Ah! ʿIlal al-Ḥadīṯs!
Ilmu yang didambakan semua penuntut ilmu hadis untuk menguasainya. Ilmu teori yang di kemuncaknya dan selangkah ke praktikal kajian hadis. Sesiapa yang menguasai ilmu teori ʿIlal al-Ḥadīṯs, maka dia telah pun bergraduasi dan tinggal lagi untuk memohon internship dalam praktikal kajian ilmu hadis.
Mungkin ada yang tertanya-tanya bagaimana rasanya jika seseorang itu dengan izin Allah dan dengan limpah kurnia-Nya mampu mencerap perbahasan-perbahasan kajian hadis sepertimana yang dicerap ahli hadis. Apa yang menarik jika sekurang-kurangnya kita dapat melihat bagaimana ahli hadis memberi khidmat kepada ilmu ini?
Izinkan saya di sini mengongsi beberapa dapatan pengalaman saya yang tidak seberapa sepanjang saya berdamping dalam ilmu ini supaya para pembaca dapat sedikit gambaran bagaimana lapangan kajian hadis.
Saya bukanlah pakar dan tidak ada apa-apa yang boleh dibandingkan dengan tokoh ilmuan yang lain. Masih banyak kelemahan dan kekurangan yang perlu saya perbaiki dari semasa ke semasa. Cuma, sekurang-kurangnya, apa yang Allah telah anugerahkan saya kefahaman -segala puji bagi-Nya dengan setinggi-tinggi pujian-, saya dapat melihat dan merasa serba sedikit gerak kerja yang dilaburkan oleh ahli hadis.
Elok saya kongsi serba sedikit supaya kita kenal betapa besarnya jasa dan kedudukan ahli hadis dalam memelihara dan membela agama ini. Apabila ada gambaran, mudah-mudahan kecintaan kita kepada ahli hadis semakin mendalam dan semangat untuk mendalami ilmu hadis melonjak membara. Mudah-mudahan.
Pertama : Ilmu Yang Membuatkan Seseorang Menjadi Sepi
Semakin kita mendalami ilmu ini, semakin itu kita merasa sepi dan bersendiri. Memang sepertimana yang dikhabarkan yang tidak ramai orang yang menguasai ilmu ini atau berkehendak untuk menguasainya. Tidak ramai kenalan saya pun yang benar-benar menceburkan diri dalam bidang ini secara mendalam atau mempunyai kemampuan ilmu ini atau ada minat untuk ilmu ini.
Malah, sesama salafi pun yang begitu bangga dengan gelaran ahli hadis hanya beberapa piscisan sahaja yang boleh dikenali mereka yang ada kecelikan dalam ilmu ini.
Ini memang tidak menghairankan. Dalam sejarah awal Islam pun, tidak ramai yang menonjol dalam ini. Sesiapa yang biasa dengan kalam penilaian perawi atau perbahasan ilmu hadis, mesti nama-nama yang sama akan berputar. Seolah-olah ilmu ini terhad dimonopoli mereka.
Al-Imām Mālik bin Anas, Yaḥyā bin Saʿīd al-Qoṭṭōn, ʿAliyy bin al-Madiniyy, al-Jūzajāniyy, ʿAbdullah bin Ṣōliḥ al-ʿIjliyy, Muḥammad bin Saʿd, Aḥmad bin Ḥanbal, Yaḥyā bin Maʿīn, al-Buẖōriyy, at-Tirmiḏziyy, Abū Saʿīd bin Yūnus, Abū Dāwud as-Sijistāniyy, Abū Ḥātim ar-Rōziyy, Abū Zurʿah ar-Rōziyy, an-Nasāʾiyy, Zakariyyā as-Sājiyy, al-ʿUqoyliyy, Ibn Kẖuzaymah, Ibn ʿAdiyy, ad-Dāroquṭniyy, Abū Nuʿaym al-Aṣbahāniyy, al-ʿAtīqiyy, al-H̱oṭīb al-Baġhdādiyy, al-Bayhaqiyy, Ibn ʿAsākir dan lain-lain yang barangkali tidak terlintas namanya ketika menulis ini.
Banyak sangatkah nama ini? Tidak. Hakikatnya ini adalah sangat sangat sangat sedikit untuk sepanjang 500 tahun sejarah Muslim.
