Wednesday, 2 December 2020

Tumpuan Dalam Pembelajaran Agama

Selalu sahaja kita menemukan orang menyatakan minat untuk mendalami agama. Cuma, kadangkala mereka berdepan dengan kesukaran dan kebingungan kerana bertembung dengan Paradox of Choice (Pilihan Paradoks). Dengan kata lain, terlalu banyak pilihan sehingga ia menimbulkan rasa lesu dan tidak tahu arah yang perlu dituju.

Di sini, saya akan terangkan ke mana minat orang yang ada keinginan untuk mendalami agama.

Pertama : Awam

Yang pertama ini sememangnya tumpuan ramai dan sememangnya asas bagi sekalian Muslim. Mempelajari agama supaya sah iktikad, sah amalan dan sibuk dengan ibadah. 

Fokus pembelajarannya adalah cukup mengetahui fardu ain dan amalan-amalan yang menumpukan pengibadahan. Ilmu yang dipelajari adalah ilmu tauhid, ilmu tajwid, ilmu fiqh dan ilmu penyucian jiwa. 

Selalunya, tumpuan kepada golongan ini adalah lebih kepada penyucian jiwa. Kuliah yang lebih dekat di hati mereka adalah ceramah motivasi, kisah-kisah Nabi, para sahabat RA dan orang soleh, ceramah tentang adab, akhlak dan pendidikan jiwa dan seumpamanya. 

Saya tidaklah kata tahap ini adalah tahap rendah. Ia sebenarnya sangat penting supaya orang yang telah terbabas jauh kembali kepada paksi asalnya sama ada yang jahil atau yang pandai dalam agama. 

Malah, orang yang di tahap ini insyaAllah dan mudah-mudahan selamat dari fitnah yang ada pada tahap yang kedua yang akan diterangkan. Ini kerana mereka ini langsung tidak menunjukkan minat untuk mencerap polemik yang ada dalam isu agama ini. Mereka hanya fikir untuk mempersiapkan jiwa demi amalan dan ibadah. Malah, mereka yang berada di tahap kedua ini patut juga kembali kepada tahap ini supaya tidak kering jiwa dan kembali sedar di tempat yang dia berpijak serta mengulangkaji apa yang telah terluput.

Kedua : Faqih

Ini adalah orang yang benar-benar ada keinginan yang kuat untuk menjadi orang yang memahami dalam ilmu agama secara mendalam, mampu menganalisis masalah dalam isu agama dan lain-lain kepada kemahiran. Dengan kata lain, jika matlamatnya bukan ilmuan, sekurang-kurangnya ia seorang yang mampu menjadi kritis dalam agama.

Jika benar-benar mahu menjadi faqih, ilmu yang perlu diutamakan dan didalami terlebih dahulu adalah bahasa Arab. Ini adalah ilmu alat yang paling vital untuk menjadikan seseorang itu mahir dalam ilmu agama.

Kita hairan kadangkala melihat orang ingin belajar kitab yang jika dengar namanya mampu menggeletarkan seluruh kulit jasad kita atau membuatkan kita terlompong tergamam.

Apabila ditanya tentang bahasa Arab, mesti ada alasan yang menampakkan kurang minat untuk mempelajarinya, apatah lagi mendalaminya atau menonjolkan sikap yang tidak menjadikan bahasa Arab sebagai keutamaan.

"Susahlah bahasa Arab. Banyak yang rumit" dan seumpamanya. Itu alasan biasa.

Saya katakan, jika mahu mendalami ilmu usul dan hadis, tetapi liat untuk belajar bahasa Arab, percayalah bahawa ia jauh lebih payah dari belajar bahasa Arab itu sendiri. Tanpa bahasa Arab, dia seperti merantau tanpa bekalan yang penting.

Untuk ilmu usul, lihat apa yang disebutkan Taqiyuddīn as-Subkiyy :

فإن الإصوليين دققوا في فهم أشياء من كلام العرب لم يصل إليها النحاة ولا اللغويون

"Sesungguhnya ahli usul meneliti pada kefahaman sesuatu yang terdiri daripada kalam Arab yang tidak para ahli nahu dan bahasa sampai kepadanya". (Al-Ibhāj Fī Šharḥ al-Minhāj, jilid 1, m/s 7).

Benar. Sesiapa yang tidak belajar bahasa Arab, tetapi mahu terjun ke dalam ilmu usul fiqh, apabila masuk bahagian al-Amr dan an-Nahy serta perbahasan semantik secara khususnya, dia pasti akan tersangkut.

Malah, banyak tesis dan jurnal pada hari ini membuktikan bagaimana penganalisisan kemahiran bahasa memberikan impak kepada kefahaman sesuatu teks agama dan penggalian fiqh. Sememangnya benar bahawa ahli usul sangat begitu memfokuskan pengamalan ilmu bahasa dalam mencerap sesuatu kefahaman agama.

Kalau dalam ilmu hadis, saya tidak perlu sebutkan lagi. Banyak kitab yang penting, khususnya kitab yang menjadi bekalan untuk kajian hadis yang belum diterjemahkan atau tidak diterjemahkan. Malah, sebahagian kitab memang sengaja tidak akan diterjemahkan kerana ia mampu mengurangkan nilai kitab tersebut.

Oleh itu, mahu atau tidak mahu, sesiapa yang ada keazaman untuk menjadi faqih, mesti meletakkan bahasa Arab sebagai prioriti. Saya tidaklah kata sampai seseorang itu mampu berdebat dalam bahasa Arab atau mampu menggubah syair, tetapi cukup dapat mengikuti perbahasan ulama.

Jika tidak meletakkan kemahiran bahasa Arab sebagai prioriti, belajar ilmu lain mengikut tertib sekalipun, ia akan menyulitkan seseorang dalam banyak tempat.

Ini juga peringatan bagi orang yang ingin sibuk untuk membabitkan diri dalam polemik dan debat dalam isu agama. Ke sana ke sini ingin tunjuk jaguh, tetapi tidak ada bekalan yang penting ketika duduk di meja diskusi atau debat. Inikah adab di majlis perbincangan?

Kadangkala ada yang bertahun-tahun dengan manhaj tertentu, tetapi masih belum kenal asas-asas yang ada dalam bahasa Arab. Namun, dalam penulisan dan pertuturan, tidak lekang terminologi, istilah dan perkataan Arab dari ungkapannya ketika mengupas penjelasan atau membuat bantahan. Entah melagak jargonis atau ingin mengaburi kemampuan diri di mata orang.

Mana-mana manhaj pun yang tidak menghasilkan pengembangan ilmu pada diri, ia bukanlah manhaj yang jernih. Jika masih di takuk yang sama seperti dahulu, sudah sampai masanya untuk muhasabah diri.

Apa yang perlu buat adalah tinggalkan perdebatan. Biarkan yang ahli ambil alih tugas atau biarkan si luncai yang dungu terjun dengan labu-labunya. Sibukkan diri untuk pemantapan diri.

No comments:

Post a Comment