Kalau mahu bahas isu teologi, falsafah, sejarah atau bab kerohanian, terpulang pada masing-masing mahu guna kaedah mereka selagimana sistematik, terdisiplin dan berkejituan.
Namun, kalau masuk perbahasan dalil; istidlālnya dan istinbāṭhnya, lebih baik ada persiapan ilmu alat yang diperlukan. Yang paling diperlukan adalah bahasa Arab. Bukanlah semestinya sampai mahir sehingga boleh petah berdebat atau pandai gubah syair, tetapi memadai untuk faham perbahasan.Untuk memahami istidlāl, kemahiran usul fiqh memang diperlukan. Menariknya, Taqiyuddīn as-Subkiyy dalam al-Ibhāj menyatakan bahawa para ahli usul telah meneliti sebahagian aspek di dalam bahasa arab melebihi para ulama nahu dan bahasa. Dengan ini, jelas bahawa untuk menguasai usul fiqh, perlu ada penguasaan bahasa Arab.
Kadangkala, memang menggeletarkan kaki apabila melihat orang berbincang tentang perbahasan dalil, tetapi langsung tiada penguasaan bahasa. Tidak kiralah dari mana-mana aliran pun. Lebih-lebih lagi apabila ia dalam kehangatan polemik, masing-masing mahu pamerkan kejaguhan bahawa mereka lagi punyai kehujahan dan sandaran dalil yang kuat. Kita tertanya-tanya, tidak ada perasaan takutkah mereka itu ketika mereka mengungkapkan sesuatu yang di luar kemampuan mereka?
Kalaupun dia mampu menerangkan sama sepertimana yang telah tertulis dalam karangan ahli ilmu, dia tidak ubah seperti burung kakak tua. Dia tidak tahu bagaimana aplikasi penggunaannya, bagaimana perjalanan konsistensinya, apa isu-isu dalam kaedah bahasa dan lain-lain. Dengan kata lain, ia sekadar "salin dan tampal", tetapi tiada kefahaman secara penghayatan.
Kalau tidak tahu, lebih baik hindari segala perbahasan tersebut. Sekuat mana pun ego kita untuk tegar dengan pendapat yang kita ikut, bukan hak kita untuk berbicara di luar kemampuan. Biarlah yang berkelayakan mendepani lawan mereka dan menjalankan tugasnya. Tidak perlu terjun ke medan tempur tanpa persiapan. Hidup menjadi askar pun perlu ada persiapan, strategi dan kebijaksanaan. Takkan mahu jadi jaguh dalam perbahasan hanya sekadar membabi buta?
Ya. Kita berhadapan dengan musuh yang kita benci, tetapi kalau tiada persiapan, ia tidak ubah seperti sang khinzir hanya tahu menyondol. Jadi, bersabarlah dalam diam dan tinggalkan sahaja mereka. Berundur bukan kerana anda kalah, tetapi kerana anda hormat nilai kedudukan ilmu.
Nota : Gambar sekadar hiasan dan tidak ada kena mengena dengan penulisan ini. Saya tidak akan menterjemahkannya sebab ia perkaitan dengan isu dalam kaedah bahasa Arab. Jika tidak faham, elok sedar di mana kedudukan yang kita berada sekarang dan apa batasan untuk diri kita yang tidak boleh kita langkau.
No comments:
Post a Comment