Monday, 4 January 2021

Teguran Kepada Penuntut Ilmu Yang Manja

Dah sampai masa kena cakap dan memang terpaksa cakap sebab dah lama pendam dan dah lama melihat sedikit realiti yang berlaku pada penuntut ilmu, tidak kira sama ada yang agama atau bukan agama; sains atau apa sahaja. Maaflah. 

Sudah kerap sangat melihat penuntut ilmu yang hanya merengek, komplen dan mengeluh tentang content (slaid, peta rajah, gambar hiasan, muzik latar belakang dan lain-lain) dan panjang durasi dalam video yang berkaitan dengan ilmu, bukan dari sudut kandungan istifāadah ilmu itu sendiri. Saya tak khususkan ilmu agama sahaja, tetapi juga dengan ilmu lain sama ada sains, sejarah atau apa sahaja.

Punyalah rasa terbeban untuk menekuni penulisan panjang sehingga kalau boleh matan Abī Šhujāʿ dan kitab yang khas untuk pemula yang dummy bodoh bengap pun mahu minta lukis!

Mungkin kalau dia mari daurah atau kelas atau menonton kuliah pengajian atau daurah dari para masyayikh yang alim yang tidak ada content menarik pun dikira sesuatu yang membosankan!

Benda-benda macam ini lebih dipedulikan.

Terlalu manja sangat nak menekuni ilmu sehingga semua benda nak minta orang lain memudahkan untuk dia dan menjadikan dia tertarik dengan pembentangan. Malah, kalau sudah dimudahkan pun, itu pun ambil ringan lagi. 

Tak ada guna pun dibuka pintu kemudahan seluas-luasnya dan diisi pelbagai content kalau langsung tiada himmah (semangat yang tinggi) dan rasa kepedulian terhadap kepentingan tahkik dalam ilmu. Kalau dah namanya pemalas, tak ada guna. Betul kata petikanini :

If you are not willing to learn # No one can help you

If you are determine to learn # No one can stop you

Tambah lagi pelik, orang inilah yang ke sana ke sini nak jadi jaguh dan juara bahawa merekalah yang paling benar dan yang paling berilmu di mata rakan dan masyarakat.

Padahal, kenalan rapat dia pun tahu yang dia itu bukanlah ulat buku atau kurang entusias untuk prioritikan pembelajaran kendiri. Duit yang banyak pun tak pernah difikirkan untuk beli buku yang berguna pada minda dan masa yang banyak pun tak pernah rasa bersalah jika tidak diperuntukkan untuk belajar. Malah, dia sendiri akan mengakui bahawa dia sangat kurang bekalan ilmu alat yang diperlukan. Itu pun nak berlagak lagi?

Apabila kita bentangkan jawapan balas dan hujah, mereka inilah paling awal merasa lesu. "Panjanglah bro, lukis boleh?". Malah, disindir dan diejek pula kalau menulis panjang.

Kenapa tak cakap je yang semua benda kena ikut kepala otak kau?!

=============

Sememangnya lebih baik para pengajar, pendakwah atau mereka yang ingin sebarkan dan mengembangkan ilmu perlu ambil peluang dan sediakan modul atau bahan yang menarik untuk kemudahan para penuntut ilmu serta membangkitkan rasa minat untuk pelajar. 

Lebih baik juga mereka belajar teknik mengajar dan berucap supaya . Saya sendiri pun dilatih oleh guru saya sendiri untuk teknik pengajaran dan pengucapan sebelum masuk ke medan pengajaran. Sekarang ini pun, saya sedang mengusahakan modul pembelajaran untuk kelas yang akan dibuka nanti.

Namun, ini nasihat khas kepada penuntut ilmu. Jangan terlalu berkira sangat dengan isu remeh dan teknikal sehingga itu sampai menjadi alasan untuk pudarkan semangat menuntut ilmu. Kalau hidup asyik mahu merungut dan komplen, sampai bila-bila pun takkan belajar dan terus mara ke hadapan. 

Akui kekurangan. Jangan pula anda yang kekurangan dari sudut semangat dan ketekunan.

Gambar : Kitab yang sebelah kiri adalah al-Baḥr al-Muḥīṭ Fī Uṣūl al-Fiqh karya al-Imām az-Zarkašhiyy. Yang sebelah kanan adalah al-Wāḍiḥ Fī Uṣūl al-Fiqh Li al-Mubtadoʾīn karya Dr. Muḥammad Sulaymān al-Ašhqor.


Komentar

Saya ada terjumpa yang kata content dalam saluran Ajar agak membosankan.

Maaflah. Saya kalau dalam bab ilmu, saya memang sensitif. Kadangkala kalau bergurau pun, barangkali saya akan cepat tersentap.

Kalau rasa menonton video interaktif yang telah diusahakan supaya menarik itu kelihatan bosan, percayalah bahawa baca buku teks dan rujukan lagi membosankan.

Kalau kita asyik nak beberkan komplen, lihatlah, kita tak ada belajar apa-apa. Kita lebih fikir sudut teknikal dari intipati cerita yang ada dalam video tersebut.

Sesiapa yang belajar bertalaqqi pun akan sedar bahawa isu tekniknal ini remeh sahaja. Kadangkala ada penulisan syeikh ini memang tajam, padu, manis dan memukau, tetapi apabila berceramah, memang boleh membuai tidur yang lena. Ada juga penulisan syeik ini agak biasa sahaja. Tetapi, kalau berceramah, lenguh tulang belakang tidak pernah terfikir pun walau duduk sejam.

Tetapi walaupun bosan atau biasa-biasa sahaja, mengapa orang masih mahu membaca atau mendengar ceramahnya? Sebab dia utamakan pembelajaran dan pengisian minda, bukan isu remeh-temeh.

No comments:

Post a Comment