Itulah antara kata yang sinis apabila ada orang berkomentar tentang kerjaya penterjemahan. Aku tahu bukan seorang dua yang beranggapan seperti ini. Tetapi, apa yang aku akan cakap adalah komentar seperti ini menunjukkan kosongnya atau langsung tidak ada gambaran umum tentang dunia penterjemahan yang sebenar.
Komentar sebegini, bagi aku, ia sama seperti kerjaya fotografer, kemudian ada orang berkomentar “apa susah kerja fotografer, picit butang dan dapat gambar, kan senang?”. Ya, secara jujurnya, pra-tanggapan aku akan sama dengan komentar tersebut memandangkan aku bidang fotografi adalah di luar gapaian aku. Namun, kalau difikirkan secara mendalam, aku tidak akan membuat komentar sebegini kerana aku tahu ia adalah suatu alam yang terasing untuk aku buat kesimpulan sebegitu.
Kembali kepada penterjemahan, selalunya kalau ada orang buat komentar sebegitu dalam keadaan dia tidak tahu permukaan sebenar bidang terjemahan, aku akan cadang untuk tonton anime Violet Evergarden. Ya! Anime ini, bagi aku, ada perkaitan dengan terjemahan. Meskipun anime ini bukanlah cerita tentang terjemahan dari satu bahasa asing kepada bahasa lain, tetapi ada persamaan pada “conveying message” (menyampaikan mesej) dan terjemahan isi hati.
Anime ini, secara signifikannya, ada satu pekerjaan yang sangat menarik, iaitu Patung Memori Auto (Auto Memory Doll). Ia sama seperi typewriter (tukang taip), tetapi ia lebih luas skopnya, iaitu menulis surat melalui apa yang terbuku dalam jiwa klien melalui luahannya. Dalam anime ini, latar belakang masyarakatnya rata-ratanya adalah kurangnya kemahiran dalam penulisan surat meskipun kemahiran membaca adalah di tahap celik. Ya, ada juga secara literal memang buta huruf. Apapun, yang ingin diberitahu adalah pekerjaan Patung Memori Auto adalah mengarang surat sesuai dengan isi hati yang terbuku dalam jiwa klien dan sampaikan isi itu melalui penulisan.
Violet Evergarden (watak utama) merupakan Patung (nama “divisyen” bagi staf pada bidang pekerjaan itu) yang terbaik untuk syarikat CH Postal Company. Namun, sebelum Violet dapat mengarang surat yang penuh puitis dan berseni sehingga menjadi pilihan puteri Charlotte, puteri kerajaan Drossel, dia pernah mengalami fasa kegagalan pada awal kariernya (biasalah, mana ada orang perfect pada mula-mula menceburi sesuatu bidang). Apa masalah yang Violet lakukan?
Sebelum cerita kegagalan Violet, kita perlu kenal dia terlebih dahulu. Sebelum berkhidmat untuk pekerjaan awam, dia adalah Tentera Gadis (Soldier Maiden) Leidenschaftlich. Dia dibesarkan untuk menjadi senjata dan hidup hanya untuk menerima perintah daripada orang atasan. Maksudnya, dia seperti robot yang tidak berfungsi apa-apa melainkan apabila diperintahkan. Emosi dan perasaan tidak menjadi satu bimbingan dan kepedulian dalam hidupnya. Kerjanya hanya melawan dan membunuh pihak tentera musuh. Sekarang, dapat gambaran apa yang dihadapi oleh Violet pada awal kariernya?
Pada episod dua, ada babak di mana ada seorang klien perempuan berhasrat untuk mengirim surat kepada lelaki, tetapi dia tidak dapat untuk menggubah surat untuk menyatakan luahan hatinya secara berseni. Jadi, dia minta khidmat Patung untuk sampaikan ekspresi dirinya. Apa yang diluahkan oleh klien tersebut?
