Saturday, 6 June 2020

Dunia Islam Tidak Hanya Berkisar Pada Dua Tiga Nama Atau Empat Lima Tema Perbahasan

Saya suka kenyataan ini :

I found it difficult to believe that all of my religion should center around 3-4 names. There must be more to Islamic scholarship than this, I thought.

And so when some senior students helped me to find teachers for the Shafii school, I was eager to gobble up the books on it's history and scholars. Ever since, I have come across thousands of different scholars from each generation and in different fields who were celebrated for their knowledge and expertise. One only needs to read a tabaqāt work, a narrator dictionary, or a chronicle like Siyar A'lām al-Nubalā to catch a glimpse of the countless names that have contributed to the production and dissemination of Islamic knowledge. It's still a 'wow' moment when I come across a celebrated and prolific personality I've never heard of before.

What this experience showed me was how easily we can deceive ourselves into believing a certain range of scholars and ideas to be an Islamic 'normal' and how reality is so much more diverse than our comfort zone. It becomes a greater problem when we misinterpret this 'normal' as 'orthodox'. This is not to say that there aren't boundaries that some figures improperly crossed over (and continued to do so), but even mainstream tradition itself can stagger your definition of 'normal' significantly.

Petikan : https://www.facebook.com/theusuli/posts/1424165174457229


Saya kadangkala pesan kepada mereka yang mahu belajar agama lebih dalam supaya jangan terjebak dengan pergaduhan dan perebutan dominasi aliran, khususnya salafi vs Asy'ari. Cukup belajar bahasa Arab (dengan penguasaan bahasa Arab, boleh akses pelbagai pembacaan), asas ilmu hadis (supaya dapat kesedaran tentang kepentingan menjaga dan berhati-hati mempercayai serta meriwayatkan hadis), fiqh mazhab asy-Syafi'i atau mazhab yang engkau rasa sesuai untuk pengamalan kau dan sibukkan dengan ilmu tazkiyah an-Nafs. Ini adalah bahagian supaya boleh beramal dengan aman atau menelaah ilmu tanpa runsing.

Selepas itu, kalau mahu lebih banyak lagi, saya beri amaran yang dunia luar sana yang saya sebutkan ini akan ada medan peperangan yang masing-masing mahu memenangkan aliran pemikirannya. Lebih baik engkau berjaga-jaga. Sebab yang saling bertekak itu adalah sesama ustaz dan ahli ilmu yang engkau kau percaya dan tadah ilmu daripada mereka. 

Dalam masa yang sama saya beri tips. Selalunya ahli ilmu yang berkualiti adalah dia tidak sibuk untuk bersaing dominiasi untuk aliran dia. Dalam kelas pengajian, dia akan fokus betul-betul pengajaran kepada kitab, membina kualiti ilmu dan pemikiran dan mendidik sahsiah yang mulia. Dia tidak sibuk kutuk aliran lain atau mengata orang lain dalam kelas. Kalau di luar kelas seperti sembang kedai kopi, biarkan ilmuwan itu mahu tunjukkan taring aliran yang dia totok dengannya. Kalau dalam kelas mahu seperti itu juga, lebih elok jaga-jaga dengan ilmuwan itu.

Saya khabarkan yang ini pun sekadar dari pengalaman saya yang tidak seberapa. Orang lain mungkin menempuh lebih banyak cerita dan drama. Apapun, izinkan saya kongsi serba sedikit dari apa yang saya telah lalui dan dapatan cerapan saya selama ini.

Sekarang ini, perebutan aliran semakin jelas dan nyata. Aliran al-Asy'ari mahu kukuhkan hegemoninya dan salafi mahu rebut dominasi pengaruh. Aliran salafi itu sendiri pun sudah pecah bermacam-macam kelompok. Perebutan ini sangat sentiasa meletus kuat tanpa henti seolah-olah pusat dunia Islam dan bahagian yang tertinggi dalam ilmu Islam hanya berkisarkan tarik-menarik tali antara aliran-aliran ini. Nama ilmuwan hanya berputar kepada beberapa nama. Itu pun sebahagiannya sedang mereka rebut sama ada ilmuwan itu adalah termasuk golongannya ataupun tidak.

