Saturday, 18 April 2020

Pernyataan Semula Mengapa Saya Tidak Setuju Penterjemahan Kutub Sittah Kepada Bahasa Melayu

Hish! Ada yang masih tak faham (atau buat-buat tak faham) kenapa saya tegaskan pendirian bahawa Kutub Sittah (Sahih al-Bukhariy, Sahih Muslim, Sunan at-Tirmidziy, Sunan Abū Dāud, Sunan an-Nasāiʾy dan Sunan Ibn Mājah) adalah tidak relevan untuk diterjemah kepada bahasa Melayu.

Saya jelaskan sekali lagi. Tapi, sebelum itu, saya dah suarakan hal ini pada penulisan sebelum ini. Sila baca penulisan ini terlebih dahulu :

https://marzukamartillo.blogspot.com/2020/04/penterjemahan-kutub-sittah-kepada.html

Ok, ini saya nak pernyataan semula supaya jelas pendirian saya :

1. Kalaupun diterjemah, apakah orang ramai akan mendapat manfaat ilmu atau kefahaman sepertimana yang sewajarnya? Kebanyakan mereka tidak memahami bahasa Arab yang merupakan ilmu alat penting untuk faham teks-teks hadis. Jadi, apa guna?

2. Kalaupun ingin mendekatkan orang ramai kepada hadis Rasulullah, ada dua perkara yang perlu dilihat :

(a) Di pasaran sudah pun banyak terjemahan teks-teks hadis yang khusus dalam sesuatu isu, topik dan tema. Sudah ada buku hadis tentang fiqh seperti ʿUmdah al-Aḥkām dan Bulugh al-Marom. Juga sudah koleksi buku yang mengumpulkan hadis sahih mengikut bab tertentu seperti buku Himpunan Hadis-Hadis Sahih karya Dr. Abdul Ghani Azim Haji Idiris. Sudah ada juga buku yang khusus mengumpulkan hadis yang khusus untuk sesuatu tema seperti solat, wuduk, puasa, haji dan lain-lain. Malah, buku fiqh kontemporari pun lebih komprehensif kajian hadisnya. Jadi, apa keperluan lagi untuk lambakkan lagi?

Lagipun, orang sudah boleh dekat kepada hadis Rasulullah SAW tanpa perlu lagi Kutub Sittah memandangkan sudah ada banyak karya yang menyimpulkan dan mengutip daripada apa yang ada dalam rujukan tersebut. Jangan pula samakan saya menentang penterjemahan kutub sittah dengan menentang orang ramai untuk mendekati hadis Rasulullah SAW. Kemudian, kita lihat perkara kedua yang lebih krusial.

(b) Apa yang lebih diperlukan oleh masyarakat sekarang? Bagi saya, karya yang berkaitan dengan metodologi atau kaedah-kaedah dalam memahami hadis lebih diperlukan buat masa ini. Tengok contoh gambar yang saya kepilkan bersama. Baris sebelah kanan adalah buku berkaitan dengan ilmu hadis, yang ditengah adalah usul fiqh dan yang di kiri buku atau tesis PDF adalah yang saya print yang berkaitan dengan ilmu bahasa, usul fiqh dan hadis.


Ini adalah sebahagian kecil daripada sebilangan buku atau tesis yang berlambak di luar sana berbahasa Arab. Karya ini adalah mengandungi perbahasan, perbandingan, kajian, kritikan dan pembentangan metodologi dalam sesuatu topik, isu dan tema yang khusus dan difokuskan kepada lebih mendalam. Saya berbesar hati jika saya diberikan peluang untuk menterjemah semua karya ini.

Sepatutnya karya ini wajar menjadi hidangan dan diletakkan keutamaan kepada masyarakat. Membina kefahaman lebih utama. Karya sebeginilah patut digiatkan dan diperhebat terjemahannya.

Apa guna kalau kita bentangkan hadis daripada Sunan Abū Dāud, tetapi akhirnya orang hanya membaca tanpa apa-apa bekalan ilmu? Membuat orang terpinga-pinga sama sekali tidak akan mendekatkan lagi kepada hadis. Tentu sahaja lebih buruk apabila terpesong dari kefahaman sebenar akibat tidak mengerti metodologi sistematik dalam memahami hadis. Sebab itu karya sebegini sangat patut diketengahkan.

3. Benar kata ustaz Nasaie Hanaffie. Biarlah mereka tidak tahu apa yang ada dalam kitab besar jika mereka tidak mahu menempuh pembelajaran bahasa Arab dan ilmu alat yang lain.

4. Cuma, saya tidaklah mahu mengatakan biarkan sahaja masyarakat kekal bodoh bagi yang tidak menguasai bahasa Arab. Mereka juga ada hak ilmu yang perlu kita berikan ruang. Sekurang-kurangnya berilah mereka karya yang boleh mendekatkan kefahaman hadis yang sebetulnya. Yang tinggal cumalah belajar bahasa Arab. Tidak dapat buka semua pintu, jangan tutup semua pintu. Sekurang-kurangnya ada sedikit bekalan ilmu apabila membaca hadis di hari kemudian nanti.

No comments:

Post a Comment