"Banyak amalan sunnah yang tidak akan sempat kita lakukan semuanya, mengapa pula mahu sibuk dengan amalan-amalan rekaan?"
Saya pada awalnya tidak begitu mengambil endah atau berfikir sejenak untuk memerhatikan benar atau tidak ungkapan ini. Kemudian, entah kenapa, saya tiba-tiba terasa ingin jenguk buku kecil Ḥisnul Muslim yang mengumpulkan doa dan zikir yang warid daripada Rasulullah. Saya cuba ingin melihat amalan yang dilakukan selepas solat serta sebelum tidur. Rupanya sangatlah banyak. Kalau ingin diamalkan kesemuanya, mungkin sahaja memakan masa yang agak lama. Tiba-tiba saya teringat dengan kata-kata ini. Pada masa itu jugalah saya cuba mengambil inisiatif untuk meneliti keabsahan kata-kata ini.
Penulisan ini adalah membuktikan bahawa kata-kata seperti itu ada asasnya. Bahawa kita akan sibuk dengann sunnah sehingga tidak begitu sempat dengan amalan "rekaan". Dalam kesempatan ini juga, saya juga perkenalkan beberapa amalan harian yang kita boleh sibuk dengannya yang kita boleh beramal dengannya.
Perlu saya ingatkan bahawa saya tidak ada tujuan sama sekali ingin membuka pertengkaran antara aliran salafi dan selainnya. Saya sekadar untuk menyatakan bahawa kenyataan ini benar sambil tidak menyalahkan atau meremehkan pihak yang ada mengamalkan amalan "rekaan". Harap dibaca dengan tenang dan minda terbuka.
Kita mulakan dengan tidur dahulu. Kalau ikut saranan ahli kesihatan, tempoh tidur yang terbaik adalah tempoh 7-9 jam bagi orang dewasa. Ini kalau betul-betul kita mahu mengikut sunnah dengan cara mengambil kira pandangan ahlinya, kita mungkin ambil 7 jam sehari. Maksudnya tidur 7 jam sehari adalah sunnah dengan mengikut saranan pakarnya. Baki sehari tinggal 17 jam. Baiklah, kita tidak mahu dengar kata mereka. Kita tidur 5 jam sehari. Maka ada 19 jam berbaki. Ini kita andaikan kalau kita jenis yang tidak terlajak tidur atau mudah terlelap atau cepat mengantuk.
Kemudian, sehari mestilah ada menuntut dan mempelajari ilmu. Menuntut ilmu termasuk amalan sunnah. Akses pembacaan digital semakin mudah dan kuliah dalam talian semakin melimpah dan bertebaran. Yang beruntung ada buku di rumah, boleh manfaatkannya. Itu tidak ditambah lagi dengan kuliah pengajian yang di luar.
Baiklah, kita mungkin akan habiskan sekurang-kurangnya sejam untuk membaca dan dua jam untuk kuliah. Jadi, campur dengan tidur dengan 5 jam tadi, dapatlah 8 jam dan bakinya 16 jam. Ini kita andaikan kalau kita ini jenis malas mengaji. Manalah tahu tiba-tiba suatu hari jadi rajin, jadilah 2 jam untuk membaca dan 4 jam dengan kuliah. Pandai-pandailah tambah jam yang telah diperuntukkan dan tolak jam yang berbaki. Kalau yang ingin ambil nasihat pakar untuk tidur 7-9 jam sehari, bagaimana pula?
Kemudian, kita pergi pula kepada pembacaan al-Quran. Kita disarankan untuk menghabiskan bacaan al-Quran setiap bulan[1]. Maksudnya, setiap hari kita perlu membaca satu juzuk. Kalau satu bulan itu ada 29 hari, pandai-pandailah fikir. Kalau mahu khatam lebih sekali dalam masa sebulan pun tidak mengapa. Ia diizinkan.
Baiklah, macam mana pembacaan al-Quran anda? Terkial-kial lagi? Baru bertatih? Sudah lancar? Ini akan mempengaruhi faktor pemakanan masa. Bagaimana pula tahap kelajuan bacaan anda bagi yang sudah lancar? Dalam kelajuan pembacaan al-Quran, ada taḥqīq, ḥadar, tadwīr dan tartīl. Mana satu pilihan anda? Ini juga pun mempengaruhi faktor pemakanan masa.