Apabila masuk bulan muharram, isu doa sempena tahun baru dibangkitkan. Apabila masuk Rabiul Awal, isu maulidurrasul diperdebatkan. Apabila masuk bulan Sya'ban, isu kelebihan hadis-hadis bulan itu yang diperbalahkan. Apabila masuk bulan Ramadhan, isu solat tarawih sama ada 8 rakaat atau lebih serta selawat antara solat tarawih yang menjadi topik hangat. Apabila masuk bulan Syawal, ziarah kubur menjadi subjek yang saling dipertikaikan. Setiap bulan, mesti ada musim yang akan ada topik tertentu untuk dibawa gaduh.

Bertahan-tahun bahas bidaah, soalan yang masih ditanya adalah "adakah naik kereta itu bidaah?". Bertahun-tahun mempertahankan Muhammad bin Abdul Wahab, soalan yang masih ditanya adalah "apa itu wahabi?". Orang awam sudah lama beramal dengan aman dan tidak tahu (atau mungkin tidak peduli) pun tikam lidah ahli ilmu, namun mereka semua sedang dibicarakan dalam mahkamah media sosial sama ada mereka ini bersalah atau tidak kerana bertaklid kepada satu mazhab sahaja. Dan macam-macam pertikaian lagi yang tidak berpenghujung.

Saya dahulu memang giat aktif dengan menyertai beberapa siri peperangan aliran. Pada masa itu, darah muda yang menggelegak semangatnya, saya menuju kepada keekstriman untuk mencari kepuasan dan keseronokan hidup dan meluangkan masa untuk yang menggembirakan jiwa. Skrip-skrip untuk sailang dan lawan memang sudah dihafal mengikut musim. Kawan dan lawan sudah dikenal pasti siapa dia supaya senang untuk dibawa gaduh dan dikepit bersama.

Cuma, suatu hari, mungkin kira-kira tiga tahun kemudian setelah saya berkecimpung dalam soldadu perang aliran, saya dipertemukan dengan seorang hamba Allah ini. Dia memang telah mengubah hidup dan corak pemikiran saya. Saya yang hari ini adalah hasil pengaruh daripadanya. Apabila bergaul dengan dia, saya selalu didedahkan dunia yang di luar medan tempur al-Asy'ari dan salafi. Wacana, kupasan, perbincangan idea dan debat selalu berkaitan di luar apa yang bergelumang dalam dunia dua aliran itu. Ya, memang dia akan ada sentuh cerita dua aliran ini, tetapi bukan sepertimana dunia sempit mereka ini.

Perlahan-lahan, saya mula nampak betapa bosannya hanya duduk bertakuk untuk terus bergaduh seperti itu. Seolah-olah kemuncak ilmu Islam cuma mahu mencari pilihan sama ada al-Asy'ari atau salafi. Adakah dunia seperti itu kita ingin hidup beberapa tahun akan datang atau sehingga kita mati? Setiap tahun hanya ulang benda yang sama mengikut musim dan hal-hal lapuk lagi tidak signifikan, tetapi diperhebohkan bahawa itulah yang ada dalam wacana Islam.

Kemudian, dapatan saya setelah keluar daripada kepompong kemelut yang tidak berkesudahan ini, segala puji bagi Allah, saya dapat kuasai bahasa Arab yang sudah lama saya idamkan dan juga beberapa ilmu yang lain. Berkat dengan didikan asatizah yang berkualiti, saya dapat capai ke tahap ini. Semoga Allah melimpahkan kebaikan kepada mereka atas usaha keras mereka. Minda saya agak tenteram berbanding dulu yang tidak henti runsing tentang apa yang patut saya bentang supaya pihak seteru tidak lagi melalak.

Saya bukanlah ingin berbangga sangat, saya ingin beritahu bahawa kita akan menuju ke peringkat yang lebih jauh apabila kita tinggalkan perbalahan yang tidak membawa manfaat lagi tidak berkesudahan. Malah, bukan saya seorang sahaja yang mengalami perubahan ini, ramai sahaja sahabat saya yang lain menggapainya setelahmana mereka tidak perlu lagi membabitkan diri dalam pusingan roda yang tidak tahu ke mana destinasinya.

