Tuesday, 12 May 2020

Hakikat Wira Dan Bajingan Yang Kabur

Dalam cerita kanak-kanak, tidak kira yang kartun atau bukan, wira menjadi watak utama yang akan sentiasa diketengahkan, diagung-agungkan dan mereka yang dianggap jahat akan disingkirkan, ditentang dan dihapuskan. Paparan wira dan bajingan (villain) jelas perbezaannya. Wira dianggap sebagai penyelamat dan pembaiki keadaan dan dunia sekeliling. Malah, digambarkan pula wira seorang lelaki yang kacak berbadan sasa atau wanita yang jelita, tetapi tangkas dan kuat. Manakala bajingan (villain) adalah pemusnah dan perosak masyarakat dan dibenci habis-habisan. Digambarkan pula bahawa ia seorang yang hodoh dan bersikap psikopat dalam merosakkannya.

Apabila kita mulai dewasa, ia tidak semudah sepertimana apa yang dinaratifkan rancangan kanak-kanak dahulu. Sekarang kita sedari bahawa pertentangan antara dua pihak atau lebih bukan hanya berkisar cerita baik lawan jahat, tetapi ia boleh menjadi fahaman vs fahaman dan ideologi vs ideologi. Siapa yang betul? Siapa yang salah? Sukar untuk ditentukan. Masing-masing berjuang kerana apa yang mereka rasakan yang betul. Yang penting, rupa bukan lagi penentu baik atau jahat seseorang itu.

Sejarah awal Muslim kita telah saksikan kejadian ini dengan jelas. Konflik ʿAliy bin Abū Ṭōlib dengan ʿĀʾisyah radiyallahu ʿanhā dan Muʿāwiyah bin Sufyān radiyallahu ʿanhumā. Siapa yang betul? Siapa yang salah? Kisah Hang Tuah dan Hang Jebat dalam sejarah Melayu kita pun didebatkan siapa yang benar perjuangannya dan siapa yang salah haluannya. Malah, isu lambakan pelarian yang berpusu-pusu meminta naungan dari negara kita baru-baru ini. Adakah kita perlu dahulukan kepentingan negara yang telah lama kita berkeluarga dengannya? Ataukah kita perlu ketepikan semua itu dan dahulukan semangat rasa kemanusiaan dan persaudaraan sesama agama merentas sempadan dan bangsa? Mana satu yang betul? Ia penuh dengan kerumitan. Jawapannya mungkin di sebalik atau di luar jangkauan persoalan benar atau salah.

Boleh jadi juga mereka menjadi "jahat" bukan kerana mereka semata-mata ingin atau sengaja menjadi jahat. Ia adalah rentetan peristiwa panjang dan tekanan sekeliling sehingga membentuk personaliti sedemikian. Pengalaman pahit dan persekitaran yang kelam suasananya selalunya menjadi faktor pendorong kepada pilihan atau pengaruh tanpa sedar dalam pembinaan karakter dan wawasannya. Mereka jadi jahat sebab mereka telah lama menyerap elemen jahat ke dalam diri mereka, lalu akhirnya lahirlah entiti kejahatan yang menguasai diri mereka.

Adakalanya kita menganggap bahawa sesuatu itu adalah jahat, bukan kerana sesuatu itu sendiri adalah jahat, tetapi ia adalah penafsiran dan pemahaman yang secocok atau, paling teruk, bias dengan apa yang kita berpegang teguh dengannya. Tetapi, bagi orang yang dianggap jahat, hal itu tidaklah dianggap jahat. Ia dapat dijustifikasikan dan tindakan mereka punyai dasar. Pendebatan pun tidak membawa titik pertemuan, apatah lagi pendamaian. Masing-masing terus dengan idealnya dan enggan berputih mata.

