Sunday, 29 November 2020

Terjemahan Yang Kelakar : Menghapuskan Rasa Janggal Dengan Membiasakan

Soal hina bahasa atau memang terjemahan itu kelakar. Entahlah. 

Salah satu sebab kita rasa janggal menerima istilah yang diterjemahkan kerana kita jarang atau langsung tidak menggunakannya dalam komunikasi atau kita mungkin jarang atau langsung tidak biasa dengan terjemahan istilah tersebut akibat kurang aktiviti pembacaan.

Kalau lama-kelamaan kita biasa menggunakannya atau biasa menemukannya, ia bukan isu lagi. Ingat lagi apabila perkataan "viral" diterjemahkan kepada "tular" dan "selfie" kepada "swafoto"? Mula-mula pada masa itu masing-masing geli-geliman mahu menggunakan ungkapan yang diterjemahkan. Sekarang ini, orang tidak fikir soal rasa aneh atau pelik untuk menggunakannya. Seolah-olah ia diungkapkan sama seperti perkataan biasa.

Begitu juga jika kita biasa dengan istilah-istilah sains, kejuruteraan, sukan dan lain-lain. Kalau kita biasa, tidak ada apa yang pelik atau kelakar.

Masalah rasa pelik ini bukan pada penterjemahan sahaja. Sesiapa yang rajin membuka Tesaurus, pasti akan menemukan perkataan yang semakna atau seerti yang tidak pernah kita tahu walaupun kita lahir dengan bahasa itu. Dan kalau kita membawa perkataan itu dalam pertuturan, pasti orang akan merasa janggal meskipun ia adalah daripada bahasa sendiri yang rasmi dalam negara.

Dalam pertuturan pun boleh wujud kejanggalan disebabkan jarang diungkapkan sedemikian. Contohnya kita lebih mengungkapkan "saya nak makan ikan" berbanding menggunakan "saya hendak memakan ikan" disebabkan ia tidak begitu selalu digunakan. Walaupun betul, orang tetap merasa aneh apabila mendengarkannya disebabkan jarang untuk menemukan ungkapan seperti itu.

Apapun, sejauh mana kita ingin membiasakannya dengan istilah yang diterjemahkan? Sekuat mana keinginan kita untuk membiasakan istilah atau perkataan yang diterjemahkan? Kita tidak dapat buang rasa pelik atau geli kalau kita tidak pernah melunturkannya dengan membiasakannya.

https://www.facebook.com/photo?fbid=3766407873409778&set=a.3012013212182585

No comments:

Post a Comment