Jika kita ingin maju, selain kita perlu bebaskan diri daripada ketaksuban atau dunia sempit sesebuah aliran, kita juga perlu menuju kepada tempat yang aman yang tidak diganggu oleh rebutan aliran. Misalnya, kita baca atau telaah atau mempelajari atau fokus kepada kitab-kitab yang bukan bertujuan untuk bersaing aliran seperti asas ilmu hadis dan peringkat seterusnya seperti Nukhbah al-Fikar karya Ibn Ḥajar al-ʿAsqalāniy atau asas bahasa Arab dan peringkat seterusnya seperti matan al-Ajrumiyyah, matan alifiyyah Ibn Mālik, Mughni al-Labīb dan sebagainya. Begitu juga kitab atau penulisan dalam bidang ilmu yang lain. 

Apabila kita fokus di daerah yang ini, kita akan semakin belajar dan berkembang dalam pembinaan dan pemantapan ilmu. Kita belajar kerana kita ingin memajukan diri sendiri pada asalnya, bukan untuk berdebat atau berkejar-kejaran untuk menjadi wira yang dicari-cari. Telusurilah penulisan-penulisan klasik atau karya kontemporari yang fokus dengan pembinaan ilmu tanpa mempedulikan bingit-bingit pergaduhan aliran. InsyaAllah. Ilmu akan memberi limpahan.

Malulah jika bertahun-tahun dengan manhaj serta memperjuangkan manhaj yang dibawa, namun masih tidak tahu lagi cara mengi'rab ism majrur. Malulah setelah lama bermanhaj, tetapi masih tidak mampu memanfaatkan kitab al-Jarh wa at-Ta'dil. Tidak ada guna bermanhaj jika diri sendiri tidak pernah meningkat dalam pengetahuan. Tinggalkanlah konflik yang sia-sia dan fokus kepada pemantapan diri. Biarkan yang ahlinya mendepani lawan kamu. Biarkan yang si luncai yang terjun dengan labu-labunya ke lembah kejahilan kekal bermain-main. Tidak mengikut rentak mereka. Tumpukan perhatian kepada pembelajaran bersistematik dan teratur.

Kemudian, membebaskan diri daripada belenggu ketaksuban juga amat penting. Sentiasalah sedar bahawa masing-masing akan menulis mengikut corak pemikiran yang unik yang tersendiri atau mengikut aliran yang dia pegang. Salafi akan menulis cara salafi. Al-Asy'ari akan berkarya cara al-Asy'ari. Sayap kanan akan mewacana dari kaca mata mereka mereka. Sayap kiri pun sebegitu. Konservatif akan pertahankan idea mereka. Liberal juga akan berjuang dengan gagasan mereka. Masing-masing mempersembahkan keilmuan mereka dan membentangkan kekaguman kepada para pembaca sama ada untuk kawannya atau lawannya supaya menarik kepada mereka.

Jadi, apa yang patut kita buat? Adakah kita yang mendakwa luas pemikiran, tetapi alergik untuk menelaah dan bersikap terbuka dengan kitab aliran yang lain? Adakah kerana kita merasakan ada kekurangan atau kelompongan pada mereka atau mereka bukan sesuatu yang memuaskan kita atau yang tidak berpihak pada kita menyebabkan kita menuju ke arah dunia sempit yang lain yang merupakan versi kita sendiri? Kita mengata pihak lain sempit pemikirannya, tetapi kita sendiri terhadkan diri kita dalam dunia kita. Kita mengutuk pihak lain taksub, namun kita sendiri tidak ada beza dengan mereka. Kita miliki ketaksuban jenama kita sendiri.

Sebab itulah minda kita perlu sentiasa lapang dan dada kita sentiasa terbuka. Masing-masing ada manfaat yang boleh kita terima dan menawan hati para pembaca. Begitu juga masing-masing ada kekurangan yang kita perlu tolak dan menjijikkan perasaan pembaca. 

Apapun, dunia Islam bukan sepertimana yang hanya berputar dua tiga nama atau empat lima tema perbahasan. Jika kita ingin luas pengetahuan dan sudut pemerhatian kita, maka jangan mengongkongkan diri. Kita kembara ke dunia yang lebih lebih besar dan mendalam. Pahit dan manis akan ada sepanjang penjelajahan kita. Namun, semua itu akan mengajarkan kita tentang ilmu dan kefahaman. Allah jualah pemilik hidayah dan kepada-Nya kita memohon petunjuk dan bimbingan supaya tidak terjebak dalam kesesatan dan istiqamah dengan kebenaran.

https://www.facebook.com/photo.php?fbid=3515689705148264&set=pb.100001218067654.-2207520000..&type=3&theater

No comments:

Post a Comment