Friday, 5 June 2020

Berjuang Untuk Kebahagiaan, Kebaikan Dan Persembahan Diri Sendiri

Dalam anime Berserk (2016), episod 1, Adolf, pendeta yang menumpangkan Guts mengongsikan sekilas cerita tentang anak saudaranya bersama rasa kecewa. Adolf berkata, “Anak saudara aku meninggalkan rumah, katanya dia mahu menempa nama dengan pedang miliknya. Lima tahun dahulu, dia mati di medan pertempuran, hanya sebagai tentera pejalan kaki yang tidak bernama. Kalaulah dia masih hidup, pasti dia sudah berkeluarga dan mendapat beberapa kebahagiaan padanya. Bodoh betul”. Guts pun menjawab, “Apa masalahnya? Tidak kira apapun sebabnya, dia mati dalam melakukan apa yang dia suka, tidakkah begitu? Aku akan panggil dia sebagai orang yang bertuah”.

Walaupun impian kita tidak pernah capai semasa hidup kita, jangan rasa apa yang kita buat itu adalah sia-sia jika apa yang kita lakukan adalah untuk kebaikan diri sendiri, dan paling tertinggi adalah kepuasan diri kita. 

Kalau pun tidak ada orang kenang dan ambil peduli ataupun menghargai apa yang kita perjuangkan dan lakukan, kita tetap boleh mara ke hadapan dengan semangat yang konsisten kerana kita memahami nilai yang kita binakan untuk diri sendiri, bukan menagih dan mengemis simpati dan perhatian orang lain.

 Seharusnya kita bersyukur kerana kita diberi peluang untuk melakukan sesuatu yang sesuai apa yang kita percaya dan yakin bersama pengenalan yang utuh sama ada daripada pengetahuan yang kita belajar atau pengalaman yang kita lalui.

Ya, kita mungkin berdepan banyak cabaran untuk merealisasikan cita-cita kita, tetapi perjuangan hidup itulah yang akan melakarkan cerita yang kau sendiri nikmati dan generasi sesudahnya jika dikurniakan rezeki untuk menjadi masyhur akan jadi pedoman dan inspirasi. 

Kita tetap berjuang apa yang kita percaya dan yakin serta itulah yang sesuai dengan keselamatan dan kebahagiaan diri sendiri. Kalau kita tidak merasai hasilnya di dunia, di akhirat kelak ada bahagiannya kalau apa yang kita lakukan adalah ikhlas dan semata-mata mengharap redha Tuhan.

https://www.facebook.com/photo.php?fbid=2828978947152680&set=a.2758594507524458&type=3&theater

image

No comments:

Post a Comment