Tuesday 2 June 2020

Nilai Yang Tidak Bermakna Pada Kedengkian

Demi ingin merasai makanan yang sedap, kita perlu sediakan bahan macam-macam yang mempunyai pelbagai kos dan memperuntukkan banyak tenaga dan masa bagi mendapatkan suatu makanan yang rasanya yang mungkin hanya dinikmati sesaat atau beberapa saat. Semakin rajin memasak, semakin banyak makanan yang kita dapat merasainya untuk menjamah rasa yang dinikmati beberapa saat berkali-kali secara berulang. Itu pun, masa yang diperuntukkan untuk proses masakan dan pembuatan tidak memadai dengan masa yang kita luangkan dan habiskan di meja makan.

Sekarang, fahamlah kita mengapa sukses itu seperti iceberg (ais apung atau bongkah ais untuk istilah Geografi), 10% adalah kenikmatan yang kita perolehi pada sukses kita dan 90% itu adalah usaha yang kita kerahkan. 


Kadangkala kita dengki dengan kejayaan orang lain yang telah meninggalkan kita ke belakang sejauh-jauhnya. Kadangkala kita tidak sedar, sebenarnya betapa beratnya tanggungan untuk capai kedudukan yang dia berada. Mereka semua bermula dari kosong, berpanjangan dalam kebingungan, puas dihina, letih mendisiplinkan diri, sabar dengan kepayahannya dan istiqamah dengan kesungguhannya. Harga yang dibayar sepadan dengan hasil yang dia dapat. Apa guna mendengki seseorang kalau kita sendiri tidak mahu bekerja keras dan kuatkan mental? Hanya sekadar rasa sakit yang terus menekan jiwa yang kehausan. Lebih baik biarkanlah hasrat itu daripada terus seksa diri dengan kepedihan di sanubar yang berterusan.

Kalau dapat secara percuma pun, ingatlah bahawa dikatakan Nikola Telsa pernah berkata, "Sukar untuk memberi kuasa yang tidak terbatas kepada minda yang terbatas" (It's hard to give unlimited power to limited mind). Melompat terus ke tahap yang tinggi hanya membawa kepada kejatuhan yang menghinakan lagi membunuh. Bangunan tinggi yang tidak ada dasar yang kukuh akan runtuh bila-bila masa sahaja. Bangunan tinggi yang tidak terbatas tidak layak untuk tapak yang terbatas. Kalau ada asas yang kukuh, maka kalau runtuh pun, kamu seperti pepatah melayu, "Tinggi sebanding bintang, rendah setanding intan". Tetap menyerlah walaupun dijatuhkan dan ditinggalkan.

Usah mendengki dengan bangunan pencakar langit yang tinggi jika rumah kamu pun masih kurang kukuh dasarnya. Daripada mendengki dan menderita dengannya, lebih baik perkukuhkan tapak dan dasar binaan rumah itu, barulah seseorang boleh maju ke lebih tinggi. Ingat walaupun sedia ada itu telah tinggi, jika mereka leka atau tidak berstrategi, bila-bila sahaja akan ditinggalkan dan dikalahkan. Jadi, semakin tinggi, semakin mencabar. Itulah sebabnya semakin tinggi pencapaian, semakin besar masalah yang akan dihadapi. Sebab itulah seseorang yang terus melompat dalam keadaan tidak bersedia dengan tekanan ini, maka dia akan kecundang. Jika tidak sanggup, jangan bertebing di langit yang tinggi kalau takut ditenggelami keruntuhan.

Usah mendengki dengan pendebat yang berkarisma, petah dan fasih jikalau kemahiran pertuturan dan penguasaan bahasa sekadar secukup-cukupnya. Apa salahnya untuk mula dengan rajin menelaah kamus dan tesaurus? Mengapa perlu malu untuk tahap sebegini, iaitu menulis dan membaca teks pun masih tengok-tengok kamus lagi kalau itu memang tahap kamu? Tetapi, malulah seseorang yang ingin melagak fasih dan berkarisma, tetapi hakikatnya dia sedang melalut, yain tetap bodoh dan hakikatnya sedang menjadi badut kepada otai.

No comments:

Post a Comment