Katakan kita ambil bacaan taḥqīq, yang paling perlahan dalam kelajuan pembacaan al-Quran. Mungkin sekali semasa membaca al-Quran, kita mahu berfikir dan merenung setiap makna dan pemahaman pada lafaz al-Quran tanpa tertinggal walau satu huruf pun. Lalu, dalam bacaan tajwid, kita ambil bacaan harkat yang paling panjang. Madd jāʾiz munfaṣil sebanyak 5 harkat, madd lāzim muttaṣil 6 harkat, madd ʿāriḍ lissukūn 6 harkat dan madd līn 6 harkat. Agak-agaknya berapa lama boleh habis untuk satu juzuk dalam masa sehari? Itu baru satu juzuk. Kalau dua juzuk? Tiga juzuk? Empat juzuk? Berapa jam sudah memakan masa?
Kemudian, solat sunat pula. Untuk bab rakaat solat sunat ini, saya merujuk kitab al-Mawsūʿah al-Fiqhiyyah al-Muyassaroh Fī Fiqh al-Kitāb Wa as-Sunnah al-Muṭohharoh karya Ḥusayn bin ʿAwdah dengan hanya mengambil isi yang penting sahaja. Saya ambil solat sunat yang dikerjakan secara harian.
Solat sunat ini sangat digalakkan untuk berdiri lama[2]. Kalau mahu kira lamanya solat Rasulullah SAW, ʿAisyah RA pernah berkata tentang solat malam baginda: "Jangan engkau tanya bagaimana bagus dan panjang solatnya"[3].
Panjangnya solat malam baginda, dalam satu rakaat boleh habis Surah al-Baqarah, Surah Āli ʿImrān dan an-Nisāʾ!!!!! Kemudian, tempoh lama rukuk sama seperti berdirinya, iktidal sama seperti rukuknya dan sujud sama lama seperti berdirinya!!![4] Maksudnya, boleh cecah kira-kira tiga jam hanya untuk berdiri sahaja!!!! Kalau tambah dengan rukuk yang sama lama dengan berdiri, iktidal yang sama lama dengan rukuk dan sujud sama lama dengan berdiri, bagaimana pula masa telah kita ambil? Ia bergantung juga pada kelajuan bacaan dan pilihan panjang harkat pembaca.
Perlaksanaan solat malam yang biasa baginda lakukan adalah 11 rakaat[5]. Kadangkala, 13 rakaat[6]. Hanya untuk solat malam sudah makan masa yang banyak. Kalau kita betul-betul ingin ikut secara bulat-bulat, barangkali tidak sempat untuk tidur waktu malam.
Itu waktu malam. Kemudian, kita pergi waktu siang pula. Solat sunat Ḍhuḥā dikerjakan sebanyak 8 rakaat[7]. Sudahkah anda mengerjakannya hari ini? Kemudian, solat sunat Qobliyyah dan Baʿdiyyah pada setiap waktu solat. Iaitu, dua rakaat sebelum subuh, empat rakaat sebelum Zohor, empat rakaat selepas Zohor, empat rakaat sebelum Asar, dua rakaat sebelum Maghrib, dua rakaat selepas Maghrib, dua rakaat sebelum Isyak dan dua rakaat selepas Isyak[8]. Banyak sangatkah untuk mengamalkannya setiap hari?
Dan kita perlu tahu bahawa doa ketika sujud[9] dan sebelum salam, iaitu selepas membaca tahiyyat akhir[10] adalah digalakkan. Jika solat fardu berjemaah, barangkali kita tidak sempat untuk memperuntukkan banyak masa untuk membaca surah panjang, apatah lagi untuk berdoa kerana mengambil kira keadaan jemaah. Itu juga bergantung kepada imam.
Apapun, mengapa tidak kita lakukannya dalam solat sunat? Sudah tentu solat kita akan jadi panjang. Tambah lagi jika kita memenuhi saranan untuk memanjangkan berdiri. Jadi, sudah berapa lama masa akan diambil sepanjang solat sunat? Satu solat sunat sudah berapa lama? Kalau melaksanakan 12 rakaat solat sunat, berapa lama pula?
Kemudian, kita pergi ke zikir pula. Kalau kita telaah buku Ḥisnul Muslim[11], semak bahagian zikir pagi dan petang serta zikir sebelum tidur. Banyak senarainya! Tengoklah sendiri kalau tidak percaya. Maksudnya, pagi dan petang pun sudah sibuk dengan zikir. Kalau malam pula, rasanya belum sempat untuk habiskan zikir, mungkin sudah pun terlelap. Itu belum lagi dengan zikir selepas solat dan zikir waktu lain.
