“Selagimana dia dapat lunaskan dendam, selagimana dia ada keinginan yang kuat, jawatan dan status tidak penting baginya”.
Saya mula tertanya-tanya, kalau seseorang tidak peduli apa jawatan yang dia pegang asalkan dapat tunaikan dendamnya yang membara di hatii, bagaimana dengan kebahagiaan di jiwa? Adakah ia wujud juga pada jawatan dan status?
Sebenarnya setiap orang tidak sama kebahagiaan yang dia capai dalam kehidupan dan apa yang dimaknai dengan kebahagiaan itu saling berbeza mengikut perspektif individu. Ia bukan apa yang digambarkan dari pandangan ekstrinsik, tetapi apa yang dikecapi oleh jiwa yang telah damai menemukannya.
Ada orang lebih suka memilih untuk bertahan di negara yang huru-hara walaupun dia ada peluang untuk berhijrah ke tempat yang lebih aman. Ada orang lebih rela dan mampu bertahan dengan hubungan jarak jauh . Ada orang lebih bersyukur di suasananya yang kemiskinan dan sekadar cukup-cukup sahaja walaupun dia berhak mendapat bantuan dan diberikan pembelaan. Setiap kondisi yang susah pun, seseorang itu seperti tidak ada masalah untuk berkeadaan itu walaupun peluang yang lebih cerah ada untuk mereka.
Kadangkala kita pun akan kehairanan mengapa mereka tetap bertekad dan tidak berganjak di kondisi yang kita sendiri tidak sanggup melihatnya, apatah lagi merasainya. Namun, sebenarnya ada kebahagiaan yang telah mereka kecapi di sebalik keadaan mereka itu. Ia tersembunyi di mata, tetapi wujud di hati dan hanya orang yang meneroka di sebalik itu akan menjadi sebab kebahagiaan itu dirasai di jiwa. Gila dipandang, indah apabila ia bertandang.
Mungkin kadangkala kita tidak dapat apa yang dimahukan, lalu kita merasa kita berjauhan dan kekosongan dari bahagia. Sebenarnya, kebahagiaan mungkin ada di situ, tetapi kita tidak menerokanya atau mungkin kita masih tidak nampak. Mungkin sahaja kita akan nampak kebahagiaan itu pada 20 tahun akan datang selepas kita melalui dan merentasi perjalanan hidup yang panjang. Setelah kita capai apa yang kita mahukan, barangkali kita akan mengenang bahawa betapa saat dia berkeadaan dahulu yang kita kekontangan dari apa yang dia hajati sebenarnya itulah yang memenuhi keperluan jiwanya dan kita sangat berharap agar kembali pada keadaan itu.

Walau apapun kamu menjadi, di mana sahaja bumi yang kamu pijak dan apa jua keadaan yang kamu hadapi, bahagia itu wujud. Kalau suasana tidak begitu baik, bukan bermakna kebahagiaan itu tiada. Kalau suasana aman pun, itu pun belum tentu bahagia. Kelazatan bukan semestinya kebahagiaan. Apa itu bahagia? Itu bergantung pada definisi yang kamu berikan. Saya mungkin boleh berkongsi jalan untuk mencapai kebahagiaan yang telah saya sampai dan mendefinisikan bahagia kepada kamu, tetapi adakah itu yang kamu mahukan? Kebahagiaan itu unik untuk setiap individu.
Temukanlah. Itulah pemaknaan yang sejati yang menjadi sebab kamu dilahirkan di dunia. Apabila kamu temuinya, kamu akan merasai bahawa eksistensi keberadaan kamu di sini lebih beruntung dan memberi kenikmatan berbanding ketidakwujudan kamu
No comments:
Post a Comment