Tuesday, 2 June 2020

Setiap Orang Ada Ruang Keterbukaan Diri Masing-masing

Ada seorang rakan sekelas aku, antara yang rapat dengan aku dan sentiasa terbuka untuk menceritakan apa yang dia rasa dalam jiwanya. Semasa kami berborak dengannya tentang pelbagai topik, dia ada kata pada aku, “Saya sendiri belum berani untuk beritahu apa matlamat sebenarnya saya mahu belajar”. Aku pun tertanya mengapa serapat kita pun, masih ada pintu yang belum terbuka untuk kita. Kemudian, entah kenapa aku teringat petikan yang ini.

Ada seorang rakan sekelas aku, antara yang rapat dengan aku dan sentiasa terbuka untuk menceritakan apa yang dia rasa dalam jiwanya. Semasa kami berborak dengannya tentang pelbagai topik, dia ada kata pada aku, “Saya sendiri belum berani untuk...

Sekarang, barulah aku faham bahawa kita semua ada empat lapisan dalam menzahirkan siapa diri kita. Pertama, lapisan yang kita biarkan dan memang kita benarkan untuk sesiapa pun mengetahuinya. Kedua, lapisan yang kita hanya kongsi kepada yang terhad dan yang terpilih sahaja atau orang yang khusus atau orang yang rapat sahaja boleh dan dapat mengetahuinya. Lapisan, yang kita simpan untuk diri kita sendiri. Hanya kita dan Tuhan sahaja tahu. Bagi saya, ada satu lagi tambahan melalui petikan kata-kata di gambar ini, iaitu lapisan keempat merupakan lapisan fleksibel. Iaitu boleh untuk umum, tetapi dalam ruangan dan bulatan yang terpilih. Nanti saya akan susulkan kenapa adanya lapisan ini.

Kita perlu hormati hak kerahsiaan seseorang. Kalau dia tidak mahu, tidak perlu soal siasat macam polis. Kalau dia berlapik pun, faham-faham sendirilah. Tidak perlu ungkapkan secara nyata tanpa keperluan. Kalau kita beritahu jelas-jelas, mungkin dia akan “terancam” sebab dia masih ingin simpan rahsia. Dia mungkin mahu kau faham sendiri, simpan sendiri dan usah buat serabut pada aku. Kalau terdedah pun, itu bukan bermakna kita boleh ceritakan pada orang lain sesuka hati kita biarpun orang itu kita selisih dan benci.

Kadangkala kita persoalkan “kenapa dengan orang lain macam ini, tetapi dengan aku macam ini, hipokritkah dia ini?”. Kita perlu memahami kadangkala kita perlu sesuaikan diri kita mengikut individu. Kalau dengan konservatif, kita kena sesuaikan cara konservatif. Kalau dengan budak funki, kita cuba sesuaikan cara funki. Dengan orang muda, kita sesuaikan dengan jiwa muda mereka. Dengan orang tua, kita mendekati sepertimana ibu bapa kita. Dengan orang jahat, ada caranya. Dengan orang baik pun ada caranya. Semampu yang boleh. Ibarat masuk kandang kambing, kita mengembek. masuk kandang lembu, kita mengembu.

Selagimana kita bukan seorang yang “menyanggah antara dua fakta bertentangan” demi kepentingan yang tidak bermaruah, maka inilah yang tidak dipermasalahkan. Sebab tidak sama tahap keterbukaan rahsia, maka sebab itu pendekatan juga tidak sama. Perlukah kita ceritakan rahsia diri kepada orang yang tidak mahu hargai dan terbuka untuk menerima kita seadanya? Perlukah kita justifikasikan tentang diri kita kepada orang yang akhirnya memperguna dan mengumpan kita? Perlukah kita pamerkan “diri kita yang sebenarnya” kepada orang yang tidak peduli dan menyakiti kita?

Lapisan-lapisan ini sememangnya ada dan normal kerana ia adalah “atmosfera semulajadi” dalam diri manusia. Kalau tiada lapisan ini dalam kehidupan, ia mampu menimbulkan banyak masalah. Antaranya, seorang pemimpin perlu sembunyikan kelemahan dirinya daripada orang yang dia pimpin supaya keyakinan mereka yang dipimpin terhadapnya terus terbina dan mengelakkan diri daripada diambil kesempatan. Misal yang lain adalah apabila seseorang hidup dalam budaya atau adat berlainan dan sangat sensitif jika berlaku penyelisihan. Kalau kita zahirkannya atau sememangnya tiada langsung lapisan ini, keterbukaan itu mampu menyinggung masyarakat di sana apabila ia menyalahi adat dan budaya mereka. Itulah pentingnya ada lapisan ini dalam kehidupan kerana ia dapat menjadi pelindung dari bahaya pandangan orang lain.

Namun, kadangkala lapisan ini boleh dimanipulasikan untuk kepentingan yang bejat. Misalnya, seorang pemohon memohon jawatan sedangkan ia tidak layak dan kompeten untuknya. Namun, dia menyembunyikan kekurangannya dan aibnya seperti kesihatannya, latar belakang pendidikan dan lain-lain supaya ia mendapat apa yang dia mahu daripada jawatan itu ketikamana dia disoal selidik dan ditemu duga.

Walau apapun, hakikatnya manusia memang ada lapisan-lapisan ini dan kita perlu akui walaupun kita suka ataupun tidak. Lapisan inilah yang membezakan antara “aku”, “dia”, “mereka” dan “kita”. Di sinilah antara titik kepelbagaian personaliti manusia. Semakin dalam lapisan, bukan bermakna semakin “gelap” personaliti seseorang meski ia tidak dinafikan ada bahagian daripadanya. Kadangkala ia adalah tempat yang terang dan damai, tetapi mungkin taman itu bukan ditamu untuk kita. Akan tetapi, hormatlah hak kerahsiaan masing-masing. Kalau tidak diundang pun, dunia masih luas. Akhir pencapaian kita bukanlah sepatutnya untuk tahu apa yang di balik pekung seseorang, tetapi memahami manusia dengan pengertian yang mulia.

https://www.facebook.com/photo.php?fbid=2767719196611989&set=a.2757481107635798&type=3&theater

No comments:

Post a Comment