Kita juga ada beberapa zikir yang warid daripada Rasulullah SAW yang boleh diulang-ulang tanpa had. Contohnya :
(a) Yā Ḏzal Jalāl Wal Ikrōm[12] (يَا ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ).
(b) Subḥānallahi Walḥamdulillah Walā Ilāha IIlallāhu Wallāhu Akbar[13] (سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلهِ وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ).
(c) Subḥānallahu Wabiḥamdihi ʿAdada Kholqihi Wariḍhō Nafsihi Wazinata ʿArsyihi Wa Midāda Kalimāti[14] (سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ عَدَدَ خَلْقِهِ وَرِضَا نَفْسِهِ وَزِنَةَ عَرْشِهِ وَمِدَادَ كَلِمَاتِهِ).
(d) Subḥānallāhi Wabiḥamdihi Subḥānallah al-ʿAẓīm[15] (سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ سُبْحَانَ اللَّهِ الْعَظِيمِ).
(e) Lā Ilāha Illā Anta Subḥānaka Innī Kuntu Minaẓ Ẓōlimīn[16] (لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ).
Malah, terdapat beberapa firman Allah Taʾālā dalam al-Quran menyebutkan: "Sebutlah nama Tuhanmu". Maksudnya, sebutlah nama-Nya sebanyak mana yang anda mahu.
Justeru, kalau kita tidak sempat mengerjakan solat sunat tadi. Kita boleh isi hari kita cukup dengan zikir ini sahaja.
Ini jika diandaikan kita seorang pencen dan tidak bekerja. Bagaimana kalau yang bekerja? Bagaimana pula kalau mereka yang ada atau sibuk dengan aktiviti lain seperti aktiviti kemasyarakatan atau sosial atau peribadi seperti memasak, mengemas rumah dan sebagainya? Ini pula kita andaikan ketika di masa yang senang, bagaimana pula ketika berlakunya kekacauan? Ini juga kita andaikan kita jenis yang ada semangat dan kekuatan untuk istiqamah. Bagaimana jika tiba-tiba rasa jemu menyapa dalam jiwa?
Jangan sangka hanya membaca al-Quran, zikir, doa dan solat sahaja yang dikira amalan sunnah. Mengajak kepada kebaikan, mencegah kepada kemungkaran, mengalihkan duri di tepi jalan, mencari nafkah dan lain-lain juga adalah amalan sunnah. Pekerjaan dan perbuatan harian kita boleh menjadi sunnah dan ibadah jika kita mengikut garis panduan syariat.
Seluruh isi masa kita telah padat dengan amalan sunnah jika ingin mengamalkannya dan konsisten dengannya. Apa yang saya bentangkan ini merupakan sebahagian kecil daripada praktik sunnah harian. Sebagai seorang Muslim, kita wajib perakui bahawa apa yang dicontohkan oleh baginda semestinya yang terbaik.
Pun begitu, saya tidaklah kata amalan "rekaan" seperti doa dan zikir, kita boleh anggap pengamalannya adalah sesat dan menyalahi sunnah secara metodologi. Terutamanya doa. Banyak juga yang kita reka dan tidak ada asal daripada hadis secara literal. Misalnya, apabila seseorang membentangkan penulisan yang terbaik untuk kita. Lalu, kita pun berdoa: "Semoga Allah memberi kebaikan kepada kitab ini". Bukankah ini telah kita reka yang ia sama sekali tidak ada lafaz hadis secara literal untuknya?
Untuk zikir pula, bagi saya, jika ia melibatkan amalan yang berulang kali seperti zikir itu ini diulang beratus kali atau beribu kali, lebih baik tidak perlu dipromosikan. Apatah lagi jika ia cuba dikaitkan dengan perkara ghaib, ini lebih wajar dielakkan. Adalah lebih baik kita sibukkan dengan apa yang telah sampai kepada kita daripada Rasulullah SAW. Kecuali jika ia melibatkan kaedah perubatan atau rawatan melalui bacaan tertentu. Ini tidak mengapa. Jika selain itu, cukuplah dengan apa yang ditunjukkan oleh baginda. Namun, kalau ingin mengamalkan amalan "rekaan" yang dirasakan baik mengikut pemahamanmu pada syariat, maka itu pilihan anda.
