Saturday, 18 April 2020

Fahami Cara al-Ḥāfiẓ Ibn Ḥajar al-ʿAsqolāniy Mensyarahkan Hadis Sahih al-Bukhari Dan Mengapa Saya Tidak Bersetuju Penterjemahan Kutub Sittah Kepada Bahasa Melayu

Kenapa saya bertegas yang saya tidak setuju penterjemahan Kutub Sittah (Sahih al-Bukhariy, Sahih Muslim, Sunan at-Tirmidziy, Sunan Abū Dāud, Sunan an-Nasāiʾy dan Sunan Ibn Mājah) kepada bahasa Melayu?

Baca cara al-Ḥāfiẓ Ibn Ḥajar al-ʿAsqolāniy dalam mensyarahkan hadis Sahih al-Bukhari dalam kitabnya Fatḥ al-Bārī sudah cukup kita sedar bahawa untuk mendapatkan fiqh hadis bukan semudah yang disangka. Ia lebih kompleks daripada penafsiran al-Quran. Sekaligus, saya ingin menjawab kepada persoalan "Terjemah al-Quran boleh, tetapi terjemah hadis tidak boleh?".

Yang saya petik pada gambar ini cumalah sedikit daripada perbahasan penuh yang dibentangkan oleh beliau.


Begini metodologi beliau dalam mensyarahkan hadis. Sebelum beliau mensyarahkan hadis, beliau analisis sanad terlebih dahulu dengan cara membawa kepelbagaian sanad, memperkenalkan status perawi dan sebagainya. Kemudian, beliau kumpulkan beberapa riwayat dari pelbagai sumber yang mempunyai lafaz yang berbeza daripada teks versi Sahih al-Bukhari. Beliau juga bentangkan ʿillah yang ada dalam hadis yang selain al-Bukhari jika ada.

Kemudian, barulah masuk syarahan. Itu pun dalam syarahan, beliau buat perbandingan, pengharmonian dan tarjih daripada pelbagai pandangan ahli ilmu tentangnya untuk mendapatkan kefahaman dalam hadis secara tuntas. Jika wujudnya ikhtilaf dalam hadis, beliau akan cari penyelesaiannya. Jika ada kritikan terhadap Sahih al-Bukhari sama ada dari sudut kesahihan atau kekeliruan matan, beliau akan menjawabnya.

Walaupun dipanggil syarah Sahih al-Bukhari, tetapi cakupannya lebih luas. Ia lebih daripada ruangan Sahih al-Bukhari. Boleh dikatakan kitab ini sebenarnya bertemakan "Kitab Perbandingan Dan Analisis Hadis Sahih al-Bukhari Dengan Kitab Hadis Yang Lain, Jawapan Terhadap Syubhat Terhadapnya Dan Faedah Daripada Hadis Tersebut".

Jadi, kemahiran yang diperlukan untuk mendapatkan fiqh hadis adalah perlu melalui saringan hadis terlebih dahulu dan ia memerlukan penguasaan ilmu hadis. Kemudian, kita perlukan pelbagai rujukan untuk buat perbandingan perbezaan lafaz jika ada. Kita takhrij hadis dari sebanyak rujukan yang mungkin, kemudian analisis sanad dan matannya. Jika dirasakan ada ʿillah atau syaz, perlu bawakan keraguan yang munasabah untuk menjustifikasikannya. Untuk ini, orang awam yang tidak ada kemahiran atau mereka yang kurang kemampuan, cukup bertaklid dengan mana-mana ahli hadis yang berwibawa dalam penilaian hadisnya.

Kemudian, dalam syarahan atau mengambil kefahaman daripadanya, tentu sahaja penguasaan bahasa Arab sangat penting. Kemudian, ilmu alat lain seperti usul fiqh dan kaedah-kaedahnya. Kemudian, jika wujudnya ikhtilaf dalam hadis, perlu rungkaikan kemelutnya. Yang ini, memang berhajatkan metodologi yang bersistematik dalam dadanya supaya isinya boleh diekstrak dengan cara yang betul. Bahkan, tidak boleh kita hanya bergantung satu sumber rujukan hadis sahaja dalam mensyarah. Kita perlu lihat lafaz yang pelbagai dari rujukan yang lain supaya peroleh maksud yang sebenar dalam hadis tersebut.

Apa yang saya ingin tekankan dalam penulisan ini adalah bahawa tidak relevan Kutub Sittah diterjemahkan. Apa guna kalau bentangkan hadis Sunan Abū Dāud tetapi akhirnya orang awam tidak mendapat faedah yang secukupnya atau terpinga-pinga memahami fiqhnya dan terhad kemampuan untuk membuat analisis atau lebih buruk lagi, menyeleweng daripada yang sebenarnya?

