Friday, 5 June 2020

Kebudakan, Keremajaan, Kedewasaan Dan Jiwa Tua

Apa yang aku dapat daripada anime Chuunibyou adalah apabila kita masuk ke alam dewasa atau usia kita semakin tua, bukan bermakna kita perlu tinggalkan semua yang menjadi identiti kepada usia yang eksklusif. Maksudnya adalah apabila kita ingin masuk remaja, bukan bermakna kita perlu tinggalkan perangai kebudak-budakan kita secara total dan bertindak seperti remaja sejati. Apabila tamat persekolahan atau universiti, maka bukan semestinya kita perlu pindah dimensi baharu ke alam dewasa dan lupakan yang menjadi saat keseronokan kita. Kita boleh rangkumkan kesemua ini dalam satu kesepaduan hidup kita.

Bawalah identiti, personaliti dan perwatakan itu walaupun ke usia penghujung hari. Selagimana ia adalah sesuai dengan pembinaan dan kesebatian dalam karakter kita. Selagimana ia bukan mudarat absolut kepada orang lain, maka jangan perlu takut untuk membawanya. Biarlah orang kata kita masih tonton kartun walaupun sudah usia senja. Biarlah orang kata kita ini terlalu berwawasan jauh dan bertindak secara strategikal idealis seperti orang dewasa veteran walaupun masih di usia tengahari. Selagimana itu menjadi penghibur hati, saat yang mententeramkan jiwa, masa yang berbaloi untuk dinikmati, jaminan keselamatan waktu akan datang dan memberi kebaikan kesseluruhan pada personaliti kita, maka sematkanlah dan warisilah sehingga akhir hayat.

Jiwa kanak-kanaklah yang akan mendorong kepada imaginasi yang saujana, kemisterian tanda tanya memikat jiwa dan bermain dalam mayapada warna-warni. Kanak-kanak menjenguk sesuatu yang disebalik A & Z membentuk deria kreatif dan berdaya cipta, penuh kuriositi yang menghalakan mereka untuk seronok berkembara dan memeriahkan citra alam peri yang terlukis. Kita sangat berhajatkan ini terutamanya apabila sampai masa kita menjadi pengasuh dan pemimpin untuk anak kita sendiri kelak. Pengertian kita ini supaya rapatnya jurang antara si kecil dan sang pengasih, saling menghubungkan dua dimensi yang unik dan melahirkan empati yang akrab.

Jiwa remajalah yang menjadikan kita ingin sentiasa ciptakan impian kita ke realiti hidup kita. Tekad keazaman yang terikat kuat sehingga mereka terus menyelam dalam, meneroka luas, gagah menempuh dan liar memberontak. Rasa inilah yang menjadikan seseorang itu tidak kecundang hampa yang mengenang usia yang semakin memamah dan peluang yang telah terlambat. Sekalipun Ashiya Doman telah lanjut beratus-ratus tahun usianya, dia masih tidak jemu dengan pertempuran magik.

image

Namun, semangat yang menjulang marak akan diikat oleh pertimbangan akal yang berkalkulus supaya imaginasi kita dan semangat kita tidak dikerahkan untuk sesuatu yang utopia dan fiksyen sahaja. Kedewasaan adalah pengemudi bahtera dalam pelayaran hidup. Keremajaan adalah turbo. Menempuh samudera ganas membadai tidak cukup hanya dengan pecut meredah. Di sinilah rasa kedewasaan akan menjadi penentu, pengkadaran dan penilaian dalam mempersiap siaga dan memimpin arah hidup kita.

Jiwa sang tua akan memunrikan dan memperindah sahsiah kita. Sang tua sudah tidak pedli siapa yang jelita menawan dan tampan memikat. Sang tua akan bertanya siapakah insan berpekerti luhur dan terhimpunnya sifat budiman yang selayaknya manusia akan mencintainya meski tiada siapa akan mengenangnya dalam biografi. Sang dewasa kendatipun waras, kadangkala mereka punya kebijaksanaan yag sinikal, perhitungan yang barbarik dan pertindakan yang kering serta haus daripada kelunakan dan kelenturan. Jiwa sang tua akan melembutkan adunan tersebut supaya semua itu dirasai rahmatnya dan keadilan yang memuaskan.

Bawalah keempat-empat ini dalam hidup dan binakanlah ia menjadi personaliti. Semoga hidup kita adalah temasya kisah yang agung untuk kita semadikan dalam memori dan nisan yang kita abadikan bersamanya.

https://www.facebook.com/photo.php?fbid=2920388571345050&set=a.2757481107635798&type=3&theater

No comments:

Post a Comment