Tuesday, 12 May 2020

Sepatah Dua Kata Untuk Memperingati Pemergian Allahyarham Ustaz Ismail Kamus

Semalam ustaz Ismail Kamus telah meninggalkan kita. Aku pun sebenarnya bukanlah peminat ustaz Ismail Kamus ini sebab aku jarang dengar kuliah daripada beliau. Kalau diberi pilihan untuk dengar ceramah ustaz Kazim Elias dengan ustaz Ismail Kamus, mestilah aku dengar dulu dari ustaz Kazim Elias sebab aku dari kecil memang sudah biasa dengan ceramah ustaz Kazim. Sedikit (atau mungkin jarang atau mungkin tidak pernah) yang aku dengar dari ustaz Ismail Kamus.

Cuma, tiba-tiba aku teringat salah satu buku hasil kerja terjemahan beliau ini. Ini bukan buku karangan beliau, tetapi karya Dr. Yusuf al-Qaradhawi. Namun, entah kenapa dipaparkan gambar beliau di kulit buku. Memang boleh mengelirukan seolah-olah ia adalah buku beliau. Kalau aku tidak tengok bahagian penerbitan buku, mesti aku menyangka buku ini adalah buku beliau. Mungin sebab tujuan pemasaran agaknya. Pun begitu, elok juga kita manfaatkan hasil usaha beliau.


Buku ini dihadiahkan oleh salah seorang guru aku, Nik Bakri Nik Mat untuk semua pelajarnya. Sudah lama. Rasanya pada tahun 2014. Tetapi, tidak pernah baca sejak sampai ke tangan. Selalunya buku macam ini memang aku tidak letak prioriti dalam pembacaan sebab tema yang ini banyak dalam kuliah dan biasa dengar dalam ceramah agama. Boleh kata, aku agak merendahkan nilai yang ada pada buku ini sebab ini buku arus perdana (mainstream). "Dah ada banyak kuliah pasal ini, mengapa perlu bebankan masa dan habiskan lagi duit untuk beli yang sama?", itulah bisikan jiwa aku.

Kemudian, hari ini baru diberi semangat untuk baca sempena memanfaatkan warisan arwah dan menebus rasa bersalah kerana tidak pernah ambil tahu ceramah atau kuliah atau karya daripada beliau. "Bila lagi kan?", tanya hati aku. Dalam masa yang sama, aku merasakan elok juga kalau aku ada satu penulisan yang boleh memperingati beliau supaya tidak dibenam dan dilupakan.

Ya, memang betul. Ternyata pandang rendah aku meleset dan silap. Buku begini boleh menjadi kupasan menarik dalam menghuraikan falsafah dan ilmiah yang tinggi. Nampak gaya, buku ini bukan buku nasihat yang biasa kita dengar atau baca, tetapi ia boleh jadi pembacaan yang menggerakkan fikiran dan memerhati sudut yang pelbagai yang lebih luas. Buku ini bukan sahaja mahu membina jiwa, tetapi menumbukan intelektual.

Sememangnya begitu karya-karya Dr. Yusuf al-Qaradhawi. Di samping ada penghuraian dengan bentuk falsafah, beliau mesti menekankan kepada pembentukan sahsiah insan. Memang keterujaan boleh bangkit apabila baca karya-karya beliau. Sekali baca, memang akan terheret untuk baca sampai habis. Memang menarik buku ini untuk dibaca kepada semua orang.

No comments:

Post a Comment