Tuesday, 2 June 2020

Makna Sukses Bagi Individu

Aku ada seorang kawan yang aku tidak tahu sama ada aku benci ataupun sayang padanya. Dahulu dia selalu menyusahkan aku sehingga projek sekolah dia, aku pula yang kena siapkan untuknya dan banyak juga kos kewangan aku habis disebabkan dia. Tetapi ada satu perkara yang aku kagum dengan dia. Dia sangat mahir dalam mengendalikan program, majlis dan event serta dia juga mampu untuk mempengaruhi Yang Berbahagia, ADUN, ketua kampung dan mereka yang mempunyai jawatan besar. Aku pernah menjadi fasilitator untuk program yang dia kendalikan untuk beberapa kali.

Sekarang ini aku tertanya-tanya, apakah makna sukses bagi individu? Ketika aku tingkatan 5, aku sangat menekankan pencapaian akademik dan disebabkan itu prestasi akademik aku lebih cemerlang berbandingnya. Tetapi, tidak pada dia. Apa yang terbuku di minda dia hanya untuk menjayakan program dan mengadakan event sama ada di sekolah, masjid, surau dan tempat-tempat lain. Pada masa itu, dia setahun lebih muda daripada aku, yakni tingkatan 4. Ya, dia berjaya merealisasikan semangatnya dan dia memperoleh impiannya. Pada masa itu, aku tidak tahu kalau ingin membandingkan prestasi akademik aku dengan pencapaian dia dalam melaksanakan yang telah aku sebutkan tadi, mana satu yang lebih dianggap berjaya? Benar, ini terpulang bagi penilaian individu.

Dahulu kita sangat bangga dengan pekerjaan yang memakai baju kemeja dan bertali leher, duduk di hadapan komputer dan dikelelingi angin penghawa dingin. Bagi kita, ini adalah pencapaian yang gemilang untuk diimpikan. Namun, realiti hari ini tidak sama dengan dahulu. Kali ini, kita sangat memandang tinggi dengan makcik yang menjual nasi lemak di pagi hari kerana mereka mengaut pulangan yang lebih lumayan berbanding cek gaji mereka yang bekerja di dalam pejabat.

Kalau ukuran kejayaan adalah menurut persepsi masyarakat, ia akan sentiasa berubah sama ada secara pantas atau pun perlahan. Ketika musim Olimpik, kejayaan yang bermakna adalah menjadi atlet negara yang memperoleh pingat emas. Selesai Olimpik, kita mungkin dikejutkan pula dengan masalah politik. Maka, kejayaan yang terulung pada ketika itu adalah menjadi aktivis yang tekad berjuang dengan penuh semangat dan resistansi dengan sangat kritis. Jikalau menyentuh sensitiviti keagamaan, maka menjadi ustaz, ustazah atau ulama' adalah sebuah kejayaan yang terbilang. Jikalau kita ditimpa masalah ekonomi, maka pengulas ekonomi adalah dianggap tokoh yang berjaya dan menjadi sepertinya adalah kejayaan yang agung.

Semua ini berubah daripada semasa ke semasa mengikut rentak fokus masyarakat dalam realiti semasa dan sekeliling. Kalau kita mengikut arusnya, maka kita akan terumbang-ambing. Jadi, kejayaan untuk setiap individu tidak sama untuk individu yang lain.

Dengan itu, kamu sendiri yang tentukan makna sukses untuk diri kamu. Itu adalah tanggungjawab bagi setiap individu. Kenali bakat, potensi dan kemampuan diri kamu sendiri. Gilap, asah dan sentiasa mempertingkatkannya dari semasa ke semasa.

Kalau kamu tidak mendefinisikan sukses untuk diri kamu, maka orang lain akan berbuat demikian untuk diri kamu.

Sukses bagi pengiklanan produk adalah memperoleh produk yang mereka tawarkan. Sukses bagi ahli perniagaan adalah menjadi kaya raya. Sukses bagi atlet adalah menang dalam pertandingan, kemudian merebut ganjaran dan elaun. Sukses bagi ahli gimansium adalah mendapat bentuk tubuh badan yang menarik dan mempunyai unsur keseksian. Serta lain-lain. Demikian ada beragam makna sukses, tetapi adakah ianya bersesuaian untuk diri kamu?