Mungkin untuk zaman kontemporari ini sudah banyak nama yang menempa gelaran pakar ʿilal al-Ḥadīṯs, tetapi itu konteks negara Arab dan dunia secara umumnya. Bagaimana konteks negara kita? Rasanya hanya boleh dibilang dengan jari sahaja.
Sebab itu saya tidak hairan kalau ramai rakyat tempatan kita yang kenal susuk tubuh yang bernama Syeikh Nāṣiruddīn al-Albāniyy, tetapi tidak biasa dengan nama Dr. Māhir Yāsīn al-Faḥl dan Dr. Ḥamzah ʿAbdullah al-Malībāriyy. Apatah lagi jika disebutkan manhaj mutaqoddimin dan mutaakhirin dalam interaksi dengan dunia hadis.
Saya agak faham mengapa ilmu ini tidak menonjol sepertimana dalam fiqh, uṣūl fiqh, tafsir, motivasi jiwa atau akidah. Salah satu sebabnya mengingat sanad dan maklumat perawi di dalamnya adalah agak membosankan dan tidak begitu menarik perhatian. Masyarakat lebih ingin tahu sama ada sah atau tidak untuk dijadikan hujah atau tidak. Masyarakat lebih ingin tahu apa tafsirnya, apa faedahnya dan apa fiqhnya daripada hadis tersebut. Kupasan dan perbahasan tentang sanad terlalu kompleks buat mereka.
Kedua : Ilmu Yang Membuatkan Seseorang Itu Menjadi Sibuk Dan Letih
Siapa yang membaca al-Jāmiʿ Fī al-ʿIlal Wa al-Fawāʾid karya Dr. Māhir Yāsin al-Faḥl, tahulah dia bagaimana gerak kerja bagi seseorang yang ingin menggalas gelaran ahli hadis.
Apa yang ditunjukkan Dr. Māhir Yāsin al-Faḥl ini sebenarnya sedikit. Saya pernah melihat kajian yang lebih komprehensif. Maʿrifah Aṣḥāb ar-Ruwāh Wa Aṯsaruhā Fī at-Taʿlīl: Dirōsah Naẓoriyyah Taṭbīqiyyah Fī ʿIlal Aṣḥāb al-Aʿmašh karya ʿAbdul Salām Abū Samḥah. Kesemua hadis al-Aʿmaš hdikumpulkan di sini, disusun mengikut cara Musnad dan setiap satu daripadanya diterangkan perselisihan sanad dan matan padanya, lalu dirajihkan mengikut tahap kekuatan kejituan perawinya. Sememangnya ini khidmat yang besar dalam ilmu hadis.
Untuk hadis al-Aʿmašh sudah ada beberapa ratus. Bayangkan pula mereka yang meriwayatkan banyak hadis seperti az-Zuhriyy, Šhuʿbah, al-Layṯs, aṯs-Ṯsawriyy, Ibn ʿUyaynah dan lain-lain. Malah, hadis juga semestinya ada bab yang pelbagai. Tidak hanya hal ehwal penyucian, solat, haji dan zakat sahaja. Sudah tentu ia merangkumi banyak aspek yang tidak terhad hanya bahagian hukum-hakam fiqh sahaja. Semestinya ia memenatkan dan meletihkan.
Sebelum itu, sebenarnya ilmu ʿilal al-Ḥadīṯs ini susah atau mudah? Sejujurnya, saya katakan teorinya agak mudah untuk difahami. Sebab banyak praktikal berulang dengan metod yang sama. Kalau baca at-Taʾṯsīr Fī al-ʿIllah karya Dr. Abū ʿAbdul Roḥmān al-Miṣriyy ʿImād bin Ḥasan sebagai contoh dan karya ʿAbdul Salām Abū Samḥah yang tadi, banyak cara yang sama berulang kali digunakan dalam membuat sesuatu penilaian.
Cuma, sesiapa yang masuk ke dalam praktikal ilmu ini, memang membuatkan seseorang itu sibuk dan meletihkan.
Untuk melakukan takhrij sahaja, sudah perlu merujuk kesemua kitab yang jumlahnya mengumpulkan hadis secara bersanad. Bukan sekadar rujuk kutub tisʿah sahaja! Kemudian, bezakan satu persatu pusat sanadnya jika ada. Kemudian, semak setiap satu nama perawi yang ada di dalam sanad tersebut. Kalau ada 50 perawi secara total, maka 50 biografi setiap satu dari mereka perlu disemak. Kemudian, perlu semak pula dalam kitab-kitab yang mengumpulkan hadis yang maʿlūl.