Apabila dibentangkan mereka hadis tersebut, ada atau tidak ʿillahnya? Bagaimana lafaz dalam riwayat lain? Apakah sama maknanya walaupun lafaz berlainan atau lebih kurang sama maknanya atau ada pelbagai lafaz yang menunjukkan makna yang saling berbeza? Untuk buat perbandingan sebegini untuk menuju kepada kefahaman yang tuntas, cukupkah sekadar dengan Kutub Sittah? Adakah al-Ḥāfīẓ Abū Dāud mensahihkan hadis itu atau mengʿilalkan hadis itu?

Persoalan ini akan menjadi cabaran yang besar untuk orang yang tidak ada kemahiran bahasa Arab yang sekaligus wujudnya kekurangan kemampuan atau terhadnya kemampuan untuk menggerakkan kerahan dalam mengambil faedah dari hadis tersebut.

Kita bukan mahu menutup ruang untuk orang awam untuk menggapai akses kepada Kutub Sittah, tetapi kita mahu letakkan hak ilmu yang sewajarnya. Sebab itulah saya bersetuju dengan Ustaz Nasaie Hanaffie yang menyatakan bahawa sesiapa yang tidak mempelajari bahasa Arab dan menempuh jalan untuk mendalami ilmu alat, biarkan sahaja dia tidak tahu apa yang terkandung dalam kitab besar. Sekarang, harap jelas mengapa Ustaz Nasaie berkata sebegitu.

Mungkin akan ada yang bertanya: "Kalau begitu, orang awam macam saya tidak ada ruang yang banyak untuk mendekati hadis Rasulullah?".

Saya katakan, ia sudah pun banyak. Malah, tanpa terjemahan Kutub Sittah, sudah lama masyarakat punyai banyak jalan atau telah pun sampai kepada kedekatannya kepada hadis Rasulullah.

Sudah ada karya yang mengumpulkan hadis yang sahih seperti Himpunan Hadis-Hadis Sahih karya Dr. Abdul Ghani Azim Haji Idris keluaran al-Hidayah Publications. Sudah ada juga yang mengumpulkan banyak hadis dalam satu judul seperti 300 Hadis Bimbingan karya Zahazan Mohamed dan Ahmad Hasan Mohd Nazam, keluaran Telaga Biru, Tajzibu Athraf Al-Hadith yang disusun oleh al-Ustaz al-Haji ʿAbdul Halim al-Hadi, keluaran Al-Hidayah Publications, Inilah Rasulullah oleh Salman Al-Audah, terbitan Mutiara Publishing. Malah, kita sudah ada terjemahan Munkhatob al-Aḥādiṯs karya Maulana Yusuf al-Kandahlawiy, keluaran Klang Book Centre yang menjadi bacaan dalam halaqah tabligh.

Kita juga sudah ada terjemahan Riyāḍ aṣ-Ṣōliḥīn karya al-Imām an-Nawawiy, terjemahan Hadis 40 al-Imām an-Nawawiy dan terjemahan Bulugh al-Marom karya al-Ḥāfiẓ Ibn Ḥajar al-ʿAsqolāniy. Kesemua ini sudah ada terjemahan syarahnya. Ada beberapa lagi yang terkenal seperti terjemahan ʿUmdah al-Aḥkām karya ʿAbdul Ghaniy al-Maqdisiy dan terjemahan Syamāʾil Muḥammadiyyah karya al-Imām at-Tirmdziy. Semua ini sudah ada kuliah dan pengajiannya.

Malah, sudah ada ada juga buku yang khusus untuk mengumpulkan hadis yang sesuai dengan tema, topik atau isu. Contohnya seperti Asbābun Nuzūl, hadis qudsiy dan yang berkaitan dengan doa dan zikir yang sudah ada banyak di pasaran. Contoh yang lain ialah hadis tentang wuduk seperti Sifat Wuduk Rasulullah karya Abu Ezzat al-Mubarak, keluaran al-Hidayah Publication dan 30 Hadis Sifat Wuduk Nabi Muhammad SAW karya Ahmad Adnan Fadzil keluaran Telaga Biru. Contoh yang lain adalah hadis tentang petunjuk kenabian dan mukjizat bagi seperti Petunjuk Kenabian Yang Sudah Wujud Dan Belum Wujud, karya Raja' Atiyyah, keluaran Jasmin dan 1000 Mukjizat Rasul karya Dr. Mustafa Murad, keluaran Jasmin. Contoh yang lain ialah hadis tentang qiyamullail seperti Hadith-Hadith Sembahyang Malam yang disusun oleh Safie bin Ibrahim, keluaran Pustaka Jiwa dan 40 Hadith Tentang Solat Tahajud.

