Friday, 5 June 2020

Konflik Albedo dan Demiurge : Ada Apa Perspektif Padanya?

Dalam anime Overlord, musim 1, episod 12 ada babak ketika Nazarick dalam suatu krisis akibat pemberontakan daripada Shaltear, salah satu penjaga Nazarick yang sangat berkuasa. Ketika keberangkatan Ainz Ooal Gown untuk menghadapi Shaltear, berlaku dialog antara tiga penjaga besar Nazarick. Dalam dialog itu, Demiurge tidak bersetuju untuk melepaskan tuannya, Ainz Ooal Gown untuk berhadapan dengan Shaltear seorang diri, sedangkan Albedo rela untuk melepaskannya tuannya pergi. Ketika Demiurge bangun untuk beredar untuk pergi selamatkan tuannya, dia dihalang oleh Cocytus. Antara dialognya adalah seperti berikut :

Albedo : “Tuan Ainz akan kembali”

Demiurge : “MACAM MANA KAU BOLEH YAKIN SANGAT??!!!”.

Albedo : “Percayakan tuan kau. Itu kan salah satu peranan kita sebagai ciptaannya?”.

*Demiurge tergamam, lalu terduduk*

Demiuerge : “Kalau ada apa-apa jadi pada tuan kita, aku nak kau letak jawatan sebagai penyelia”

Cocytus : “Letak jawatan dari pangkat yang Tuan Agung posisikannya? Demiurge! Itu merupakan penistaan!”.

————————————-

Ada tiga perspektif yang kita boleh lihat di sini. Pertama, perspektif Demiurge. Kalau kita tengok babak dan episod lebih awal, sebenarnya Demiurge ini seorang yang setia dengan tuannya sebab dia sendiri ungkapkan “Kita diciptakan oleh sang agung untuk menjadi kegunaan untuknya. Mereka yang tidak menyahut kemahuannya, mereka tidak ada sebab untuk wujud”. Namun, dia ada cara tersendiri untuk zahirkan “kesetiannya” dalam menyelamatkan tuannya dan menyelamatkan keadaan. Kesetiannya adalah penzahiran rasa kerisauan yang amat kalau tuannya tewas di tangan lawannya kerana Ainz Ooal Gown adalah satu-satunya sang agung yang terakhir untuk setia dengan Nazarick. Oleh sebab dia begitu bimbang dengan risiko yang terlalu besar pada tuannya, sebab itulah dia “memberontak”, bukan kerana mahu “melawan” tuannya, tetapi untuk nyatakan sikap ambil beratnya terhadap keselamatan tuannya.

Namun, apa yang tidak disedari atau tidak diketahui (atau apa sahaja yang berkenan) oleh Demiurge adalah bahawa sifat kepercayaan terhadap kebijaksanaan dan kewibawaan tuannya. Ini adalah lumrah bagi sesiapapun bahawa kita sukar untuk duduk taat dan melakukan sesuatu dalam keadaan kita tidak mengerti apa-apa serta tidak ada logik dan munasabah padanya. Mana-mana perjuangan akan terganggu, tergendala, bermasalah, terhenti dan pincang jika pedang yang dihunuskan tidak diketahui matlamat untuk dihayunkannya. Malah, pasukan boleh berpecah dan keluar dari kelompok tersebut kerana tidak dapat menghadam “hikmah” dan keuntungan di sebalik perjuangan itu. Ini yang berlaku pada Demiurge. Apabila sukar menghadam ketidaklogikan pada keputusan tuannya dan juga justifikasi Albedo, tambah lagi rasa risau yang mendalam terhadap tuannya dan krisis yang besar berlaku dalam Nazarick, dia mengambil keputusan sendiri yang menyalahi tuannya. Dia sanggup mengambil risiko yang dia akan dimarahi selepas itu oleh tuannya atau dituntutnya sepertimana pernyataannya, “Meskipun kita akan dikutuk selepas itu atau dituntut nyawa kita, kita mesti ambil tindakan”.