Apapun, semoga penulisan ini bukan sahaja dapat memperkenalkan amalan sunnah, tetapi juga menggerakkan motivasi untuk beramal dengan sunnah.
Nota Kaki
[1]Riwayat Muslim :
"Bacalah al-Quran pada setiap bulan".
Syarahan boleh dibaca di sini : http://fiqh-sunnah.blogspot.com/2011/08/182-mengkhatamkan-al-quran-kurang-dari.html
[2]Riwayat Muslim:
"Sebaik-baik solat adalah panjang berdirinya".
[3]Riwayat Muslim :
ما كان رسول الله - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - يزيد في رمضان ولا في غيره على إِحدى عشرة ركعة؛ يصلّي أربعاً فلا تسَلْ عن حُسنهنّ وطولهنّ، ثمَّ يُصلِّي أربعاً فلا تسَل عن حُسنهنّ وطولهنّ، ثمَّ يُصلِّي ثلاثاً"
"Tidak pernah Rasulullah SAW menambahkan 11 rakaat pada bulan Ramadan atau selainnya. Baginda bersolat empat rakaat. Jangan tanya bagaimana bagus dan panjang solatnya. Kemudian, baginda bersolat empat rakaat. Jangan tanya bagaimana bagus dan panjang solatnya. Kemudian, baginda bersolat tiga rakaat".
[4]Riwayat Muslim :
Dari Huḏzaifah, dia berkata: Pada suatu malam, aku salat bersama Nabi SAW, lalu baginda memulai dengan surat al-Baqarah (setelah Al Fatihah). Dalam hati aku berkata: “(Mungkin) baginda akan rukuk setelah sampai seratus ayat”. Namun, ternyata baginda melanjutkan. Dalam hati aku berkata: “(Mungkin) baginda melakukan shalat ini dengan membaca (habis) surat al-Baqarah”. Namun, baginda melanjutkan dengan surat Nisāʾ dan menyelesaikannya. Kemudian, baginda membaca surat Āli ʿImrān dan menyelesaikannya. Baginda membacanya dengan perlahan. Ketika sampai pada ayat tentang tasbih, maka baginda bertasbih, dan ketika sampai pada ayat tentang permohonan, maka baginda memohon. Ketika sampai pada ayat permohonan perlindungan, maka baginda memohon perlindungan.
Setelah itu beliau rukuk dan mengucapkan: "Subḥāna robbiyal ʿaẓīm". Ketika itu rukunya hampir sama dengan berdirinya, lalu baginda mengucapkan “Samiʿallahu liman ḥamidah”. Baginda berdiri lama seperti ketika rukuk. Lalu, baginda sujud dan mengucapkan: “Subḥāna robbiyal aʿlā”. Ketika itu sujud beliau hampir sama dengan berdirinya.
[5]Riwayat Muslim :
ما كان رسول الله - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - يزيد في رمضان ولا في غيره على إِحدى عشرة ركعة؛ يصلّي أربعاً فلا تسَلْ عن حُسنهنّ وطولهنّ، ثمَّ يُصلِّي أربعاً فلا تسَل عن حُسنهنّ وطولهنّ، ثمَّ يُصلِّي ثلاثاً"
"Tidak pernah Rasulullah SAW menambahkan 11 rakaat pada bulan Ramadan atau selainnya. Baginda bersolat empat rakaat. Jangan tanya bagaimana bagus dan panjang solatnya. Kemudian, baginda bersolat empat rakaat. Jangan tanya bagaimana bagus dan panjang solatnya. Kemudian, baginda bersolat tiga rakaat".
[6]Riwayat Muslim :
عَنْ زَيْدِ بْنِ خَالِدٍ الْجُهَنِيِّ ، أَنَّهُ قَالَ : لَأَرْمُقَنَّ صَلَاةَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اللَّيْلَةَ ، " فَصَلَّى رَكْعَتَيْنِ خَفِيفَتَيْنِ ، ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ ، طَوِيلَتَيْنِ ، طَوِيلَتَيْنِ ، طَوِيلَتَيْنِ ، ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ وَهُمَا دُونَ اللَّتَيْنِ قَبْلَهُمَا ، ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ وَهُمَا دُونَ اللَّتَيْنِ قَبْلَهُمَا ، ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ وَهُمَا دُونَ اللَّتَيْنِ قَبْلَهُمَا ، ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ وَهُمَا دُونَ اللَّتَيْنِ قَبْلَهُمَا ، ثُمَّ أَوْتَرَ ، فَذَلِكَ ثَلَاثَ عَشْرَةَ رَكْعَةً " .
