Tuesday, 2 June 2020

Interaksi Dengan Aib Manusia

Secantik mana pun rumah seseorang dan semegah mana pun perabot yang ada dalam rumah tersebut, kalau kita selak belakang katil, menyelinap bawah kerusi atau intai celah-celah almari, pasti kita akan temui habuk padanya. Memang akan ada.

Manusia pun sebegitu. Selongkar dalam-dalam, mesti jumpa aib yang ada pada diri seseorang. Aib tidak semestinya sesuatu yang berdosa, ia boleh sahaja kekurangan kita atau sesuatu yang agak memalukan individu jika terbongkar (kadangkala ia subjektif dan bergantung pada diri individu) seperti rasa jemu nak membaca al-Quran panjang-panjang, rasa malas nak mengerjakan tahajjud, terlajak tidur pada waktu Subuh, pakai boxer gambar Doraemon di bilik, kencing berdiri, jilat jari selepas menguli tepung dan sebagainya. Ini pasti akan ditemui.

Jadi, apa yang patut dilakukan sebagai Muslim? Sudah tentu sembunyikan aib jika ia adalah soal peribadi. Rasulullah SAW bersabda :

وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

"Sesiapa yang menutup aib seseorang Muslim, maka Allah menutup aibnya pada hari kiamat". (Sahih Muslim).

Maksud "peribadi" di sini, bukan hanya merujuk kepada individu semata-mata, tetapi ia juga merangkumi satu komuniti. Dengan kata lain, jika aib tersebut hanya melibatkan satu keluarga, tidak perlu siar kepada umum jika ia tiada kena mengena dengan pihak lain. Jika hanya melibatkan sesama pekerja restoran makcik Kiah, tidak perlu tayangkan cerita tersebut kepada orang lain. Kalau berlaku pergaduhan sesama staf di KFC cawangan seksyen 13, biarkan sahaja mereka yang tahu. Tidak perlu tularkan video supaya seluruh rakyat Malaysia tahu.

Kadangkala, terutamanya apabila kita seorang yang disegani dan terkenal, kita tidak segan silu buka dan bongkar aib orang lain untuk ajak sama-sama mencela terhadap orang tersebut. Mentang-mentang ramai pengikut dan peminat yang setia yang pasti dia akan mendapat lebih banyak liputan dan pengaruh, sedang yang lain akan terpinggir dan terus dicela, kita sengaja abai perintah supaya tidak menyelongkar aib orang lain. Ingatlah yang Allah ancam orang sebegini. Rasulullah SAW bersabda :

يَا مَعْشَرَ مَنْ أَسْلَمَ بِلِسَانِهِ ، وَلَمْ يُفْضِ الْإِيمَانُ إِلَى قَلْبِهِ ، لَا تُؤْذُوا الْمُسْلِمِينَ ، وَلَا تُعَيِّرُوهُمْ ، وَلَا تَتَّبِعُوا عَوْرَاتِهِمْ ، فَإِنَّهُ مَنْ تَتَبَّعَ عَوْرَةَ أَخِيهِ الْمُسْلِمِ تَتَبَّعَ اللَّهُ عَوْرَتَهُ ، وَمَنْ تَتَبَّعَ اللَّهُ عَوْرَتَهُ يَفْضَحْهُ وَلَوْ فِي جَوْفِ رَحْلِهِ " ،

"Wahai sekalian yang islam pada lisannya, tetapi tidak sebati imannya pada jantungnya! Jangan kalian menyakiti kaum Muslimin, jangan kalian mengejek mereka dan jangan mencari-cari aib mereka. Sesiapa yang mencari-cari aib saudara Muslimnya, maka Allah mencari-cari aibnya. Barangsiapa yang Allah mencari-cari aibnya, maka Dia membongkarkannya walaupun di celah rumahnya". (Sunan at-Tirmidziy)

Tidak kira apapun motifnya, ingatlah bahawa salah satu ciri munafik adalah berlebihan dalam berbalah. Apabila sampai menjaja aib peribadi, dia sudah pun melampaui batas. Walaupun kita di pihak benar dalam sesuatu isu, ia tidak menghalalkan untuk menyiar-nyiarkan aib peribadi orang lain.

