Monday, 30 March 2020

Jangan sedih wahai sahabat. Kerana itu memang adat dan lumrah orang yang mendengki. Selama engkau wujud adanya, ia akan memastikan engkau disakiti. Tidak lelah untuk memastikan engkau terus dihina. Tidak akan mereka berhenti melainkan dapat memperbodohkan kamu. Hatinya terlalu sakit berhari-hari kerana mengingati akan engkau yang begitu dibenci. Pendam ammarah yang terbenam membawanya kepada dendam. Sudah lagi tidak malu untuk mencela dan mengejek. Memusuhi seseorang tanpa alasan munasabah. Tidakkah kau lihat mereka ini orang yang mendustakan dirinya sendiri? Tidakkah kau lihat mereka ini orang yang telah menzalimi dirinya sendiri?

Mereka sangka apa yang terasa sakit di hati, maka itulah musuh baginya. Mereka sangka apa yang berada di luar lapangan jangkauan mereka, maka itulah kejahatan. Mereka sangka apa yang menjadi keremehan di sisi mereka adalah suatu kekejian. Adakah mereka yang menentukan kadar kapabiliti dan potensi seseorang? Tidak cukup luaskah bumi dan langit ini sehingga mereka sanggup terus berkhayal dengan apa yang mereka konsumsi terhadapnya dan memuja akannya?

Adakah fakta itu dihapus hanya kerana ia dinafi? Tidak sesekali! Mengapa mereka tiba-tiba berpaling daripada hakikat ini? Kerana mereka buta! Tidakkah mereka tahu akibat orang yang mengurangkan dan menzalimi hak orang lain? Ah! Peduli apa! Asal dengki ini terlunas. Perampas, perompak dan perebut yang begitu buas, sekalipun disamarkan dengan belas. Pujaan mereka telah digugat kerana keagunganmu. Oh! Betapa pedihnya jiwa mereka dengan kesumat yang membakar di hati. Sepanjang masa bermundar-mandir merancang agar engkau dirobekkan dalam keadaan gelisah dan geram yang saling bercampur.

Kelak mereka akan tahu betapa sia-sianya kesungguhan mereka. Kemarahan ini begitu sengsara terhadap jiwa mereka. Sama ada mereka mengalah dengan kecewa atau mereka akan berpura-pura tidak tahu setelah kegagalan demi kegagalan…. sambil masih tersisip geram yang tertanam di dalam hati.

image

Adakah begitu sukar sekali untuk mereka tunduk dengan apa yang dikurniakan kepadamu? Atau sekurang-kurangnya mengiktiraf dan memberikan hak yang adil untukmu? Mengapa mereka masih terus dengan dengki yang sudah banyak mengorbankan jiwa mereka? Ketahuilah yang menjadi kepayahan mereka itu berada di dalam jantung mereka. Ya! Hawa nafsu yang dijadikan Tuhan sebagai sesembahan!

Jangan sedih wahai sahabat! Mereka tidak akan dengki padamu melainkan mereka menyedari engkau telah mengungguli mereka! Jika mereka sedar bahawa mereka itu adalah yang yang berdaulat, tidak patut mereka terasa digugat! Tidaklah mereka akan cuba menjatuhkan kamu melainkan engkau berada di kemuncak yang tertinggi. Jangan bersedih! Perlahan-lahan dengki itu akan memakan diri mereka.

https://www.facebook.com/photo.php?fbid=997253853658541&set=a.2757481107635798&type=3&theater

No comments:

Post a Comment