Aku memang sudah lama percaya dunia ini memang kejam. Dia akan buli kita cukup teruk. Kalau kita dapat bahagian yang kita mahu dalam kehidupan dunia ini, sebenarnya dunia mahu mempermainkan kita. Seolah-olah dunia masih kasihani kita. Hakikatnya, ia adalah tipu daya. Selepas itu, dia akan tindas dan pekena kita cukup-cukup. Lagi dan lagi sampailah kita mati. Sememangnya dunia adalah permainan. Kita dalam permainannya dan dunia akan terus bermain dengan kita.
Aku pernah menulis hal ini pada penulisan sebelum ini**, tetapi tidak mengapa kalau aku ulangi sekali. Iaitu antara contoh kekejaman dunia yang dilakukan terhadap penghuninya. Contoh yang kita bawa adalah tentang dunia memaksa kita untuk memilih untuk menerima lambakan pelarian tanpa berkira atau mendahulukan kepentngan warga tempatan terlebih dahulu.
Katakanlah kita menerima seratus orang pelarian meminta bernaung di negara ini atas dasar rasa kemanusiaan dan persaudaraan sesama agama merentas sempadan dan bangsa. Ye lah! Kita yang menentang penerimaan ini dianggap bersikap assobiyyah dan xenophobia. "Cuba bayangkan diri anda di tempat mereka, apa perasaan anda kalau dilayan seperti itu?". Itulah retorik yang terus-menerus meratib dalam menjustifikasikan tindakannya. Ye lah! Kita mengalah dengan kehendak mereka yang berkeras untuk menerima juga. Kita pun terima sahajalah.
Apa akan jadi selepas itu? Bulan depan, kawannya atau keluarganya bawa pula seratus orang lain. Baiklah. Kita terima sahaja mereka atas dasar ihsan, rasa simpati, rasa kemanusiaan dan rasa persuadaraan sesama agama tanpa mengira budaya dan sempadan. Kemudian? Bulan depan, bertambah lagi. Kemudian, bertambah, bertambah, bertambah dan bertambah lagi. Berganda-ganda pula pertambahannya. Kita tidak boleh menolak sebab mahu berkeras sangat dengan rasa kemanusiaan dan persaudaraan. Ulangilah retorik tadi kalau tiba-tiba hati terasa waswas dan syak wasangka. Lama-lama boleh cukup dua juta atau lebih populasi negara kita hanya dengan pelarian atau pendatang asing sahaja.
Itu baru satu negara. Cuba kalau lepas ini negara lain pula dan mereka pula tahu bahawa tanah air kita ini syurga idaman untuk menempatkan pelarian? Mereka pula datang bukan dengan seratus orang, tetapi beratus ribu. Cuba darabkan pula dengan negara-negara yang lain. Akhirnya apa? Lama-lama kita pun tidak boleh terbuka sangat. Tidak dapat tidak, sudah jadi kewajiban untuk menjadi tegas sebab sudah muak dan risau dengan lambakan orang asing yang bertapak kukuh, malah mendominasi negara dan enggan pulang ke kampung halamannya. Tambah lagi dengan situasi epidemik penyakit berjangkit yang tiada vaksin masih mencengkam nyawa manusia, tentu lagi kita perlu bertegas dalam menapis membawa masuk pendatang asing atau pelarian.
Apa lagi? Akhirnya, orang yang ejek orang lain xenofobia dan assobiyyah, mereka sendiri juga akan memakan cemuhan yang mereka sendiri lemparkan. Mereka sendiri akhirnya tersisip sedikit xenofobia dan assobiyyah terhadap negara walaupun mereka berdalih dan enggan mengakuinya kerana sudah banyak immigran yang masuk tetapi tidak pernah keluar telah mula bertapak dan membina kekuatan di sini.
Lihat! Selagimana tidak ada dasar atau polisi yang boleh menyeleraskan, mengawal dan menjanjikan yang terbaik untuk dua pihak; pelarian atau pendatang dengan rakyat tempatan, selagi itu rasa xenofobia masih ada dasarnya. Sembanglah tentang kemanusiaan dan persaudaraan. Selagimana tidak ada satu sistem atau orde yang boleh menjamin kepentingan nasional, selagi itu xenofobia tidak dapat dihapuskan. Menyalahkan orang hanya kerana bersikap sedemikian tidak ada guna kalau enggan menerima dan tidak mahu mengamati puncanya.
Kita terpaksa menelan kepahitan bahawa kita sudah terlalu baik, terbuka dan berlembut sangat sehingga tempat kita sudah menjadi transit atau dunia baru untuk orang luar jalani kehidupannya. Kita terlalu bagi ruang sangat sehingga akhirnya orang asing sudah mampu bersaing, menentang dan mengancam kedudukan rakyat tempatan. Masa itu, penyesalan pun agaknya sudah kira terlambat. Orang asing dengan kelompoknya sendiri dan mengasingkan diri daripada penduduk tempatan. Multibudaya telah membuka lebih banyak jurang perpecahan dan perselisihan.