Sebab itu perlu mengenal bakat, potensi dan kemampuan diri dalam memaknai sukses bagi individu kerana ia akan mencorakkan langkah untuk berinteraksi dengan bahagian yang diceburi.


Kita sangat dengki sekali apabila melihat orang lain mencapai sukses dan bertambah dengki lagi dengan kegirangan mereka dengan pencapaian yang diperoleh. Kalau boleh kita ingin menjadi orang yang pertama yang belum sesiapa yang terfikir untuk memggapainya, atau terkehadapan berbanding yang lain, memindahkan perolehan nikmat itu daripada dia kepada kita atau menghapuskan secara total padanya. Tetapi, adakah dengki itu memadai dengan makna sukses untuk diri kita?

Kita selalu bersikap berlepas mata dengan hanya memandang dan fokus pada sukses orang lain, tetapi ada perkara lain yang kita gagal perhatikan. Iaitu risiko-risiko yang perlu dihadapi sebelum sukses.

Kita terpukau dengan pendapatan yang bertimbun daripada orang lain, tetapi kita abai bahawa betapa sukar untuk dia mencapai kekayaan tersebut. Mereka perlu ikat perut, berdisiplin, tahan segala keinginan, berkorban masa, berkorban tenaga, risiko kerugian dan lain-lain. Bahkan, tidak terlepas daripada pengkhianat dari orang-orang sekelilingnya, musuh-musuh yang mengambil kesempatan daripadanya, mereka yang ingin menjadikan dia eksploitasi dan lain-lain.

Kita terpukau dengan karisma seorang ahli politik, tetapi kita abai bahawa sukar sekali untuk mencapai kejayaan seperti itu. Menjadi terkenal ada yang cuba sabotaj, meperkudakannya dan menconteng arang di mukanya, menjadi objek tudingan yang pertama apabila ia salah dan pelbagai risiko yang lain.

Banyak lagi perkara-perkara yang kita terpukau, tetapi kita kita begitu bersikap neglesi untuk melihat risiko. Kalau kita perhatikan semula hal-hal ini, kita akan berfikir beratus kali untuk dengki. Selepas ini, kalau kita melihat sukses orang lain, cuba pula lihat dari sudut kesusahannya, kepayahannya, kesengsaraannya, penderitaannya, kemurungannya, kesedihannya, kedukaannya, ketakutannya, kegerunannya, kebingungannya, kesibukannya, kekurangan kudratnya, kekurangan dananya, penantian lamanya dalam mencapai sukses, risikonya, usaha kerasnya, pendisiplinannya dan lain-lain.

Kalau kita menyedari hal ini, kita akan saling hargai hasil usaha dan pencapaian orang lain. Sebab mereka mengambil rintangan yang tidak diambil oleh orang lain. Kalau kita sendiri ambil bahagian yang kita berasa dengki dengannya, belum tentu kita mampu untuk melepasi ujian pancaroba padanya sebelum mencapai sukses. Bersyukurlah untuk diri masing-masing.

Bukan semua orang sanggup merisikokan dirinya untuk menjadi muflis sebelum mencapai sukses. Bukan semua orang sanggup untuk risikokan dirinya untuk hilang anggota atau hilang nyawa untuk mencapai sukses. Bukan semua orang sanggup menahan dihina, dipulau dan diherdik sebelum mencapai sukses. Bukan semua orang sanggup konsisten dalam perjuangan dan mahir dalam berinteraksi denga nrintangan sebelum mencapai sukses.

Dengan itu, kita sesekali merasa tidak wajar mendengki orang sesuka hati. Patutkah kita membunuh seorang pahlawan hanya kerana kita berasa geram dengannya? Perlukah kita memusuhi dan membenci orang tanpa alasan yang munasabah? Perlukah kita membuang dirinya, hanya kerana dia memperoleh sesuatu yang kita tidak miliki?