Penafsiran buruk dan baik itu juga bergantung kepada siapa yang memegang media dan siapa yang menjadi tokoh berpengaruh masyarakat. Sebab itulah Ace dalam Bungou Stray Dogs, musim 3, episod 3 pernah mengatakan: "Orang yang menguasai maklumat, dia menjadi raja" Media mencipta imej bahawa seseorang itu jahat, tetapi hakikatnya ia adalah manipulasi dan hasutan atau hanya mahu melindungi kepentingannya. Mereka yang menang dalam peperangan akan menulis sejarah bahawa mereka adalah betul dan pihak yang kalah adalah jahat dan salah. Apabila kita ignoran terhadap kebenarannya, kita mudah termakan dan percaya dengan imej yang dia sebatikan dalam minda kita. Sebab itulah walaupun seseorang itu mempunyai rasa untuk keadilan, namun dia tersalah tuan yang dia berkhidmat denganya. Dia tidak mengerti hakikat sebenar yang dia menentangnya.

Aku teringat babak dalam Tokyo Ghoul;re, musim dua, episod 4. Ketika Yonebayashi dalam misinya memerangi kubu akhir pasukan ghoul, Aogiri Tree bertanya kepada Amon Kotaou: "Kenapa kau selamatkan aku masa itu?", iaitu Amon yang ghoul menyelamatkan Yonebayashi yang CCG yang merupakan musuh ketat kepada para ghoul. Amon menjawab: "Sebabnya... aku rasa itu adalah benda yang betul untuk aku buat. Yonebayashi kan nama kau? Dunia ini berpilin. Senang sahaja seseorang itu terlepas pandang sesuatu yang betul dan sesuatu yang salah. Sebab itulah... kau asyik berfikir... sama ada pilihan kau itu adalah salah atau tidak?".

Dunia sebenar tidak menjanjikan haluan yang mudah kepada kebenaran. Ada masa kita telah berjuang lama kerana kita rasa itulah yang sebetulnya. Namun, lama-kelamaan, setelah pengamalan mengajarkan kita dan pemahaman kita mula semakin luas, kita sedari bahawa haluan terebut salah. Apa yang kita binakan sebenarnya adalah sistem yang bejat yang hanya melahirkan kesengsaraan dan kebodohan bagi mereka yang taat kepadanya.

Walaupun kita bertindak atas kapasiti seorang wira, semangat dan sentimen sahaja tidak menyelesaikan masalah dan ia bukan magik yang akan mengubah dunia atau mengikut aturan yang kita mahu. Dunia yang kita hidup, pemihakan wira atau bajingan, bukan selalunya jelas pembezanya. Kita perlu menimbangkan banyak perkara dalam tindakan kita kerana wira bukan seorang yang hanya bersemangat dalam perjuangannya, tetapi wira adalah seorang yang bijaksana dan tampil dengan gagasan yang berwibawa.

Kadangkala, kita terpaksa menjadi insan yang dibenci masyarakat kerana kita menyuarakan kebenaran. Kita mungkin sahaja dianggap bajingan masyarakat dan orang yang mampu menekan kita pula akan dianggap wira walaupun dia berpihak kepada kebatilan.

Kalau kita amati sejarah ahli falsafah yang terkenal, mereka bukan akhirnya menjadi insan yang dijulang dalam hayat mereka. Malah, mereka menjadi lawan kepada masyarakat. Plato dijual sebagai hamba kerana menyinggung pemerintahan tirani, Aristotle dipaksa untuk meninggalkan madrasahnya untuk mengelakkan hukuman bunuh, Anselm disingkirkan negeri kerana berdiri menentang raja dan banyak lagi pengalaman perit yang dilalui falsafawan. 

Jika cerita kanak-kanak, wira akan sentiasa mendapat tempat dalam masyarakat. Namun, hakikat dunia, tidak sebegitu. Boleh sahaja wira itu disisih masyarakat, malah dianggap bajingan dalam masyarakat.

