Friday, 5 June 2020

Kenangan Sahabat Surau Dan Set Pemikiran Untuk Isu Covid-19 Yang Menyebabkan Penutupan Surau Dan Masjid


Tak sengaja terjumpa gambar ini dalam galeri. Ini antara sahabat surau yang aku selalu bertemu, lepak dan berbual bersama. Namun, semenjak PKP berlangsung yang menyebabkan penutupan surau, kami semua tidak dapat bertemu. Kalau begitu, agaknya sudah tiga bulan aku tidak bertemu dengan mereka.

Kadangkala, aku pergi surau bukan setakat untuk menunaikan solat fardu berjemaah, tetapi mahu bertemu dengan mereka. Aku dengan mereka dahulu pun "stranger". Lepas selalu nampak dan bertembung, kami mula rapat dengan bersalaman setiap kali ingin keluar dari surau. Kemudian, entah macam mana lama-kelamaan itu, kami sudah boleh duduk bersebelahan menjadi teman sembang.

Kadangkala, mereka inilah pendorong dan menjadi sebab aku ke surau. Secara jujur, kadangkala aku pun dikuasai rasa malas dan berat untuk ke surau walaupun dekat. Salah satu sebabnya aku selalu ke surau dengan berjalan kaki yang memerlukan masa kira-kira 3 minit untuk sampai. Maksudnya, setiap hari aku luangkan masa 30 minit lebih hanya untuk ulang-alik antara surau dan rumah. Di rumah ada motor, tetapi aku elak menggunakannya untuk jimat minyak dan kekal aktif berstamina. Apabila rasa keberatan itu menerpa di jiwa, apabila aku terkenang mereka semua ini, aku gagahkan juga untuk mari. Kadangkala malu kalau kantoi ditanya "pasal apa tak mari surau Zohor tadi?" (walaupun mereka jarang tanya soala ini).

Masa itu, aku sedar betapa pentingnya ada sahabat yang baik. Walaupun mereka tidak pernah menyeru atau berbicara tentang kebaikan itu (misalnya solat berjemaah), tetapi mereka tampilkan contoh dan teladan. Menjadi pendorong untuk kita ikut bersama mereka. Menjadi bekas yang memberi pengaruh dan kesan dalam jiwa kita. Mereka ini bukanlah semestinya tokoh kenamaan atau ahli ilmu, tetapi mereka ini sekadar orang biasa-biasa. Namun, disebabkan mereka tunjukkan contoh yang baik kepada yang sekeliling, ia menjadi penggerak dan inspirasi untuk kita melangkah.

Sekarang ini, entahlah. Suasana menjadi berlainan setelah PKP. Rindu juga untuk bersemuka dengan mereka. Lagipun, solat berjemaahlah yang mengikat seseorang untuk mengerjakan solat fardu pada awal waktu selain pahalanya lebih banyak daripada solat bersendirian.

Saya faham ada jemaah sangat rindu dan amat berkemahuan untuk kembali ke masjid atau surau dan imarahkannya sekali lagi sepertimana dahulu. Pun begitu, pengamalan agama kita tidak boleh didasari sentimen. Hormati ahli ilmu, terutamanya mufti di negeri masing-masing. Janganlah sangka buruk dan mencela mereka seolah-olah jiwa mereka tidak pernah ada kecintaan untuk solat berjemaah. Seolah-olah mereka tidak khuatir dan ambil berat tentang syiar solat berjemaah.

Masing-masing ada sentimen. Bukan jemaah surau sahaja yang ada sentimen. Ada yang ingin rentas negeri untuk balik kampung kerana rindu atau risau keadaan ibu bapanya yang telah tua di sana. Ada pelajar yang mengeluh kerana terperap dalam kampus untuk tempoh yang lama. Mereka juga ada sentimen mereka untuk bebaskan diri daripada kongkongan kampus. Tauke syarikat atau usahawan pun ada sentimen untuk buka kedai di waktu yang terlarang kerana sentimen mereka.

Kalau semua sentimen perlu dilayan, nescaya musnah negara. Sebab itulah kita perlu bersabar, rasional dan tawakkal sepenuh jiwa. Agama bukan mengajar untuk hidup membabi buta. Janganlah sangka mereka yang terus berpendirian untuk hadkan pembukaan ini seolah-olah tidak berkongsi sentimen macam orang lain. Simpati dan fahami situasi semasa.

https://www.facebook.com/photo.php?fbid=3510920362291865&set=pb.100001218067654.-2207520000..&type=3&theater

No comments:

Post a Comment