan mulai bersandar pada alam khayalan itu. Lantas, dia terjauh daripada kesedaran terhadap Allah yang menggenggam dirinya dan mendegupkan jantungnya.

Atas sebab itulah hanya jiwa yang muak terhadap penyaksian yang hampa dan minda yang telah bersih daripada pergantungan dunia itu, maka berhaklah dia mendapat pelawaan Allah sebagai tetamu-Nya yang dialu-alukan.

Kalau si hamba enggan untuk bertawakkal secara rela, maka Tuhan akan heret dia agar si hamba itu terpaksa bertawakkal. Sepertimana seseorang diberikan bius tidur, lalu orang itu tertidur, seperti itu jugalah Tuhan akan berikan dos cubaan bagi hamba-Nya agar dia mulai bertawakkal kepada-Nya.

Jika masalah tidur ada ahli terapinya, maka masalah jiwa juga ada mursyidnya. Maka, mursyid akan membimbing seseorang agar murid mencapai suasana tidur yang tenteram, seterusnya kepada kenikmatan dalam tidur yang lena.

Jika tidak, barangkali ahli perubatan akan bantu untuk memberikan bius atau pil supaya seseorang tertidur bergantung kepada kebijaksanaan ahlinya.

Namun, proses ini sekadar mengurangkan masalah yang ada, bukan memulihkan sepenuhnya. Kerana berterusan sedemikian merupakan mudarat bagi pesakit. Akhirnya, mengikut sistem alam yang ditentukan oleh Tuhan untuk hamba-Nya satu-satunya kaedah yang sejahtera untuk hamba-Nya.

https://www.facebook.com/photo.php?fbid=2969772913073282&set=a.2757481107635798&type=3&theater

No comments:

Post a Comment