Sunday, 29 November 2020

Apa Sebenarnya Yang Ingin Disampaikan Tentang "Penjajahan Minda" Dalam Ceramah Kemerdekaan?

Satu perkara yang agak merimaskan minda saya adalah dalam berbicara tentang kemerdekaan, tidak kira sama ada dalam ceramah agama atau selainnya, kita selalu sahaja disajikan atau dimomok-momokkan tentang bentuk penjajahan minda atau yang sewaktu dengannya

Jadi, kita sebenarnya sudah merdeka atau belum menurut mereka ini?

Bagaimana "minda yang merdeka" yang mereka maksudkan?

Kalau "merdeka lahiriah" yang selalu mereka canang-canangkan, kita memiliki keupayaan independen lagi kendiri dalam menguruskan hal ehwal politik, pentadbiran, kehakiman, penguatkuasaan, ketenteraan, keselamatan dan proses pembangunan negara tanpa ada tekanan atau campur tangan dari pihak luar.

Yang diperkecilkan atau dipandang remeh ini sekurang-kurangnya tampak pada kita model dan ideal tentang yang dimaksudkan dengan "kemerdekaan lahiriah".

Sekarang ini, bagaimana pula yang dimaksudkan "merdeka pada minda"? Minda bagaimana yang menjadi ideal untuk rakyat Malaysia supaya sesuai dianggap sebagai minda yang merdeka? Apa kandungannya? Apa hala tujunya? Bagaimana ia memberi kebaikan kepada masyarakat Malaysia? Setelah berjuang tentang "merdeka pada minda" selama 10 tahun, nampak atau tidak kesan perubahannya?

Kalau ini tidak dapat diwacanakan dengan objektif atau diperjuangkan sebetulnya, ia sekadar modal meludah air liur di mikrofon dan membuang masa di meja ceramah sahaja. Tahun depan ceramah lagi dengan tajuk sama, isi sama dan kutip upah ceramah tahunan. Tidak ada nilai progresif dan perkembangan minda dalam wacana. 

Tahun demi tahun mengeluh minda rakyat Malaysia yang masih terjajah! Padahal, penceramah ini juga terjajah dengan kebekuan idea, modal wacana dan pengisian ilmiah, bahkan perjuangan untuk "minda yang merdeka"! Kalau mereka sendiri terjajah, bagaimana mereka ingin membawa kemerdekaan pada orang lain?

Apapun, janganlah jadikan cerita "penjajahan minda" seolah-olah mahu membenamkan rasa keseronokan dan kesyukuran kita mengenangkan nikmat "merdeka lahiriah". Dengan sebab "merdeka lahiriah" inilah mereka ada ruang yang bebas untuk berceramah sana sini tentang penjajahan minda! Ingat itu!

Jangan dilupakan untuk mengenang saat pahit manis sepanjang proses "kemerdekaan lahiriah" dan memberikan pengisian supaya adanya penghayatan untuk lestarikan "kemerdekaan lahiriah" yang sangat besar dan bermakna kepada generasi kita. Perjuangan atuk moyang kita yang terdahulu bukan untuk sesuatu yang boleh diremehkan pada masa akan datang.

Saya cadangkan para penceramah patut memperkenalkan tokoh-tokoh Islam tempatan yang memperjuangkan kemerdekaan dan analisis sejarahnya, keperibadiannya, strateginya, pemikirannya, pengajarannya dan lain-lain yang pengisiannya boleh memberi impak pemikiran, penyegaran minda dan inspirasi dalam membentuk jati diri seorang warganegara Malaysia yang ada semangat kemerdekaan berbanding hanya sembang "penjajahan minda" yang selalunya canang-canangan isi masa kosong jemputan ceramah dan sembang di pentas sahaja.

Bukannya kita mahu mengabaikan penjajahan minda yang menyerang kebudayaan, bahasa, jati diri bangsa dan kerohanian, tetapi jangan sampai ia menjadi pembenam perasaan kesyukuran kita menikmati anugerah yang besar pada hari ini. Dan tidak hanya berbicara tentang "minda yang merdeka" yang berteraskan konsep yang kosong dan tidak berpaksi ideal yang realistik.

-------------------------------

Mungkin sekali citra "minda yang merdeka" yang boleh kita -sekadar apa yang saya tahu- capai atau model ideal adalah melalui apa yang dikupas, dibentang, dianalisis dan diperjuangkan oleh Syed Hussein Alattas dalam karya-karyanya.

Menurut pendapat anda pula bagaimana?


No comments:

Post a Comment