Jika ingin tegur seseorang pun, ingat cara ini. Katakan anda terjumpa seseorang yang zip seluarnya terbuka. Orang yang budiman akan mengingatkannya secara senyap. Yang toksik pula akan menjerit pada orang sekeliling "Tengok tu! Zip seluar terbuka! Nampak spender gambar Gekota!" sambil gelak berdekah-dekah. Perhatikan bagaimana kawan anda. Apakah jenis budiman atau yang toksik?

Jika toksik, misalnya suka screenshot atau printscreen atau buat status umum atau tularkan video atau gambar untuk memperlihatkan aib peribadi orang lain kepada orang ramai, maka jauhilah. Suatu hari, boleh jadi giliran kau pula yang akan dia buat sedemikian, lebih-lebih lagi bila kau dan dia mula tidak ngam.

Kita semua ada aib masing-masing, tetapi mengapa kita sembunyikannya? Banyak faktor dan selalunya ia melibatkan reputasi. Bagi seorang pemimpin, tidak boleh pamerkan kelemahan pada orang lain kerana ia berpotensi melemahkan kepercayaan orang yang dipimpin. Malah, kelemahan itu pula akan dipergunakan oleh pihak musuh atau lawan untuk menjatuhkannya. Bagi seorang kaunselor, tidak boleh kita zahirkan kelemahannya seperti stres dan kecamuk kerana pesakit yang ingin kita rawati tidak akan mendengar nasihat kita jika mereka tahu keadaan sebenar. "Kau nak nasihatkan aku yang stres supaya, tetapi kau juga gelabah apabila berhadapan dengan stres?". Demikianlah yang akan terjadi. Begitulah seterusnya.

Semuanya supaya orang tidak hilang kepercayaan kita atau sekurang-kurangnya merendahkan kita. Komuniti manusia dapat hidup bukan kerana tiada aib atau cacat cela, tetapi mereka akui kelemahan masing-masing dan dengan itu, orang lain yang lebih kompeten dan cekap akan mengimbangi kekurangan mereka. Dengan sebab kepercayaan kita berikan sesama manusia dan akui kelemahan yang ada pada mereka, lalu diperbaiki atau ditampungi dengan yang lebih baik, kita boleh bergerak bersama membina komuniti dan tamadun. Sebab itulah tidak ada manfaat apa-apa dalam menyebar-nyebarkan aib. Jika seseorang tersisih hanya kerana aib, terutamanya yang peribadi, pasti kita tidak dapat melihat kemajuan seperti hari ini.

Tidak ada apa yang untung dengan menjaja aib orang lain. Kita semua ada bahagian nista masing-masing. Beza antara kita dengan orang lain adalah yang telah terzahir atau masih tersembunyi. Jangan fikir suatu hari sisi buruk kita tidak akan terbongkar dengan mempermainkan aib orang lain.

Pun begitu, kadangkala kita tidak boleh sembunyikan aib kita, lebih-lebih lagi jika memang sudah sampai peluang untuk perbaiki kelamahan kita atau perlunya memberitahu supaya tidak diletakkan tempat yang salah. Misalnya, jika seseorang ditawarkan untuk menjadi Menteri Pertahanan, tidak boleh sembunyikan aibnya bahawa dia tidak kompeten dalam hal itu meskipun dia menyerlah pada bahagian kepimpinan yang lain. Tetapi, tidak boleh lebih-lebih.

Begitu juga jika seseorang bertanya tentang calon pasangan kepada kita. Jika kita tahu ada aib yang boleh memudaratkannya apabila dia berkahwin nanti, tidak boleh disembunyikan. Begitu juga jika seorang hakim meminta bawakan bukti terhadap jenayah seseorang. Tidak boleh sembunyikan jika ia berkaitan dengan proses kehakiman. Sekali lagi, tidak boleh berlebihan atau mendedahkan yang tidak sepatutnya.

Penutupnya, ini yang saya ingin katakan.

"Tidak mengapa kalau anda suka menonton anime dan drama Korea. Di luar sana ada orang suka menonton aib orang lain"

"Tidak mengapa kalau anda rajin kongsi meme. Di luar sana ada orang rajin sebar aib orang lain dan tambah lagi tular cerita-cerita aib bersifat peribadi".


No comments:

Post a Comment