Aku tahu engkau bukannya pemalas, mahu pula menjadi orang yang berputus asa. Hirup nafas ini sudah bukan lagi teman setiamu. Ia sudah pun lelah dan perlahan-lahan ia akan meninggalkanmu kerana sudah terlalu jemu. Engkau pun berpaling dengan meninggalkan hati yang berat, meskipun engkau terlalu ingin mendambakan kesenangan. Lepaskan tanggungjawab ini dengan sebegitu sahaja dalam saat pincang yang membarah seperti kanser yang menuju ke parah. Engkau masih di dalam gelisah dengan mengingatkan dan memikirkan apa yang engkau telah tinggalkan. Terseksa lagi mindamu walaupun zon ini terlalu selesa untukmu.
Adakah engkau ingin kembali semula dan merebutkan semula dalam menebus dosamu yang lalu? Atau engkau akan membiarkannya dan menikmatinya tanpa lagi peduli? Jika engkau tidak peduli, apakah engkau sangka ia tidak akan datang menyambarmu nanti?
Kau tersepit? Demikianlah dunia ini. Terlalu ramai sengsara bertarung dengan kehidupan ini. Sebahagian mereka menamatkan begitu sahaja bersama duka dan luka yang menyentap qalbu, dan akhirnya merenggut pula nyawa mereka.
Ah! Engkau berkeinginan seperti itu. Cita-citamu telah bulat dan tekadmu telah pun teguh. Tetapi aneh, engkau masih ada motivasi untuk terus hidup. Bahkan engkau masih berenang-renang dalam fantasimu bahawa engkau menikmati keenakan samudera ini.
Jadi, engkau pun keluar dari kemelut ini. Namun, engkau pula terperangkap dalam kebimbangan. Siapa yang akan memberikan simpati terhadapmu? Siapa yang akan bersamamu dalam pelepasanmu ini? Adakah tindakan ini suatu dosa buatmu? Apakah yang akan difikirkan oleh orang tentang engkau?
Kau berhajat untuk tidak menyulitkan sesiapa di sekelilingmu. Dan engkau mencuba mengambil haluanmu sendiri. Tetapi engkau masih belum mampu melepaskan nikmat yang kau kecapi ini. Sanggupkah engkau masih bergantung seseorang yang sudah putus harapan terhadap engkau?
Betapa tempat ini terlalu sempit lagi penuh dengan marabahaya. Sekelilingmu manusia yang penuh dengan manusia yang sukar dipastikan wataknya. Kegawatan segenap aspek mengepung kiri dan kananmu. Engkau tidak ingin mengemis, tetapi engkau tidak sanggup menghadapi kepayahan ini.

Apa yang engkau harapkan dari kehidupan ini? Untuk terus menikmati getusan jiwa yang menjadi syair-syairmu? Demi memaksimakan apa yang engkau miliki di sisimu daripada pemberian orang yang sudah putus asa terhadapmu?
Aku tahu engkau serba salah. Terus menangis kerana mengenangkan duka ini. Tidak terhitung dosamu dan tidak mampu disucikan pula apa yang menjadi kehinaan buat dirimu. Dan engkau masih buntu dalam kesamaran. Engkau tersekat pula di dalam kegelapan ini. Masih bercandukan fantasi yang hanya menambahkan luka di minda. Engkau cuba tidak patah semangat dan gagah menghadapi arus. Tetapi, engkau adalah lemah dan tidak terdaya. Hanyutlah pula di dalam gelombangnya. Terkapai-kapai dalam lemas. Ke mana arus di bawa, di situlah ia dilambung.
Apakan lagi? Akhirnya tersekat minda engkau untuk terus memikirkan. Engkau mula menipu diri sendiri bahawa engkau tidak terbawa arus. Engkau cuba menciptakan imej dirimu bahawa itulah engkau seperti apa yang disenangi oleh orang. Melupakan keluhan dulu dan bersorak gembira dalam kepalsuan. Ah! Biarkan sahaja. Biarkan engkau dalam sesuatu yang tidak mampu diperkatakan lagi.
Renungkan dengan dalam. Carilah identiti bagi dirimu. Jangan berputus asa untuk mendapatkan jawapan. Kebenaran pasti akan datang jika engkau termasuk orang yang yakin. Usah berputus asa dan jangan pula memandang kecil terhadap rahmat yang disediakan dan dijanjikan untukmu. Engkau lemah, tetapi engkau belum tentu terkalahan.
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=992580484125878&set=a.2757481107635798&type=3&theater
No comments:
Post a Comment