Aku (atau orang lain) tidak peduli digelar buruk atau dituduh atau diejek, terutamanya xenofobia atau kepuakan atau fasis atau tidak belas kasihan sebab mahu pertahan kepentingan negara terlebih dahulu. Sebab kita tahu impaknya apabila terlalu beri muka dan peluang. Kita tidak boleh berpaut dengan dunia utopia dan alam idealistik. Kita berpaksikan pada realiti dan pelajaran yang kita peroleh akibat kegagalan kita atau orang lain sama ada yang terdahulu atau sekarang. Sentimen dan semangat yang berkobar bukan magik untuk menyelesaikan masalah. Dengan adanya rasa kemanusiaan atau semangat persaudaraan, bukan bermakna automatik aturan dunia akan berpihak dengan wawasan kita. Penyelesaian bijaksana diperlukan lebih daripada sentimen dan semangat atau retorik semata-mata.
Jadi apa? Kita sudah hilang kasihan, ihsan dan simpati kepada mangsa kerana mendahulukan kepentingan negara? Kita sudah sirna perasaan kemanusiaan dan ikatan persaudaraan sesama agama merentas sempadan dan agama kerana kita sudah menjadi assobiyyah dan xenofobia? Tidak sama sekali! Kita semua, tidak kira konservatif atau liberal atau sesiapa pun sangat ingin membantu dan mengakhiri penderitaan mereka. Kita semua sama-sama mahu cari jalan penyelesaian yang terbaikyang membantu para pelarian tanpa memusnahkan nilai sentimen dan identiti yang telah lama dikongsi, diwarisi dan disematkan dalam minda dan jiwa kita.
Namun apa? Kita semua belum berpuas dengan dasar dan polisi yang sedia ada. Ada sahaja lompong dan pincang. Kita boleh toleransi kekurangan yang dianggap tidak sempurna, tetapi kita tidak boleh berlapang dada dengan korupsi dan kebejatan yang wujud dalam sistem. Kita masih tidak dapat atau belum mampu berbuat apa-apa lagi atau yang dianggap terbaik untuk semua. Kita belum ada lagi jalan penyelesaian bersama untuk selesaikan krisis yang membimbangkan kita semua.
Adakah dengan kita menegaskan pendirian untuk tidak menerima pelarian itu menunjukkan kita semua sudah tidak lagi peduli ikatan kemanusiaan dan persaudaraan yang kita perjuangkan selama ini? Bahkan, kita semua berat hati memandang duka mata mereka yang kabur masa hadapannya dan menanggung nestapa yang melukakan sepanjang pelayaran. Wajah kita tampak bengis dan meradang tatkala kita menolak dan menghalau, tetapi di hati kita sudah terbeban dengan beribu-ribu perasaan yang membadai di jiwa. Kita terpaksa menutup mata dengan jiwa yang hiba seolah-olah kita perlu ketepikan ihsan atau tidak dapat berlembut lagi.
Kita semua saudara seagama dan kita juga ada ada rasa kemanusiaan, tetapi kita tidak boleh ambil kedua-duanya dalam dua pilihan yang terbentang. Kerana kelak ia menghuru-harakan kita semua. Kita memang ada impian untuk dunia yang aman dan manusia saling toleransi dalam angan-angan imaginasi kita. Malangnya, realitinya tidak akan pernah menjanjikan sebegitu. Sebab jikalau kalian mari beramai-ramai pun, kelak akan wujud jenis perang versi berbeza dari kampungan halaman kalian yang telah pun berkecamuk. Kalian mungkin akan merasa aman dengan sifat ihsan, tetapi akan datang boleh wujud suatu keresahan dan kita semua akan laluinya. Kita tidak ada pilihan lain lagi. Berat hati kita terpaksa mengorbankan ihsan yang kita begitu mahu berikan demi sifat tegas untuk melindungi kepentingan negara.
Kejam kan dunia yang kita saksikan, rasai dan alami sendiri? Ya. Itulah yang aku rasa dan fahami. Rasa meluat dan bara geram itu sudah lama menggelegak bertarung dengan kesabaran. Apa yang kita boleh buat? Kita tiada daya untuk mengubah peraturan permainan dunia yang memang tidak ada belas kasihan. Kita terpaksa buat pilihan yang si kejam ini paksakan kepada kita. Dunia sedang mempermankan kita dengan pilihan kejam ini! Kalau tidak buat pilihan, kita sendiri, malah orang lain juga akan derita bersama.
Dan aku (dan sahabat lain) keberatan untuk memilih menolak pelarian ini sambil terpaksa tutup mata dan menebal muka untuk menolak keras. Maafkan kami. Bukan kami tidak mahu terima, tetapi kami juga dalam kepayahan yang tersendiri.
**https://www.facebook.com/photo.php?fbid=3424268894290346&%3Bset=a.344595828924350&%3Btype=3&%3Btheater
No comments:
Post a Comment