Akhirnya nanti, kita semua akan saling bergantungan antara satu sama lain. Kita mungkin perlukan nelayan untuk memenuhi keperluan protein kita. Kita mungkin akan bergantung kepada petani untuk mendapatkan keperluan asasi kita. Kita mungkin perlukan tukang pembersih sampah untuk melupuskan kekotoran yang kita lakukan. Dan lain-lain yang mana kita tidak sanggup atau tidak mampu untuk berbuat dan kita begitu berhajat dengannya. Masing-masing ada peranan untuk diberikan kontribusi. Apa yang kita tidak suka, belum tentu ianya salah.

Sebab itu apabila kita mempunyai makna sukses yang kukuh untuk diri kita, maka untuk apa lagi kita dengki? Kita sudah ada segala-galanya dan sukses itu telah kita realisasi dan capai. Sebab kita sudah tahu makna sukses yang bermakna untuk diri sendiri. Mengapa perlu menyibuk sukses orang lain? Kalau sudah ada makna sukses yang kukuh untuk diri kita, maka untuk apa lagi terliur dan tergiur dengan pencapaian mereka. Kita akan sibuk dengan bahagian masing-masing.

Menjadi diri sendiri bukanlah semestinya menghasilkan sesuatu yang berbeza daripada orang lain atau tidak memandang orang lain sebagai pelajaran dan inspirasi. Hasil kita dalam memaknai sukses bagi individu boleh jadi sama dengan individu yang lain. Tetapi, bukan atas dasar meniru. Ia adalah hasil daripada pemahaman yang kritis. Sebab itu, apabila orang lain berubah hala tujunya, kita sesekali tidak hampa dan berasa diri di jurang kegagalan. Kerana kita ada prinsip yang dipegang teguh dan itu berdiri di atas sandaran yang kukuh.

Dan jika ada hal yang kita perlu berubah, maka itu semua adalah kerana bakat, potensi dan kemampuan diri. Apabila kita ada prinsip, maka apa-apa yang menjadi idola dan pujaan mereka selama ini yang perlu mereka tinggalkan, ia sesekali tidak mengecewakan jika mereka perlu berubah untuk kemanfaatan diri mereka sendiri.

Orang lain boleh menjadi inspirasi dan penggerak bagi motivasi. Kita memang akan mempelajari daripadanya dan mengambil manfaat daripadanya. Walaupun, mungkin sukses bagi dirinya tidak sama dengan diri kita, tetapi masing-masing boleh memberikan buah fikir, idea dan pencetus untuk menciptakan satu kerangka sukses yang bermakna.

Sebab itu tidak sama kebahagiaan untuk setiap orang lain. Kita kadangkala kehairanan mengapa ada orang masih sanggup tinggal di negara yang bergolak dan kucar-kacir, tetapi rakyat yang lain berpusu-pusu melarikan diri. Kita hairan mengapa ada orang yang sanggup menjadi miskin dan hidup serba kekurangan tanpa mengemis. Kita hairan mengapa ada orang sangat suka waktu yang terlalu padat sehingga ia tidak menikmati masa lapang yang secukupnya. Itu semua tidak sama bagi masing-masing dalam memahami tentang kebahagiaan. Kamu sendiri yang akan memberikan definsi tersebut untuk diri kamu.

Bukan senang untuk hilangkan rasa dengki apabila matlamat sukses kita adalah sama sepertimana orang lain. Bersainglah secara sihat. Bukan semua dapat diselesaikan secara violen dan taktik yang keji. Apabila perlu kita berada di pihak kalah, maka terimalah kekalahan. Itulah lumrah kitaran dunia. Ada yang menang dan ada yang kalah. Apabila seseorang itu berhak untuk kalah, maka terimalah kekalahan itu. Itulah keadilan. Mereka yang cuba melampaui batas daripada haknya, maka itulah orang-orang yang zalim. Namun, perlu diingatkan bahawa lumrah dunia juga adalah kekalahan boleh bangkit semula dan menang.

Dengan itu, kamulah yang menentukan sukses bagi diri kamu dan kamulah yang akan merealisasikannya sendiri.

No comments:

Post a Comment