Biarpun kecil usaha kau dan sedikit sinarnya, mungkin sekali orang sangat perlukannya pada yang sedikit itu. Kalau orang tidak memerlukannya pun, orang lain akan hargai dan kau mencipta pelengkap yang kurang atau penghias walaupun mereka tidak sedar dan kau tidak begitu signifikan. Kalau mereka tidak hargai pun, ingatlah bahawa Tuhan tidak akan mempersia-sia usaha hamba-Nya jika itu dilakukan untuk kebaikan dan mengharap redha-Nya. Dan apa yang kau buat adalah demi kebaikan sendiri atau yang paling mendalam adalah kau lakukannya untuk kepuasan dirimu.
Dalam anime Berserk (2016), episod 1, ada babak tentang Adolf, pendeta yang menumpangkan Guts, meluahkan rasa kecewa yang anak saudaranya pergi meninggalkan rumah dan dia mahu menempa nama dengan pedang miliknya. Katanya, lima tahun dahulu, dia mati di medan perang sebagai tentera yang tidak punya nama. Adolf juga kecewa bahawa kalaulah dia masih hidup, dia patutnya sudah berkeluarga dan ada dapat hidup gembira sedikit padanya. Adolf merasakan betapa bodohnya pilihannya. Lalu, Guts menjawab, “Apa masalahnya? Tidak kira apapun sebabnya, dia mati kerana melakukan apa yang dia suka, tidakkah begitu? Aku akan panggil dia sebagai orang yang bertuah”.
Daripada ini, jelaslah bahawa sekecil apa pun yang kita ada dan mungkin tidak begitu signifikan dalam kontribusi, paling penting, kita dahulukan bahawa apa yang kita buat adalah kebaikan diri secara minima, kemudian sehinggalah ia hanya untuk kepuasan diri. Meski tiada yang peduli, hargai atau respons kau punya kerja, kau tetap melangkah dan menyerlah dengan caramu. Kau sama sekali tidak merasa kecewa dan duka kerana kau tahu nilai yang kau buat dan sebab yang nyata untuk kau terus bertabah untuk membuat kerja yang tidak dikenang.
Ya, bulan sememangnya lebih cerah berbanding bintang kendati ia bertaburan di angkasa, tetapi adakah perlu semestinya bintang mengakui superioriti bulan dalam kontribusinya pada waktu malam? Adakah perlu sang bintang merasa kerdil dan terhina apabila pencahayaannya tidak secerah rembulan? Adakah dengan sebab cerahnya cahaya bulan itu, maka sang bulan atau sang bintang lain yang memperdewakannya berhak untuk memonopoli tafsiran tentang keindahan cahaya dan nilai jasa?
Kadangkala, kita terlalu memandang rendah orang lain hanya kerana tidak nampak jasanya, apatah lagi melihat bakat dan kebolehannya serta tempat yang sesuai untuk ia berprestasi. Kita memandang rendah terhadap orang itu kerana orang itu tidak seperti orang lain yang lebih ternama, lebih dominan dan lebih menonjol. Lantas, orang lain itu dijadikan piawaian ukuran untuk menentukan hebat atau tidak seseorang itu, berguna atau tidak seseorang itu dan berbaloi atau tidak seseorang itu. Contohnya, apabila kita menemukan seseorang itu pandai, maka kita jadikan dia sebagai aras penanda untuk menunjukkan orang itu pandai atau tidak. Kemudian, mana-mana orang yang tidak sama sepertinya seolah-olah orang itu tidak pandai dan bodoh. Malah, paling teruk sekali, kita rasa bahawa orang itu perlu tunduk mengikut dan mengalah dengan “orang pandai” yang kita jadikan sebagai dasar mutlak dalam pencontohan.

Dalam To Aru Majutsu no Index III, episod 9 menceritakan bagaimana Kaori Kanzaki cuba membatalkan persangkaan salah Acqua terhadapnya dan penyesalannya dalam kesilapan yang dia buat dalam tanggapan terhadap kawan-kawannya. Ini katanya :
“Betul sekali. Aku memang ada kawan yang terluka ketika berdamping di sisiku. Dengan sebab itulah aku tinggalkan geraja Amakusa. Tetapi, tragedi ini bukan terjadi sebab mereka adalah lemah. Aku sebenarnya telah menganggap mereka ini lemah dan aku tidak percaya dengan kemampuan mereka. Entah mana dalam diri aku, aku telah memandang rendah terhadap mereka dan aku tidak membenarkan mereka berada di belakang aku. Kebongkakan ini, rasa superioriti ini, yang aku mahu lindungi mereka itulah tragedi yang sebenarnya! Sebab itulah aku akan atasinya. Aku percayakan mereka untuk berada di belakangku dan dengan setiap seorang antara kami memberikan sokongan bersama sepenuhnya, aku akan kembalikan semula gereja Amakusa”.
Kanzaki menyebutkan ini ketika berlaku pertempuran yang hebat antara Acqua, iaitu masing-masing di tahap Pendeta yang menyaksikan jurang kekuatan yang berbeza antara Pendeta dan pasukan biasa. Ia seperti jurang Mahaguru dengan amatur.
