Wednesday, 25 November 2020

Keunggulan al-Imām ašy-Šyafiʿiyy Dalam Ilmu Bahasa

Hujah bahasa Arab :

a) Al-Quran
b) Hadis
c) Syair Arab Jahiliyyah

Aku rasa kalau ada yang keempat, mungkin sekali kalam al-Imām ašy-Šyafiʿiyy roḥimahullah akan diambil sebagai hujah.

Katakan kalau ada seseorang menggunakan suatu ungkapan atau perkataan yang lain daripada yang lain. Jika dia membuktikan bahawa dia mengikut cara Imam ašy-Šyafiʿiy, tiada sesiapa dari kalangan bijak pandai akan mengingkarinya dan berani untuk katakan ia adalah salah.

Punyalah hebat bahasa Arab al-Imām ašy-Šyafiʿiyy sampai ada kitab khas untuk menerangkan ungkapan-ungkapan yang asing daripada beliau. Iaitu az-Zāhir Fī Ġhōrīb Alfāẓh karya Abū Manṣūr al-Azhariyy. Susunan bab dalam kitab ini disusun sama seperti bab kitab fiqh, tetapi memfokuskan penafsiran ungkapan al-Imām ašy-Šyafiʿiyy yang digunakan dalam bahagian fiqh yang dibincangkan.

Al-Azhariyy juga pengarang Tahḏzīb al-Luġhoh, mu'jam rujukan seluruh penuntut bahasa Arab. Kalau yang pakar bahasa mengambil berat terhadap ungkapan seseorang sampai menghasilkan satu karya yang khas, bermakna bukan calang-calang orang tersebut. Nyatalah keunggulan al-Imām ašy-Šyafiʿiyy dalam bahasa Arab.

Sebab itulah daripada kitab ini, aku ada dua pendirian :

a) Tidak patut menterjemahkan karya al-Imām ašy-Šyafiʿiyy melainkan disertakan sekali bersama bahasa Arab. Sebabnya setiap perkataan dan setiap ayat yang digunakan boleh dijadikan hujah dalam bahasa. Rugi sangat kalau kita membaca karya beliau, tetapi tidak mengambil faedah cara beliau menyusun dan mengungkapkan sesuatu ayat.

b) Kitab al-Umm tidak wajar dipromosikan sebagai bahan bacaan kepada sesiapa pun melainkan orang yang sudah kukuh dan mendalam ilmunya. Kita sebenarnya bukan menghalang untuk bersikap transparensi (telus) dalam agama, tetapi kita perlu tahu apa yang patut disajikan oleh orang dalam membina asas-asas ilmu dan mengukuhkan kefahaman. Setiap ilmu ada tahapnya. Bukan sesuka hati hidang dan ajar kepada orang ramai.


No comments:

Post a Comment