Namun, sifat percaya akan mengikat semula keadaan dan menjadi tali harapan untuk berpaut. Dari mana semangat akhir dan penyambung hayat motivasi untuk terus berjuang? Iaitulah kepercayaan. Inilah yang ditegaskan pada perspektif Albedo. Salah satu peranan bagi yang dicipta adalah percayakan pencipta. Jika pencipta kita menciptakan kita dengan penuh teliti dan bijaksana, maka percayakan pencipta kita bahawa apa yang dia lakukan adalah dengan kebijaksanannya. Tunggu masanya, nanti dia akan zahirkan dan pamerkan kebijaksanaannya. Kita pula cukup serahkan kepercayaan kepadanya.

Sebenarnya, kalau kita tengok episod lebih awal, Albedo sendiri pun seperti Demiurge juga. Tidak menyatakan rasa setuju dengan keputusan tuannya menghadapi Shaltear seorang diri. Akan tetapi, daripada mana Albedo dapat “kepercayaan” bahawa tuannya akan selesaikan keadaan? Pada mulanya Albedo skeptik bahawa tuannya berpeluang kecil untuk mengalahkan Shaltear kerana Shaltear berkompeten dalam pertempuran jarak dekat dan jarak jauh, sedangkan tuannya hanya berkebolehan dalam pertempuran jarak jauh. Tuannya, Ainz Ooal Gown tidak menafikan hal itu, tetapi dalam masa yang sama tuannya menyatakan bahawa Albedo salah dalam masa yang sama. Alasannya adalah Albedo dan yang lain hanya mampu menggarap pengetahuan apa yang telah dimasukkan sahaja. Ini menyebabkan Albedo tertanya apa maksudnya.

Dari sinilah Ainz Ooal Gown menaburkan “manifesto” bahawa dia akan tunjukkan bahawa dia tidak dipanggil sang agung maha penguasa Nazarick hanya suka-suka. Ainz Ooal Gown akan membuktikan bahawa dia tidak akan kalah dengan mereka yang bergantung kepada kemampuan semata-mata. Dari sini Ainz cuba menggambarkan bahawa dia ada cara lain untuk menang yang di luar pengetahuan penjaga Nazarick. Dia meyakinkan lagi bahawa dia dan Peroroncino, pencipta Shaltear adalah kawan yang baik. Pernyataan ini cuba menggambarkan bahawa Ainz Ooal Gown mengetahui beberapa perkara tentang Shaltear disebabkan rapatnya hubungannya dengan Peroroncino. Ketika itulah, Albedo “disogok” rasa yakin dan percaya bahawa adanya nilai kebijaksanaan dan daya berstrategi dari tuannya. Tambah lagi rasa cinta yang mendalam kepadanya, lagilah dia tidak mampu berbuat apa-apa melainkan berpaut pada kepercayaan.

Kemudian, apa jadi? Setelah kemenangan tuannya dalam pertempuannya dengan Shaltear, Albedo dan Demiurge berubah persepsinya pada Ainz Ooal Gown. Terutamanya Demiurge, kalau kita lihat musim yang seterusnya, dapatlah kita lihat bahawa Demiurge mulai ada kepercayaan yang kuat pada sifat kebijaksanaan dan pen-strategi-an tuannya. Pujian melambung pada tuannya mula nampak terzahir, sedangkan pada awalnya dulu dia seorang yang skeptik. Mungkin sebab kemenangan Ainz pada pertempuran Shaltear membuktikan bahawa Ainz sememangnya raja yang bijaksana, lalu Demiurge memperoleh bukti sokongan untuk semaikan rasa percaya dalam jiwanya terhadap wawasan dan wibawa tuannya.

image

Dari perspektif Cocytus pula, kita melihat betapa dalamnya rasa penghayatannya tentang kebijaksanaan tuannya dalam tindakannya. Dia memahami kalau tuannya letakkan seseorang di suatu posisi itu, pasti itulah yang terbaik. Sesiapa yang lain cuba mengalihkannya, maka dia menganggap ada seseorang lebih bijak dari tuannya dan baginya, selain tuannya tidak mungkin ada yang lebih agung dari tuannya. Sebab itulah Cocytus berang kalau ada orang cuba buat keputusan selain yang ditetapkan dari tuannya yang agung. Itu seolah-olah usaha untuk melangkaui kebijaksanaan seorang yang maha bijaksana. Perspektif begini tidak akan terbit melainkan seseorang itu memiliki kepercayaan yang mendalam dan sebati pada sifat kebijaksanaan dan kewibawaan seseorang itu.

