Saturday, 18 April 2020

Penterjemahan Kutub Sittah Kepada Bahasa Melayu Adalah Tidak Wajar Dan Tidak Relevan

Ada perkhabaran tentang terdapat perbincangan mengenai penterjemahan kutub sittah (Sahih al-Bukhāriy, Sahih Muslim, Sunan at-Tirmiziy, Sunan Abū Daud, Sunan Ibn Mājah dan Sunan an-Nasāʿiy) dari bahasa Arab ke bahasa Melayu[1].

Saya teringat pula dengan kenyataan ustaz Nasaie Hanaffie tentang isu penterjemahan kitab[2].


Benar. Saya juga antara yang tidak setuju penterjemahan kitab yang besar untuk peringkat tinggi. Contohnya adalah kitab-kitab hadis seperti kutub sittah dan juga syarahnya. Begitu juga kitab fiqh mazhab peringkat tinggi seperti Nihāyatul Muhtaj, Syarḥ al-Muḥaḏḏab dan lain-lain. Bagi saya, banyak mana pun dana kita ada untuk salurkan kepada terjemahan, tidak relevan untuk diagihkan kepada bahagian ini. Biarkan ia dalam bahasa Arab.

Saya persoalkan dari dua sudut. Pertama, untuk bidang hadis, dalam memahami fiqh hadis, kita perlu menilaii status kesahihan dan melalui proses saringan dahulu. Fasa ini pasti melibatkan isu takhrij dan mencari keraguan yang munasabah untuk menetapkan wujudnya ʿillah dalam hadis. Pastinya, tidak cukup dengan hanya merujuk dengan kutub sittah. Terlalu banyak rujukan lain untuk mengumpukan seberapa banyak yang boleh madār (pusat) bagi sanad sesuatu hadis. Justeru, saya kira orang awam yang hanya dapat akses kepada terjemahan kutub sittah tidak akan dapat mengecapi sumber yang cukup untuk takhrij.

Kedua, kalau pun ia diterjemah, apakah orang awam akan dapat kefahaman yang sebenarnya dengan metodologi ilmu yang sebenar sepertimana yang menjadi landasan kepada ahli ilmu? Sekarang, mereka tidak mampu berbahasa Arab dan hanya mampu memahami berdasarkan penterjamahan. Mereka kekurangan satu ilmu alat yang penting dan vital dalam membina kefahaman yang sistematik. Jadi, saya kira orang awam tidak akan peroleh manfaat yang secukupnya walaupun diterjemahkan.

Pun begitu, orang awam juga bukanlah jenis orang yang dungu dan tidak ada apa-apa kemahiran untuk kuasai bidang agama yang lain daripada kerjaya, profesion dan pengalaman ilmiah mereka. Sebahagian mereka adalah pakar dalam bidang mereka, berpengalaman luas dalam kerjaya mereka, telah lama bergelumbang dengan analisis dan penilaian serta senior dan terlatih dalam pengurusan bidang mereka. Ada juga daripada mereka yang PhD dan menjadi rujukan dalam bidang mereka. Kita juga perlu berikan hak ilmu kepada mereka.

Jadi, apa yang sesuai untuk mereka? Bagi saya, terjemahan yang perlu digiatkan yang sesuai untuk mereka adalah karya, buku atau tesis yang membahaskan secara khusus dan mendalam tentang sesuatu aspek, tema dan permasalahan dalam bidang agama. Sudah banyak karya bahasa Arab ini telah diterbitkan dan dijadikan bahan bacaan yang berbentuk perbandingan, perbahasan atau kritikan. Antara contoh yang saya boleh kemukakan adalah :

"Pendapat ganjil dan kesannya terhadap fatwa"

"Kepentingan maqōṣid dalam syariah"

"Manhaj mutaqaddimin dan mutaakhirin: Perbincangan dan bantahan"

Ya! Ini semua ada dalam bahasa Arab! Tinggal lagi untuk diterjemah dan menjadi bahan yang bermanfaat kepada para pembaca awam. Saya boleh untuk menjadi panel penterjemah untuk karya sebegini jika didanai.

Inilah yang diperlukan. Lengkapi mereka dengan kefahaman dan sistematikkan ilmu mereka dengan neraca yang benar. Biar apa pun teks al-Quran dan hadis yang mendatang, mereka telah dibekalkan dengan alat untuk selaraskan metodologi garapan mereka. Tinggal lagi mereka perlu kuasai bahasa Arab.

Untuk mendekatkan masyarakat kepada hadis, bukan hanya terjemahan teks sahaja, tetapi ia juga memerlukan kefahaman supaya apa yang difahami nanti menepati yang ditetapkan dalam syariat.

Kalaupun kita ingin terjemah lagi lebih banyak teks hadis yang sudah pun banyak berlegar di pasaran, kita sepatutunya lebih fokus hadis yang padanya ada syarahan atau kupasan yang membina kemahiran dan memantapkan kefahaman sehinggalah kepada penghayatan dalam amalan. Terjemahan teks hadis yang tanpa apa-apa syarahan, saya merasakan ia tidak memberikan apa-apa manfaat yang sewajarnya untuk mereka yang awam.

[1]https://www.facebook.com/drzulkiflialbakri/posts/3246237355440044

[2]https://www.facebook.com/nasaie.hanaffie/posts/10211945083399948

No comments:

Post a Comment