Apa yang ingin disampaikan di sini ialah walaupun Pendeta dan pasukan biasa masing-masing mempunyai jurang kekuatan yang berbeza, bukan bermakna pasukan biasa itu merupakan orang yang kerdil, hina, tidak berguna dan tidak boleh menyerlah dalam pertempuran. Mereka menyerlah dengan cara yang sesuai dengan mereka dan jika kena pada keadaan, boleh jadi sekecil-kecil kekuatan itu boleh menjadi senjata yang terkuat dalam mengalahkan musuh. Ia seperti permainan catur. Ya, memang Permaisuri mempunyai kelebihan yang sangat besar kerana banyak arah ia boleh bergerak, tetapi Bidak yang tidak punya kelebihan banyak pun boleh menjadi aset yang penting dalam mengepung pergerakan Permaisuri lawan jika digunakan dengan betul. Harap ini dapat mencantas penilaian secara Kesan Kontras supaya kita tidak terlalu membanding-bandingkan orang lain tanpa mengambil kira kebolehan yang sebenar dan sesuai bagi setiap individu..
Justeru, tidak perlu pandang rendah dengan orang lain hanya kerana ada perbezaan jurang antara seseorang dengan seseorang yang lain. Mungkin beza dari segi penonjolan dan populariti atau tempat yang ia bersinar, tetapi bakat dan kebolehan yang sejati boleh jadi sama setanding atau lebih baik. Sama ada belum masanya atau tempatnya tidak sesuai. Kalau mereka sendiri tidak tahu pun apa yang mereka boleh serlahkan, mungkin sahaja rezeki pada masa akan datang, ia boleh mengungguli kita tanpa kita jangka. Bakat dan kemampuan kita juga boleh tersusut sebab kita mensia-siakannya. Syukurilah kedudukan masing-masing.
Jika kau merasakan kau masih berada dalam keadaan orang yang tidak punya kebergunaan, maka tidak mengapa untuk akuinya. Dalam anime Tokyo Ravens, episod 23, cuba tengok apa yang Tenma Momoe katakan ketika menyusup masuk ke bangunan Onmyou untuk mendapatkan Kot Raven :
“Aku ini bengap, membosankan dan tidak beguna, tetapi sebab itulah aku mampu mencapai sejauh ini. Yang ada pada magik adalah ia bergantung kepada bagaimana ia digunakan dan ia juga boleh menjadi senjata. Teknik kepada mantera halimunan adalah menghilangkan kesedaran diri. Aku sangka ia bermaksud mengosongkan minda. Namun, ia bukan sebegitu. Sebenarnya ia adalah melihat diri kau sendiri secara objektif dan terima diri kau secara jujur. Aku akuinya. Aku sang kerdil terhadap mereka di sekeliling aku. Adakah itu sebab orang memandang rendah terhadap aku? Begitu juga berbaik terhadapku? Atau tidak mempedulikan aku? Tidak kira apapun, mereka tidak begitu perhatikan aku. Aku akan menyusup masuk melalui lompong yang terbuka”.
Tenma pernah mengeluh bahawa dia tidak berguna dan tidak begitu berbakat jika dibandingkan sahabatnya yang lain. Namun, dengan sebab kelemahan itu, dia berjaya mendapatkan Kot Raven sehingga tidak disedari orang yang bukan calang-calang di sekelilingnya seperti Kurashasi Kenji, Dairenji Shirou, Jin Ohtomo (cikgunya sendiri), Kagami Reiji, Ashiya Doman dan Iwao Miyachi! Sebab para Onmyouji di sana sibuk dengan pemangsa besar sehingga tidak begitu tumpu dengan makhluk kecil, akhirnya mereka tidak sedar Kot Raven telah dibolot sehinggalah ia telah terlambat untuk mereka. Jadi, jangan terlalu berlebihan sangat memandang rendah kelemahan yang ada pada diri. Kelemahan itu boleh jadi sebab untuk mengatasi dan berguna jika kena pada masa dan situasinya. Ia boleh jadi umpan yang mengalahkan musuh atau senjata yang mampu mengalahkan musuh tanpa sedar.
Meskipun begitu, janganlah dilupakan orang yang pernah membawa kita kepada level yang lebih tinggi dengan mengenang jasanya, menghargai pengorbanannya dan memberikannya kedudukan yang selayak dengannya. Sepertimana bulan seharusnya berterima kasih kepada mentari kerana dialah sumber cahaya untuknya, seperti itulah kita seharusnya membalas selayaknya dengan insan yang menjadi pendorong dan pemandu kepada tahap tersebut. Kadangkala, apabila kita sudah miliki kelebihan yang banyak, kita ingin bolot semuanya dan mendakwa bahawa itu semua adalah hasil usahanya tanpa memberikan kredit kepada mereka yang menyumbangkan tenaga untuk kejayaan itu. Demi kebanggaan diri, kita khianati pula teman dan mereka yang bersama kita. Kalau pun berjaya kerja kotor sedemikian, tetapi ingat, Tuhan Maha Pembalas yang adil bagi mereka yang tidak memberikan hak terhadap manusia dan membolot kejayaan secara zalim
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=2813355715381670&set=a.2758594507524458&type=3&theater
No comments:
Post a Comment