Mengapa ini termasuk dalam sesuatu yang ditekankan? Dalam kehidupan kita sebagai seorang hamba yang berpegang teguh kepercayaan kepada Tuhan, penghayatan ini perlu ada pada setiap hamba. Kadangkala, apabila kita berhadapan dengan sesuatu yang tidak dapat dicakna dan dicerna oleh akal, sedangkan Tuhan memerintah atau mentakdirkan sedemikian, kita mungkin akan bersikap seperti Demiurge, atau lebih teruk lagi. Kita akan mengeluh “sepatutnya begini” atau “kalaulah begitu begini” atau beberapa keluhan berbentuk “cadangan” yang mencabar dan meragukan ketetapan Tuhan. Tentu sahaja ini adab yang buruk seorang hamba yang memiliki pengetahuan terbatas dan garapan yang terhad terhadap Tuhannya yang punya ketidakterbatasan dalam ilmu-Nya, ketelitian-Nya dan kebijaksanaan-Nya. Ini kesan akibat tiada kepercayaan yang mendalam dalam ketelitian pencaturan-Nya dan ketajaman pandangan-Nya.

Kadang ini juga sikap yang tidak baik seorang awam atau orang yang bukan bidangnya mempersoal orang yang berkeahlian dan berkelayakan padanya. Terutamanya apabila situasi dan keuntungan tidak berpihak pada kita. Ya, manusia tidak sempurna dan kadang pendapat dan justifikasi kelihatan bernas, tetapi tidak sama pertimbangan yang kita lakukan berbanding dengan pandangan komprehensif daripada orang yang sememangnya itu adalah bidangnya. Sikap sebegini sebenarnya satu penistaan terhadap orang yang lebih berpengalaman dan lebih berkemampuan padanya kerana memandang rendah dan tidak menghargai

Kita perlu ingat bahawa manusia dapat membentuk komuniti, mara ke hadapan, membina tamadun dan membangunkan pemodenan kerana saling percaya sesama sendiri dalam mengagihkan lapangan bidang yang dimahiri oleh seseorang itu dalam usaha bersama menggerakkan kerja. Kalau tidak ada kepercayaan, sehinggalah kepada penghayatan, kita sama sekali tidak akan dapat nikmati dan kecapi kemakmuran yang tersedia dalam tamadun yang kita diami. Kekuatan dan kemampuan manusia terbatas. Sebab itulah kita amanahkan kepercayaan kepada orang lain untuk membina, mengembangkan dan menyambung legasi bagi menampung kekurangan dan kelemahan kita.

Kembali kepada perspektif Demiurge. Sekali lagi ditegaskan bahawa Demiurge berusaha sedaya upaya untuk selamatkan tuannya dan selamatkan keadaan. Dia seorang strategiwan (strategist) untuk Nazarick. Bagi perspektifnya, tindakan tuannya tidak memihak banyak kebaikan kerana sememangnya ada cara lain untuk selesaikan masalah dengan Shaltear, iaitu hantar antek (minion) jika ada perangkap atau umpan dan takluk Shaltear dengan pasukan yang besar memandangkan Nazarik mempunyai kelebihan yang banyak. Tindakan melawan seorang diri, lebih-lebih sang penguasa mutlak merupakan tindakan sangat berisiko dan berbahaya. Itulah perspektif strategiwan yang kita sama sekali tidak akan nafi.

Sebab itulah Demiurge sangat bertegas dalam hal ini. Sememangnya strategiwan akan berfikir secara objektif, mementingkan kesempurnaan dan mengelakkan mengambil risiko yang besar sedangkan ada cara lain untuk jamin kemenangan. Demiurge berfikir bukan untuk kebaikan Nazarick sahaja, ia juga untuk kebaikan tuannya secara khusus. Sebab itu kita tidak boleh mengatakan sangat Demiurge “melawan” dan “memberontak” secara eksplisit. Kalau kita lihat dari kaca mata seorang strategiwan, kita akan nampak dimensi cerapannya.