Itu belum lagi perlu membuat semakan di kitab dalam bidang ilmu lain, tetapi membahaskan sanad hadis tersebut. Kadangkala, perlu buka kitab fiqh kerana para fuqaha juga ada cara analisisnya.
Letih! Dan memang menyibukkan. Untuk membuat penilaian kendiri dalam satu hadis pun memakan masa.
Saya pun pernah cuba peruntukkan masa berbulan-bulan untuk terjun ke praktikal. Sememangnya agak meletihkan dan cukup menyibukkan. Cuma, sebab saya ini belum ada semangat yang mendalam untuk mengkhususkan diri dalam bidang ini, maka saya ke praktikal hanya untuk merasa gerak kerja ahli hadis sahaja, bukan untuk menceburkan diri dalam bidang ini.
Dalam kesempatan ini, saya ingin tegaskan bahawa saya bukanlah pakar ilmu ʿIlal al-Ḥadīṯs. Saya hanya sekadar penuntut ilmu dan membabitkan diri dalam kajian kerana untuk latihan dan pengukuhan sahaja. Saya sedar masih ada banyak lagi kekurangan yang perlu saya perbaiki.
Ketiga : Ilmu Ini Hanya Boleh Dikuasai Dengan Penguasaan Bahasa Arab
Kalau saya mengenali mereka yang menguasai ilmu ini, semestinya dia mempunyai penguasaan bahasa Arab yang baik dan memuaskan. Belum saya pernah menemukan orang yang ada kecelikan dalam ilmu ini, tetapi tidak tahu bahasa Arab langsung.
Fenomena ini tidak menghairankan kerana banyak penulisan yang membincangkan ilmu ini dan rujukan yang digunakan untuk ke lapangan praktikal kebanyakannya belum diterjemahkan atau tidak dapat diterjemahkan.
Atas sebab ini, tidak menghairankan juga bahawa mereka yang mahir dalam ilmu ʿilal ini tidak ramai dalam konteks tanah air kita. Ini kerana tidak ramai yang menguasai bahasa Arab. Kalau yang belajar pun, kebanyakan mereka belum tentu mahu terus mendedikasikan diri untuk mempelajari dan mendalami ilmu ʿilal secara halus. Hanya untuk pelajar agama yang mahu memperuntuk hayatnya untuk khidmat ilmu agama secara khusus yang akan berusaha kuat untuk meraih kemahirannya.
Keempat : Sebab Mengapa Orang Begitu Fanatik Dengan Manhaj Mutaqoddimin
Apabila seseorang mula mendalami ilmu ʿilal al-Ḥadīṯs, kita melihat orang akan berkecenderungan untuk ke manhaj mutaqoddimin.
Sebenarnya, bukan suka-suka orang mahu ke manhaj mutaqoddimin. Kita sebenarnya boleh melihat sendiri bagaimana yang telah ditunjukkan oleh mutaakhirin dalam penilaian hadis.
Sejujurnya, saya katakan, saya sebenarnya langsung tidak berpegang kepada penilaian al-Albāniyy. Bukan kerana isu aliran pemikiran seperti salafi dan al-Ašhʿariyy, tetapi isu penilaian hadis. Saya bukan sahaja melihat bagaimana ahli hadis beraliran mutaqoddimin menyemak semula penilaian hadis dari golongan mutaakhirin, saya sendiri juga pernah cuba menggunakan daya saya sendiri dengan izin dan limpah kurnia Allah untuk meneliti apa yang dibentangkannya. Kesudahannya, saya memang tidak boleh sealiran lagi dengan al-Albāniyy dan mereka yang berpijak di atas manhaj mutaakhirin.
Sebab ilmu ʿilal al-Ḥadīṯs sangat mementingkan kedalaman dan kritis. Mereka lebih mengutamakan apa yang menjadi pegangan mutaqoddimin, khususnya pandangan mereka dalam bahagian analisis illah.
Berbeza dengan mutaakhirin, terutamanya dalam isu pertentangan riwayat mauquf dan marfuʿ, mursal perawi dan lain-lain. Nampak jelas mengapa orang lebih mendahulukan, malah begitu menjulang manhaj mutaqoddimin.
No comments:
Post a Comment