Tuesday, 2 June 2020

Sekarang, Tuhan Yang Macam Mana Kau Percaya?

image

Perasaan ini…. Matamu terpaku, lidahmu tergamam, jasadmu terkaku, minda menjadi lali… melihat keajaiban yang kau tidak sangka. Menyaksikan keagungan yang kau tidak pernah terfikir tentangnya. Kau tak percaya apa yang terzahir ini adalah benar-benar hakikatnya.

Kau hanyut dalam ketakjuban. Kau terbuai dalam kekaguman.

Namun, dalam masa yang sama, tersisip rasa ketidakpuasan hatimu. Kau berasa sungguh kecewa. Hiba ini memedihkan jiwamu.

Ya, tatkala kau telah kerahkan segala usaha habis-habisan dan laburkan kudrat yang lebih dari kemampuan kau, tetapi kau tidak mendapat balasan yang setimpal dan berbaloi dengan penat lelah kau.

Segalanya sirna, hancur lebur dan terasa keterasingan dengan sesaat yang kau saksikan di hadapan pandanganmu yang nyata.

Hasil yang kau impikan untuk selamanya dirampas oleh insan di sana, yang berdiri dengan keunggulan dan aura kehebatan.

Kau seberhaknya di tempat itu. Kau lah yang selayaknya merangkul kejuaraan itu atas ketekunanmu penuh jerih.

Alangkah malangnya, realiti tidak berpihak padamu. Kau benci dan kau sangat meluatnya, tetapi dalam masa yang sama kau kekaguman. Membawa bersama kehampaan yang membebankan. Sempit di dada melemaskanmu dalam hilang harapan.

Apa salahmu dan di mana yang tidak kena? Bukankah kau telah komited dalam mendisiplinkan diri mengikut aturan alam? Kau sepenuhnya abadikan dalam latihan yang keras dan menempuh banyak pengalaman demi pengajaran? Kenapa semuanya yang mendapat adalah orang yang berkebetulan bertuah? Kenapa?

Dahulu kau mungkin enggan atau skeptik untuk mempercayai kewujudan Tuhan. Sekarang, manifestasi-Nya menyata dengan eksistensi sesungguhnya. Namun, Tuhan yang kau percaya sekarang adalah Tuhan yang tidak adil. Tuhan yang tidak ada ihsan dan simpati.

Jika kau dahulu mempercayai Tuhan, kali ini tampak Tuhan tidak menyebelahimu dan Dia menjauhimu. Apalah susah payah selama ini sememangnya mampu merebut perkenan-Nya? Air mata, darah, pengorbanan dan ketabahan yang terlalu menyeksakan masih belum cukup menawan perhatian-Nya.

Kau mengalah. Kau berpasrah. Kendati kau skeptik maca mana pun, tatkala kau mendapat sentuhan Tuhan, tidak akan ada lagi yang mampu memadamkan ketulenannya.

Akui sahaja takdir yang telah tertetap. Benci mana pun kau terhadap Tuhan, semarak mana pun kemarahanmu yang terpendam dan sedalam mana pun kecewamu terhadap keputusan-Nya, itulah Tuhan. Dia perbuat melangkaui apa yang dihitung oleh makhluk rendahan.

Itulah realitimu dan itulah hakikat tempat kau semadikan kehidupan.

Simpanlah kekagumanmu dan teruslah ia menjadi inspirasi dan sebab perjuanganmu yang berterusan. Kali ini, jika kau percaya dengan tuah, yakinlah bahawa kau perolehinya. Tuah akan terbuka untuk mereka yang bebas dari belenggu syak wasangka.

Apa lagi kau ragukan terhadap tuah setelah kau saksikannya secara nyata?

Sekalipun kau mati tanpa kau mengecapinya……..

Berjuang dan teruskan percaya.

https://www.facebook.com/photo.php?fbid=2956007014449872&set=pb.100001218067654.-2207520000.1570260769.&type=3&theater

No comments:

Post a Comment