Inilah sebab kalau berlakunya sesuatu pada Ainz Ooal Gown, Demiurge mendesak Albedo meletak jawatan sebagai penyelia kepada penjaga Nazarick. Sebab Albedo menghalang pelan tindakan Demiurge. Seorang strategiwan jika sudah ada perancangan yang mahu direalisasikan, ia benci kalau ada sesuatu yang mengganggu kesempurnaan pelannya. Ya, Demiurge mungkin sama sekali tidak berniat menistakan tuannya yang agung dalam desakannya terhadap Albedo untuk meletakkan jawatan yang tuannya sendiri posisikan. Cuma, Demiurge menganggap bahawa tindakan sedemikian sengaja merisikokan aset yang penting dan mereka yang berbuat sedemikian wajar dikenakan tindakan. Albedo sendiri pun tidak menafikan fakta itu dan sebab itu dia menerima desakan tersebut.

———————————–

Perkara lain yang saya dapat ambil pengajaran ialah dalam urusan pentadbiran dan pengurusan kadangkala boleh ada konflik. Kadangkala, masing-masing berperspektif berlainan, namun masing-masing untuk matlamat yang sama, iaitu kepentingan bersama. Kalau kita lihat cadangan Demiurge untuk halang tuannya dari terlibat dengan pertempuran yang terlalu besar risikonya dan mewakilkan dirinya untuk bertempur dengan lawan tuannya supaya tuannya selamat dari bahaya, nampak seperti betul. Tetapi dalam masa yang sama, apa yang Albedo katakan itu juga pun nampak seperti betul.

Masalah ini kadangkala susah untuk ditentukan siapa yang benar dan siapa yang betul. Mungkin apatah lagi politik juga terdedah dengan perkara yang sama. Saya tidak cadangkan apa penyelesaiannya kalau perkara ini berlaku, sebab itu sesuatu yang mengikut konteks dan bergantung pada akal budi seseorang itu, cuma ingin dedahkan bahawa konflik ini boleh berlaku dan salah betulnya sukar untuk dipastikan. Mungkin kedua-duanya betul, mungkin kedua-duanya salah atau mungkin salah satunya betul.

Untuk perkaitan, ini juga yang terjadi dalam anime Berserk (2017), episod 3. Mule Wolflame, bangsawan dari Midland membantah ketidaksetujuan mengambil kaum Kushan, yang memusuhi Midland yang berpaling tadah menjadi pihak tentera untuk Midland. Sedangkan Locus menyatakan sebaliknya. Malah, kaum Kushan boleh dinaikkan pangkat dan menjadi pemimpin untuk tentera apabila dipastikan ia bebas daripada berpaling tadah. Sekarang ini, siapa yang betul? Susah untuk dipastikan dan perlu dilihat lebih mendalam lagi. Begitulah yang akan berlaku dalam setiap pengurusan. Konflik sememangnya akan ada. Tetapi, akhirnya Mule merelakan sahaja setelah dapat tahu dengan siapa dia mempersoal dan siapa insan yang hebat yang berpihak pada Band of Hawk.

Kadangkala, kita perlu mengalah juga walaupun cara itu bukan yang kita mahu. Walaupun Demiurge memberontak, tetapi akhirnya dia mengalah untuk tidak melawan Albedo dan Cocytus yang menghalang perancangannya. Masing-masing mahu pamerkan kesetiaan tuannya, cuma cara berbeza. Namun, apabila ada masa untuk perlu mengalah, kita harus melakukannya untuk kepentingan bersama dan cuba yakinkan diri bahawa pilihan orang lain juga mungkin ada harapan jalan pembuka

https://www.facebook.com/photo.php?fbid=2843937538990154&set=pb.100001218067654.-2207520000.1564602574.&type=3&theater

No comments:

Post a Comment