Contoh yang lain adalah hadis yang berkaitan dengan khutbah seperti Khutbah Rasulullah; Wasiat Agung Buat Umat Tercinta karya Rohidzir Rais, keluaran PTS Publication dan 230 Khutbah Rasulullah karya Prof Dr. Muhammad Khalil al-Khtaib. Contoh yang lain adalah yang berkaitan dengan Targhib Wa Tarhib seperti Ringkasan Targhib Wa Tarhib karya Ibn Ḥajar al-ʿAsqolāniy keluaran Pustaka Azzam. Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam juga memiliki karya yang mempunyai tema tersendiri seperti Empat Puluh Hadits Akhlak Mulia, Empat Puluh Hadis Kelebihan Ilmu Dan Ulama dan 40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman.

Malah, banyak buku fiqh atau tazkiyah an-Nafs atau buku tentang akhir zaman yang membahas secara tuntas dengan mengumpulkan hadis-hadis yang sesuai dengan tema. Misalnya Sunnah Rasulullah Dari Kupasan Hadis; Sunnah Dalam Hadis-Hadis Mengenai Penyakit, Perubatan & Pakaian oleh Majlis Tertinggi Urusan Keisalaman Mesir, keluaran Pustaka Al-Ehsan. Contoh yang lain adalah yang berkaitan dengan haji seperti Sunah Rasulullah Dari Kupasan Hadis; Sunnah Dalam Hadis-Hadis Mengenai Haji & Umrah oleh Majlis Tertinggi Urusan Keislaman Mesir, keluaran Thinker's Library dan Tuntas Memahami Haji dan Umrah karya Dr. Nuruddin ʿItr, keluaran PT Serambi Semesta Distribusi. Bahkan buku Sifat Solat Nabi yang masyhur juga sudah banyak mengumpulkan hadis-hadis yang berkaitan dengan solat di samping membahaskannya.

Masih lagi mahu kata orang awam di Malaysia secara khususnya tidak ada ruang yang banyak untuk mendekati hadis-hadis Rasulullah? Dengan pelbagai karya yang sebegini, untuk apa lagi kita lambakkan untuk tema yang sama dalam pasaran?

Saya cadangkan jika ingin terjemahkan teks hadis pun, kumpulkanlah semua hadis dalam satu karya untuk satu tajuk atau judul atau karya yang berkenaan, kemudian takhrij rujukan seberapa banyak yang boleh untuk satu hadis tanpa perlu terpisah-pisah rujukannya sepertimana Kutub Sittah. Jika ingin syarah, sama ada ingin menyeleraskan syarahan dengan mazhab asy-Syafiʿiy atau pun tidak, itu terpulang pada cara masing-masing.

Kutub Sittah adalah sumber rujukan yang "mentah" (raw) yang terpisah-pisah. Mengapa kita tidak boleh ambil inisiatif untuk menggabungkan sekali hadis yang sama dalam satu topik dengan menyatakan rujukannya melalui takhrij? Contohnya, apabila ada satu hadis yang diriwayatkan oleh Sunan at-Tirmidziy, an-Nasaāʾiy dan Abū Dāud dalam satu tema, mengapa tidak meletakkannya teks hadis tersebut dengan menyatakan takhrij tiga rujukan bersama? Kemudian, jika mahu, syarahkan hadis tersebut.

Ini lebih memberi manfaat kepada orang awam kerana keperluan orang awam adalah mengambil makna dan intipati daripada hadis tersebut, bukan mahu menekuni manhaj dan kaedah ilmu secara mendalam dan komprehensif.

Apa lagi? Saya juga cadangkan untuk kita giatkan penterjemahan karya sama ada berbentuk kitab atau tesis yang berkaitan dengan pembinaan kefahaman dan pemantapan metodologi dalam pemahaman hadis sama ada berbentuk usul fiqh dan kaedahnya atau ilmu hadis. Sudah banyak karya seperti ini yang memberi pengkhususan dan kupasan mendalam yang berbentuk perbandingan, penganalisisan, pentarjihan, kritikan dan lain-lain. Antara contoh karya adalah seperti berikut :