Klien tersebut menyatakan bahawa ada seorang lelaki yang merupakan pengasas kepada automobil ajak dia keluar berkencan (dating) dan dia menyatakan bahawa waktu untuk dia dan lelaki itu berkereta peribadi (maksudnya berkahwin) bersama sudah tiba. Dia berkata tidak semudah itu dia akan terima lamaran itu. Dalam masa yang sama, dia tidak mahu lelaki tersebut tu menganggap bahawa dia adalah wanita yang tidak sepadan dengannya. Bagi dia, lelaki itu bukan ada apa sangat dan dia tidak ada perasaan istimewa terhadapnya. Namun, kalau lelaki benar-benar mencintainya, dia boleh pertimbangkan.
Jadi, apa tugas Patung? Tulis surat cinta berdasarkan luahan ini. Ok, agak-agaknya setelah kau dengar luahan ini dan perhatikan apa perasaannya ketika dia berbicara, surat macam mana yang kau akan tulis untuknya? Inilah tugas mencabar untuk Patung. Gubah surat berdasarkan apa yang kau dapat melalui dapatan kau. Ok, apa yang Violet tulis? Ia sama seperti menulis laporan, bukan surat cinta. Berikut apa yang dia tulis :
“Daku sudah baca perutusanmu, namun daku tidaklah merasa apa-apa terhadapmu. Juga, dikau punyai kekurangan dalam kasih sayang dan ketulusan. Ingat dengan baik bahawa daku adalah seorang wanita yang kompleks dan bermartabat. Cubalah lagi apabila kau peroleh cukup dana dan hadiah”.
Kalau kau di pihak lelaki tersebut menerima surat sebegini, apa perasaan kau? Tentu sahaja kau akan campak surat ini kerana tidak ada kesantunan dan kehalusan budi padanya. Namun, masalah utama yang dihadapi Violet bukan isu penulisan surat ini, tetapi masalah Violet adalah dia gagal untuk memahami perasaan sebenar klien tersebut.
Klien itu sebenarnya jatuh cinta pada lelaki itu dan mahu dapatkan lelaki itu di sisinya. Tetapi kalau dia diterima sebegitu sahaja, dia berfikir bahawa lelaki itu menganggap dia itu bersikap bermudah-mudahan. Dia menyatakan bahawa bukankah impian setiap wanita adalah bahawa lelaki akan berusaha mengejar wanita yang dia cintai?
Jadi, inilah kegagalan Violet yang pertama. Tidak dapat memahami apa yang sebenarnya yang dikehendaki pada pembicara. Babak kerunsingannya telah saya paparkan pada gambar tersebut. Kemudian, Violet gagal lagi kali kedua dengan tragedi yang sama di Auto Memories Doll Training School dengan membuat surat jenis ekspresif dalam bentuk laporan seperti awalnya. Namun, dia berjaya untuk kali ketiga.

Bidang terjemahan bukan semudah rujuk kamus dan alih bahasa dari perkataan bahasa asing (atau istilah lain, bahasa sumber) kepada bahasa yang kita mahu (atau istilah lain, bahasa sasaran). Terjemahan juga adalah MENYAMPAIKAN MESEJ dan MEMBERI KESAN RASA KEPADA PEMBACA. Ya! Inilah yang selalu sahaja tidak disedari oleh orang yang di luar bidang terjemahan atau penterjemah amatur.
Saya tidak mahu perincikan isu terjemahan kerana kalau ia diperincikan, ia boleh buat satu buku khas tentangnya, tetapi saya cuba sampaikan seringkas yang boleh supaya dapat gambaran yang nyata tentang hakikat dunia terjemahan.
Secara ringkasnya bahawa dunia terjemahan adalah tidak hanya berpaksi kepada kamus sahaja. Ia lebih daripada itu. Maksudnya adalah bukan semua boleh bergantung kepada kamus sepenuhnya. Bukan sebab kamus itu salah atau tidak lengkap, tetapi terjemahan juga memerlukan kreativiti dan inovatif individu. Saya sudah nyatakan awal-awal, terjemahan bukan seni alih bahasa semata-mata, tetapi sampaikan mesej dan beri kesan rasa kepada pembaca.
Cuba bayangkan kalau kita baca surat pertama yang Violet tulis? Ia hambar dan tidak menggambarkan sebagai “luahan cinta”. Tidaklah salah surat seperti itu kerana itu adalah “terjemahan literal” daripada apa yang klien ungkapkan. Kalau diminta buat laporan, surat sebegitu mungkin diterima. Akan tetapi, masalahnya adalah ia tidak menyampaikan “isi hati” yang sebenarnya. Ia tidak ada seni yang secocok dengan citra dan pentas yang akan dipersembahkan kepada penonton. Yang dikehendaki sebenarnya adalah surat cinta, bukan laporan status terkini.