Daripada Zaid bin Khalid al-Juhāniy, sesungguhnya dia berkata: "Aku benar-benar mengamati solat Rasulullah SAW pada waktu malam. Baginda bersolat dua rakaat secara ringan. Kemudian, baginda bersolat dua rakaat yang benar-benar panjang. Kemudian, baginda bersolat dua rakaat yang lebih pendek dari sebelumnya. Kemudian, baginda bersolat dua rakaat yang lebih pendek daripada sebelumnya. Kemudian, baginda bersolat dua rakaat yang lebih pendek daripada sebelumnya. Kemudian, baginda bersolat dua rakaat yang lebih pendek daripada sebelumnya. Kemudian, baginda bersolat witir. Maka, itulah tiga belas rakaat".
[6]Riwayat Muslim :
عَنْ زَيْدِ بْنِ خَالِدٍ الْجُهَنِيِّ ، أَنَّهُ قَالَ : لَأَرْمُقَنَّ صَلَاةَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اللَّيْلَةَ ، " فَصَلَّى رَكْعَتَيْنِ خَفِيفَتَيْنِ ، ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ ، طَوِيلَتَيْنِ ، طَوِيلَتَيْنِ ، طَوِيلَتَيْنِ ، ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ وَهُمَا دُونَ اللَّتَيْنِ قَبْلَهُمَا ، ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ وَهُمَا دُونَ اللَّتَيْنِ قَبْلَهُمَا ، ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ وَهُمَا دُونَ اللَّتَيْنِ قَبْلَهُمَا ، ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ وَهُمَا دُونَ اللَّتَيْنِ قَبْلَهُمَا ، ثُمَّ أَوْتَرَ ، فَذَلِكَ ثَلَاثَ عَشْرَةَ رَكْعَةً " .
Daripada Zaid bin Khalid al-Juhāniy, sesungguhnya dia berkata: "Aku benar-benar mengamati solat Rasulullah SAW pada waktu malam. Baginda bersolat dua rakaat secara ringan. Kemudian, baginda bersolat dua rakaat yang benar-benar panjang. Kemudian, baginda bersolat dua rakaat yang lebih pendek dari sebelumnya. Kemudian, baginda bersolat dua rakaat yang lebih pendek daripada sebelumnya. Kemudian, baginda bersolat dua rakaat yang lebih pendek daripada sebelumnya. Kemudian, baginda bersolat dua rakaat yang lebih pendek daripada sebelumnya. Kemudian, baginda bersolat witir. Maka, itulah tiga belas rakaat".
[7]Riwayatal-Bukhari
ما أخبَرني أحدٌ أنَّه رأى النّبيّ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - يصلّي الضّحى إلاَّ أمّ هانئ، فإِنَّها حدّثت أنَّ النّبيّ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - دخل بيتها يوم فتح مكّة، فصلّى ثماني ركعات
"Tidak ada seorang yang mengkhabarkan aku bahawa seseorang pernah melihat Nabi SAW bersolat Ḍhuḥā kecuali Ummu Hāniʾ. Dia menceritakan bahawa Nabi SAW masuk ke rumahnya pada hari pembukaan Makkah, lalu baginda bersolat lapan rakaat".
[8]Dalil-dalilnya boleh rujuk dalam kitab yang telah saya nyatakan tadi.
[9]Riwayat Muslim :
وَأَمَّا السُّجُودُ ، فَاجْتَهِدُوا فِي الدُّعَاءِ ، فَقَمِنٌ أَنْ يُسْتَجَابَ لَكُمْ
"Adapun sujud, maka bersungguh-sungguhlah dalam berdoa kerana ia dekat dengan kemustajaban untuk kalian".
[10]Riwayat an-Nasāʿiy setelah disebutkan tatacara pembacaan tahiyyat :
وَلْيَتَخَيَّرْ أَحَدُكُمْ مِنَ الدُّعَاءِ أَعْجَبَهُ إِلَيْهِ فَلْيَدْعُ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ
"Dan hendaklah salah seorang daripada kalian memilih doa yang mengagumkan kalian, lalu berdoalah kepada Allah ʿAzza Wa Jalla".
[11]Penulisan dalam talian boleh diperoleh di sini : https://www.imadislam.com/hisnulmuslim/
Jika mahukan PDF, sudah berlambak di carian Google. Ia mudah ditemui.