Apapun, bukanlah bermakna bila berlakunya kabur sama ada betul atau salah, kita boleh abaikan sikap tindakan berlebihan sesuatu individu atau pihak atau golongan. Firman Allah :

وَإِن طَائِفَتَانِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اقْتَتَلُوا فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا ۖ فَإِن بَغَتْ إِحْدَاهُمَا عَلَى الْأُخْرَىٰ فَقَاتِلُوا الَّتِي تَبْغِي حَتَّىٰ تَفِيءَ إِلَىٰ أَمْرِ اللَّـهِ ۚفَإِن فَاءَتْ فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا بِالْعَدْلِ وَأَقْسِطُوا ۖ إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

"Jika dua kelompok Mukimin yang berperang, maka damaikanlah di antara kedua-dua mereka. Jika salah satu daripada mereka keterlaluan terhadap yang lain, maka perangilah yang keterlaluan itu sehingga mereka kembali kepada perintah Allah. Jika mereka kembali, maka damikanlah di antara kedua-dua mereka dengan adil dan bersikap saksamalah. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang saksama". (Surah al-Ḥujurōt ayat 9).

Walaupun dalam perjuangan pun yang kita rasakan benar, kita tidak boleh juga melampaui batas dan membuat kezaliman. Kebenaran tidak menghalalkan kezaliman dan perbuatan berlebih-lebihan.

Dan, kalaupun kita memahami kenapa seseorang itu menjadi "jahat", bukan juga semestinya dia boleh menjadi idola kita, pesimpati terhadapnya atau kita boleh menjadi sepertinya. Kita memahaminya supaya kita ada rasa simpati, toleransi dan kemaafan. Kalau kita ingin berdamai, tidak ada guna kita hanya terus ungkit apa yang diperbuat oleh bapa-bapa kita terdahulu. Kita akan salahkan bapa-bapa mereka yang menghancurkan negara kita dan mereka pula akan terus menyalahkan bapa-bapa kita yang membunuh orang yang mereka sayang. Jika ini berterusan, maka perang pun tidak akan berkesudahan, korban terus mendadak dan darah tidak akan berhenti mengalir. Kita menelan kepahitan untuk menerima kebenaran, ketepikan ego masing-masing dan cari jalan untuk tidak terus bersengketa.


Dengan memahami kenapa seseorang itu menjadi "jahat" adalah supaya kita muhasabah dan membaiki diri kita kerana seseorang itu lahir menjadi jahat mungkin sekali akibat tangan kita juga. Adakalanya berlakunya kepincangan dalam pilihan dan tindakan kita yang kita rasakan ia terjustifikasi dalam melakukan sesuatu yang natijahnya adalah luka darah yang terhiris di jiwanya. Kesan parut yang terlakar akan menjadi miasma yang mencemarkan hatinya dan tanpa dia sedar, dia telah menyimpang haluannya akibat dendam dan kemarahan yang membara.

Misalnya apabila berlakunya genosida. Keturunan dari mereka yang terselamat pasti belum hilang resahnya dan pandangan buruknya terhadap kaum yang menindasnya sekalipun ia telah berlalu lama, sekalipun ia hanyalah relik sejarah dan suasana interaksi berbeza. Sudah tentu, keturunan itu akan bertindak agresif atau memberontak apabila berlakunya perselisihan dan pergeseran kerana mereka tidak mahu sejarah berulang lagi. Kaum yang nenek moyangnya pernah terlibat dengan genosida dan tidak lagi dalam jenayah itu sudah tentu menganggap orang itu adalah bajingan kerana langsung tidak mahu menunjukkan kompromi dan keterbukaan, apatah lagi menzahirkan penentangan. Sekali lagi, dua perspektif yang berbeza.

Kita mungkin dapat mengalahkan orang yang jahat, tetapi kita tidak sedar punca kejahatannya. Kita mencantas lalang, tetapi akarnya masih kekal kukuh dalam tanah. Apabila kita meneroka selirat akarnya, pelbagai persoalan dan bermacam-macam ragam yang ada dalam sebuah kisah sang penjahat. Ia tidak semudah satu konsepsi yang difahami sepertimana kuning warna daunnya. Malah, kuning daun itu terpendamnya pelbagai cerita dari akarnya. Dunia wira dan bajingan begitu rumit dan bercampur-baur.

Best Jeanist pernah berkata kepada Bakugo dalam Boku no Hero Academia, musim ke-2, episod 14: "Wira dan bajingan adalah dua sisi syiling yang sama". Sekarang, fahamlah kenapa dunia wira dan bajingan tidaklah sentiasa cerah pembezaannya.

No comments:

Post a Comment