الْقَوْلُ الشَّاذُّ وَأَثَرُهُ فِي الْفُتْيَا

"Pendapat Ganjil Dan Kesannya Kepada Fatwa" karya Aḥmad bin ʿAliy al-Mubārakiy

الاعْتِبَارُ فِي عُلُومِ الْحَدِيثِ الشَّرِيفِ

"Kaedah al-ʿItibār Dalam Ilmu Hadis" karya Syammāʾ Jamāl al-Asmar

التَّصْحِيحُ عَلَى شَرْطِ الشَّيْخَيْنِ الْبَخَارِيِّ وَمُسْلِمٍ: دِرَاسَةٌ تَطْبِيقِيَّةٌ نَقْدِيَّةٌ

"Pensahihan Hadis Melalui Syarat Dua Syeikh, iaitu al-Bukhari dan Muslim; Kajian Praktikal Dan Kritikan" karya Riyāḍ Ḥusayn ʿAbdul Laṭīf

الْخِلَافُ وَأَثَرُهُ فِي الْجَرْحِ وَالتَّعْدِيلِ

"Khilaf Dan Kesannya Dalam al-Jarḥ Wa at-Taʿdīl" karya Dr. Mājid ad-Darwish

تَأْثِيرُ الْعِلَّةِ فِي تَصْحِيحِ الْحَدِيثِ بَيْنَ الْمُتَقَدِّمِينَ وَالْمُتَأَخِّرِينَ

"Pengaruh al-ʿIllah Dalam Pensahihan Hadis: Antara al-Mutaqaddimin Dan al-Mutaakhirin" karya Abū ʿAbdul Roḥmān ʿImād bin Ḥasan al-Miṣriy

التَّعَارُضُ بَيْنَ الْأَقْسِيَةِ وَأَثَرُهُ فِي الْفِقْهِ الْإِسْلَامِيِّ

"Pertentangan Antara Beberapa Qiyas Dan Kesannya Dalam Fiqh Islam" karya Māyyadah Muḥammad al-Ḥasan

الْمَنَاهِجُ الْأُصُولِيَّةُ فِي مَسَالِكِ التَّرْجِيحِ بَيْنَ النُّصُوصِ الشَّرِيعَةِ

"Manhaj Ahli Usul Dalam Tatacara Tarjih Antara Teks-Teks Syariat" karya Dr. Khalid Muḥammad 'Aliy.

أَهَمِّيَةُ الْمَقَاصِدِ الشَّرِيعَةِ الْإِسْلَامِيَّةِ وَأَثَرُهَا فِي فَهْمِ النَّصِّ وَاسْتِنْبَاطِ الْحُكْمِ

"Kepentingan Mqasid Dalam Syariah Islam Dan Kesannya Dalam Kefahaman Teks Dan Istinbat Hukum" karya Dr. ʿAbdul Wahhāb al-Jundiy.

أَسْبَابُ اخْتِلَافِ الْمُفَسِّرِينَ فِي تَفْسِيرِ آيَاتِ الْأَحْكَامِ

"Sebab-Sebab Perselisihan Ahli Tafsir Dalam Menafsirkan Ayat-Ayat Hukum" karya ʿAbdul Ilāh Ḥuriy

Ini adalah beberapa contoh daripada karya-karya yang banyak berbahasa Arab. Tajuk kelihatan menarik, bukan? Lagi-lagi mereka yang dahaga dengan kuriositi, tentu karya ini sangat didambakan buat mereka semua. Ya! Ini semua ada dalam bahasa Arab. Tinggal lagi untuk diterjemah, lalu menjadi santapan ilmu untuk mereka.

Saya kira, inilah yang paling diperlukan untuk warga umat Islam di Malaysia. Tidak ada guna kita bentangkan hadis, tetapi mereka tidak mampu mengambil faedah daripadanya disebabkan jahil dengan kaedah yang diperlukan dan tentu lebih buruk jika mereka menyimpang dari kebenaran disebabkan tidak ada kelurusan dalam manhaj. Lebih baik kita bina kefahaman sedaya yang boleh untuk masyarakat melalui usul fiqh dan ilmu hadis. Tinggal lagi mereka perlu belajar bahasa Arab sahaja.

Apabila kita tidak mampu membuka semua pintu, maka tidak perlu tutup semua pintu. Bukalah selagimana yang boleh. Mereka juga ada hak ilmu untuk diberikan ruang. Maka, sudah tentu kita perlu ketengahkan kepada mereka karya-karya sebegini untuk pemahaman lebih mendalam dan mempunyai keluasan dalam pengkajian, pemerhatian dan melihat dimensi yang berbeza. Kita sudah banyak buku yang berkaitan dengan teks hadis, tetapi begitu kurang dengan karya kefahaman hadis. Sebab itulah karya sebegini bagi saya sangat perlu diberi perhatian dan diperkenalkan kepada masyarakat.

No comments:

Post a Comment