[12]Musnad Aḥmad :
أَلِظُّوا بِيَا ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ
"Setialah dengan Yā Ḏzal Jalāl Wal Ikrōm".
Ibn Manẓūr dalam Lisān al-ʿArob berkata :
أَلظوا أَي الْزَمُوا هَذَا واثبتُوا عَلَيْهِ وأَكثِروا مِنْ قَوْلِهِ والتلفُّظ بِهِ فِي دُعَائِكُمْ
"Aliẓẓū, iaitu lazimilah yang ini, tetaplah dengannya, perbanyakkan dalam penyebutannya dan sebutkanlah ia dalam doa kalian".
[13]Musnad Aḥmad :
إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَى مِنَ الْكَلَامِ أَرْبَعًا : سُبْحَانَ اللَّهِ ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ ، وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ ، فَمَنْ قَالَ : سُبْحَانَ اللَّهِ ، كَتَبَ اللَّهُ لَهُ عِشْرِينَ حَسَنَةً ، أَوْ حَطَّ عَنْهُ عِشْرِينَ سَيِّئَةً ، وَمَنْ قَالَ : اللَّهُ أَكْبَرُ ، فَمِثْلُ ذَلِكَ ، وَمَنْ قَالَ : لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ ، فَمِثْلُ ذَلِكَ
Sesungguhnya Allah memilih empat daripada perkataan: "Subḥānallahu Walḥamdulillah Walā Ilāha IIlallāhu Wallāhu Akbar". Sesiapa yang menyebutkan "Subḥānallahu ", Allah menulis sepuluh kebaikan atau menghapuskan sepuluh keburukan daripadanya. Sesiapa yang berkata "Allāhu Akbar", maka ia semisal tadi. Sesiapa yang berkata "Lā Ilāha IIlallāh", maka ia semisal tadi.
[14]Al-Bukhari dalam al-Adāb al-Mufrod :
عَنْ جُوَيْرِيَةَ ، أَنّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ مِنْ عِنْدِهَا بُكْرَةً حِينَ صَلَّى الصُّبْحَ وَهِيَ فِي مَسْجِدِهَا ، ثُمَّ رَجَعَ بَعْدَ أَنْ أَضْحَى وَهِيَ جَالِسَةٌ ، فَقَالَ : " مَا زِلْتِ عَلَى الْحَالِ الَّتِي فَارَقْتُكِ عَلَيْهَا ؟ " قَالَتْ : نَعَمْ ، قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " لَقَدْ قُلْتُ بَعْدَكِ أَرْبَعَ كَلِمَاتٍ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ ، لَوْ وُزِنَتْ بِمَا قُلْتِ مُنْذُ الْيَوْمِ لَوَزَنَتْهُنَّ سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ عَدَدَ خَلْقِهِ وَرِضَا نَفْسِهِ وَزِنَةَ عَرْشِهِ وَمِدَادَ كَلِمَاتِهِ "
Daripada Juwairiyah, bahawasanya Nabi SAW pergi darinya pada waktu pagi ketikaman solat subuh dan dia berada di masjidnya. Kemudian, baginda kembali selepas Ḍhuḥā dan dia masih duduk. Baginda berkata: "Engkau sentiasa dalam hal itu semenjak aku pergi darimu?". Dia berkata: "Ya". Nabi SAW berkata: "Aku telah pun berzikir empat kalimah tiga kali. Kalau ditimbangkan dengan apa yang engkau zikirkan semenjak hari ini, pasti aku akan menimbangkannya. Iaitu: Subḥānallahi Wabiḥamdihi ʿAdada Kholqihi Wariḍhō Nafsihi Wazinata ʿArsyihi Wa Midāda Kalimāti".
[15]Riwayat al-Bukhari :
"Dua kalimah yang ringan di lidah, berat di timbangan lagi disukai ar-Rahman. Subḥānallāhi Wabiḥamdihi Subḥānallah al-ʿAẓīm".
[16]Riwayat at-Tirmiḏziy :
Doa yang Ḏzu an-Nūn ketikamana dia berdoa dalam perut paus adalah "Lā Ilāha Illā Anta Subḥānaka Innī Kuntu Minaẓ Ẓōlimīn". Sesungguhnya tidaklah seseorang yang Muslim berdoa dengan pada sesuatu sama sekali melainkan Allah memustajabkan untuknya.
No comments:
Post a Comment