Terjemahan juga sebegitu. Ia juga miliki seni dan warnanya. Ia tidak bersikap beku, jumud dan literal. Ia boleh fleksibel dan “carefree”. Sebab objektif utama terjemahan adalah sampaikan mesej yang mampu difahami pembaca, bukan apa yang dialih bahasakan perkataan itu. Saya tunjuk contoh bahawa bidang terjemahan perlukan kreativiti dan daya garapan yang tinggi.
“When in Rome, do as the Romans do”.
Apa terjemahan untuk perkataan ini? Tentu sahaja yang literal adalah “Apabila di Rom, buat apa yang orang Rom buat”. Salahkah terjemahan ini? Tidak salah. Cuma, anda lihat pula terjemahan ini :
“Masuk ke kandang kambing mengembek, masuk ke kandang kerbau menguak”
“Di mana bumi berpijak, di situ langit dijunjung”.
Sekarang, mana yang lebih menyampaikan mesej yang “refined” and “cultivated” serta memberi kesan rasa kepada pembaca? Nampak tak bahawa terjemahan bukan semudah Google Translate atau tengok kamus? Di sinilah beza jelas antara “orang yang menulis laporan” dengan “orang yang menulis surat cinta”. Yang dimahukan pembaca sebenar-benarnya adalah apa makna pada perkataan itu yang boleh “relate” dengan mood dan jiwa pembaca, bukan apa maksud dalam bahasa pembaca bagi patah perkataan bahasa asing itu. Jelas, ini menunjukkan karier terjemahan juga adalah cabang seni pada bahasa.
Ini contoh yang hanya sekelumit daripada apa yang ada di realiti sebenar. Saya ingin katakan bahawa bidang terjemahan ini bukan semua orang boleh semudah tangkas di dalamnya. Ia perlukan latihan, pengalaman serta pengetahuan yang luas dan mendalam dalam sesuatu aspek dan bahagian yang ingin diterjemah.
Itu belum lagi kita berhadapan dengan banyak perkataan baharu yang mana ia belum diterjemahkan kepada mana-mana bahasa. Memadai untuk kau ikuti laman web Urban Dictionary, kau akan tahu betapa perkataan boleh berevolusi atau lahir yang baru tanpa kita sedari pantasnya perkembangan itu. Contohnya perkataan “Nuclear Take”, “Broship”, “Welp” dan lain-lain. Senangkah untuk cari padanan ini dalam kamus serta merta? Tidak semudah itu. Itu bahasa Inggeris, bagaimana pula dengan bahasa Melayu seperti “Makcik Bawang”, “Merempit”, “Semoga diperludahkan urusan” dan lain-lain. Apa terjemahan Inggeris?
Di sinilah peranan penterjemah yang mahu atau tidak mahu perlu menjadi “frontal unit” untuk mengerahkan segala kreativiti dan idea untuk dapatkan terjemahan yang sesuai dengan pengungkapan bahasa sasaran. Jika tiada terjemahan rasmi, maka jika kau sebagai penterjemah, kau kena hadapi sendiri dan independen. Sebab itu, bidang penterjemahan bukan semudah yang disangka.
Kesimpulannya adalah bidang terjemahan bukan cerita tentang kamus sahaja, ia cerita tentang cara kau persembahkan daya kreativiti, inovatif, intelektual, kritis, cakna, penghayatan kesenian, kefahaman dan kedalaman pemaknaan kau kepada pembaca sesuai dengan teks atau bahan yang diterjemah. Sepertimana kau cuba tafsirkan kefahaman kau pada isi hati seseorang kepada satu gubahan sastera yang sepadan dengan rentak irama jiwanya, sebegitulah penterjemah ekstrak saripati yang ada pada teks lalu dipersembahkan dalam karangan yang mesra pembaca.
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=2950147545035819&set=pb.100001218067654.-2207520000.1570260769.&type=3&theater
No comments:
Post a Comment