Tuesday, 2 June 2020

Nilai Pada Apa Yang Kita Miliki

Bila kita hidup di dunia sepertimana yang diduduki oleh Ainz Ooal Gown dalam anime Overlord, kemudian ada orang tanya, "Seronokkah dapat pingat Adamantite?". Iaitu, pingat tertinggi bagi penjelajah yang terkuat dan terbaik dalam dunia itu.

Jawapannya tentu menyeronokkan. Bagi pengumpul duit, pingat itulah akan diberi bayaran tinggi apabila dapat quest. Bagi yang ingin mendapat kedudukan ternama, itulah pingat yang membuktikan seseorang itu hebat dan berkuasa. Lebih-lebih lagi, ketika itu El Rantel hanya ada beberapa orang sahaja yang ada pingat ini. Maksudnya, sesiapa yang dapat, memang bukan calang-calang orang.

Namun, adakah pada itu nilai sebenar Adamantite? Tidak! Pingat Adamantite hanya layak bagi mereka yang berjaya mengharungi pelbagai quest yang sukar dan merisikokan nyawa. Keberdirian sebenar Adamantite pada individu itu sendiri, bukan pada pingat itu 

Tidak ada guna pingat Adamantite di kalung leher, tetapi apabila diberikan quest sesuai dengan tahapnya, dialah orang pertama yang pengecut dan lembik merintangi musuh. Tidak ada guna berbangga-bangga dengan Adamantite, tetapi itu sekadar belian dan warisan sahaja. Semua itu tidak akan menjamin apa-apa kalau pemakainya langsung tidak boleh pertahankan maruah yang ada pada pingat itu.

Kita tidak perlu berbangga sangat kejayaan yang hanya sekadar dapat melalui tuah semata-mata. Ya, kita bersyukur kepada tuah dan tuah juga pendorong yang boleh menyampaikan kejayaan kita. Cuma, untuk menganggap nilai tuah itu sama dengan nilai perolehan melalui usaha yang jerih, minda yang berkerah habis-habisan dan harta yang dikorbankan sama sekali tidak sama. Kekuatan yang diperoleh dengan pembinaan disiplin dan latihan yang berterusan tidak akan sama dengan kekuatan yang sekadar diagih, dikongsi dan dianugerahkan.

Tidak perlu mendakwa seseorang itu berjaya dengan kekayaan yang ada padanya, tetapi sebenarnya ia adalah warisan leluhur terdahulunya sahaja. Tidak perlu mendakwa seseorang itu berjaya dengan memperoleh jawatan tinggi hanya dengan merasuah dan membodek. Ia tidak akan sama dengan orang yang benar-benar membulatkan segala daya untuk capai cita-cita itu.

Mereka yang hanya dapat dengan tuah tidak akan dapat pertahankan jika sampai masanya cabaran datang bertandang. Tatkala keris dihunuskan di hadapannya, masa itulah apa yang menjadi nama tidak membantu apa-apa. Sekadar bunga-bunga reputasi untuk nama baiknya. Namun, ia boleh dihinakan dan diturunkan grednya jika dia tidak mampu mengekalkan kelestarian pada yang menjadi kebanggaannya.

Banyak harta pun yang dikira kejayaan tertinggi akhirnya akan kalah direbut jika seseorang itu tidak pernah melatih untuk menjamin pengalirannya dan stabilkan pendapatannya. Banyak kelengkapan tentera pun tidak ada apa-apa makna jika ia dipimpin oleh Jeneral dungu hanya menyandang jawatan dengan cara membodek dan lantikan keluarga bangsawan.

Tidak akan sama nilai kejayaan mereka yang benar-benar memperkukuh mental dan fizikalnya melalui pertarungan mengajarkan pengalaman berguna berbanding dengan nilai orang yang memperoleh dengan sekadar "kebetulan" sahaja.


No comments:

Post a Comment