Tuesday, 12 May 2020

Teguran Naofumi Tentang Sentimen Hero Dan Tidak Berpijak Di Bumi Nyata

Dalam anime The Rising Of Shield Hero, episod 10, ada babak tentang teguran Naofumi kepada Itsuki dan Ren. Ketiga-tiga semua ini adalah Hero yang diseru untuk selamatkan dunia dan mereka mempunyai kuasa yang istimewa yang tidak dimiliki oleh tentera dan penjelajah. Namun, Itsuki dan Ren telah melakukan sesuatu yang parah yang menyebabkan kerosakan kepada sekeliling dalam melaksanakan tugasnya sebagai Hero.

Naofumi menegur bahawa Ren telah membunuh seekor naga, tetapi Ren membiarkan bangkainya sehingga bangkainya itu menyebabkan wabak penyakit yang berlaku di kampung berdekatan. Ini kerana Ren berfikiran sama dunia yang dia berada itu seperti satu set game. Dalam game, apabila kita bunuh raksasa atau makhluk jahat, ia akan hilang atau kalau ada bangkainya pun, ia tidak menjejaskan apa-apa. Sedemikian apa yang dipersepsikan oleh Ren. Dan inilah yang ditegur sekali lagi dalam episod 21 bahawa dunia ini adalah realiti dan perlu untuk hadap fakta itu. Maksudnya, jangan berfikiran macam yang ada di game, tetapi ia adalah realiti.

Manakala, untuk Itsuki pula, dia terlibat dalam pasukan revolusi yang menggulingkan penguasa yang zalim. Akan tetapi, penggulingan tersebut bukanlah yang menggantikan kehidupan baharu yang lebih bahagia, tetapi ia sama sahaja menggantikan yang rosak dengan yang rosak. Rakyatnya tetap sama menderita dengan cukai yang tinggi dan kebuluran walaupun digantikan dengan pemerintahan yang baru. Ren tidak sedar perkara ini. Baginya, cukup dengan menggulingkan penguasa zalim, nanti sistem yang lebih baik akan terimplementasi. Itulah yang dia rasakan.

Teguran Naofumi jelas pada episod 21, bahawa kuasa Hero tidak akan selesaikan apa-apa. Maksud Naofumi adalah meskipun seseorang itu ada kuasa Hero atau berjuang di pihak yang baik, sentimen tidak selesaikan masalah. Naofumi berkata lagi bahawa sepatutnya Itsuki menggunakan pendiriannya sebagai Hero untuk menekan orang yang mengambil alih dan ambil masa untuk memikirkan tentang cara yang terbaik dalam menggunakan kuasa.

Jadi, apa yang kita dapat di sini adalah perlunya kita melihat dan mempertimbangkan realiti dunia yang kita hidup dan sentimen tidak menyelesaikan apa-apa masalah. Kita tidak boleh hidup dalam dunia abstrak lagi utopia yang penuh idealistik atau bergerak hanya berpandukan semangat yang kita berpegang dengannya. Kita perlu menjadi bijaksana dan berpandukan kepada realistik.


Teguran Naofumi ini juga mengingatkan aku kepada dua isu yang berlaku baru-baru ini. Pertama, geng agamawan yang acah-acah kuat tawakkalnya dan berlagak kuat imannya yang hanya takut Allah berbanding takut Covid-19. Bagi mereka, cukup dengan semua ini, seolah-olah imuniti mereka jadi kebal dan virus Covid-19 tidak akan kacau mereka. Inilah jenis orang yang sama seperti Ren. Hanya berbekalkan sentimen, maka dia rasakan sistem dunia akan berpihak kepada kita secara sendirinya. Maksudnya, kalau seseorang ingin bertawakkal dalam berkehendak untuk selamat daripada virus, maka hidupkan suis tawakkal, dunia akan tunduk dengan kehendak kita dan virus akan menjauhinya.

Tawakkal dan iman yang tinggi bukan alasan untuk bertindak bodoh dan tidak menggunakan akal. Telah pun jadi fakta bahawa virus tersebar melalui udara dan sentuhan. Ia boleh menjangkiti mereka yang tidak menunjukkan simptom. Kita pun tidak sesuka hati keluar ke pasar melainkan dengan mengikut langkah keselamatan yang digariskan oleh pakar perubatan. Pasar pun bukan tempat yang selamat lagi. Masjid juga sama. Kluster ijtimak tabligh di masjid Sri Petaling adalah bukti yang nyata.

Untuk mengalahkan musuh dengan hanya menyerbu sahaja sambil pasangkan tawakkal dan naikkan iman ke tahap tertinggi. Seseorang perlu merangka strategi dan sediakan peralatan secukupnya. Sentimen rasa keagamaan yang kuat bukan penghalalan untuk menjadi bodoh dan malas berfikir. Untuk memancing ikan pun, perlu tengok sungai yang bagaimana. Bukan hanya baling joran dan baca bismillah, lalu mengharapkan ikan memakan umpan. Inilah yang mereka tidak sedari. Tidak berpijak di bumi nyata.

Kedua, isu lambakan immigran dan pelarian. Memang betul kita perlu cari jalan penyelesaian untuk membantu mereka. Kita juga membenci golongan xeonofobik. Namun, jika hanya menerima mereka sahaja tanpa saringan bilangan serta latar belakang atas dasar kemanusiaan dan meluat kepada xenofobia, realitinya ia akan membawa padah. Lambakan warga asing boleh menyebabkan berlakunya pemisahan sosial dan krisis identiti bagi sesebuah negara. Inilah yang berlaku di Eropah yang kemuncaknya semenjak dari Brexit sampailah naiknya Trump.

Kita perlu ada belas kasihan, tetapi kita juga perlu bijak. Bukan hanya berpandukan sentimen dan semangat yang kuat. Kita mengutuk xenofobia, tetapi xenofobia masih tetap ada asasnya. Tidak ada guna kita membenci sesuatu tanpa kita ambil tahu, peduli atau akui punca kepada berlakunya sesuatu. Ia tidak akan menyelesaikan apa-apa. Akhirnya, golongan yang mengutuk xenofobia juga akan ada sisa xenofobia walaupun mereka tidak mahu mengakuinya akibat lambakan immigran yang tidak terselia dan terkawal yang semakin dominan dan mula mengukuhkan kekuatannya di negara kita.

Mahu atau tidak mahu, kita juga perlu ada had untuk penerimaan mereka dan terpaksa menahan atau menghalau yang lain. Adakah dengan kita menetapkan had ini, kita telah hilang rasa kemanusiaan terhadap mereka yang tidak berpeluang untuk mendapatkan perlindungan dari negara ini? Sebenarnya kita lebih bersikap mengambil berjaga-jaga dan seimbang antara sentimen rasa kemanusiaan dan xenofobia. Kita mengambil kira kesejahteraan dan kepentingan negara, di samping tanpa mengesampingkan kemanusiaan merentas sempadan. Kita berpijak kepada realiti.

Kesimpulannya, kita perlu berpijak di dunia realiti dan bertindak atas dasar kebijaksanaan. Sentimen yang idealistik bukan matlamat yang sempurna, melainkan sekadar penggerak sahaja. Sekalipun, kita berjuang di pihak kebenaran, ia tidak akan menghasilkan apa-apa jika ia hanya berdasarkan hentam keromo dan membabi buta. Anda di garisan yang betul, tetapi anda bergerak dengan tidak betul. Demikianlah.

No comments:

Post a Comment