Pertama, refleksi diri daripada Endeavor sendiri. Dia dah berubah. Dahulu, dia seorang yang panas baran dan agak cengih dengan orang. Dengan keluarganya sahaja, sudah bermacam-macam penderaan yang dia buat semata-mata untuk membina warisan yang penuh dengan berang yang terpendam dan tertekan akibat kalah persaingan dengan All Might.
Kali ini, dia mahu bersikap terbuka dan mesra semua orang. Dia sudah pun berbaik-baik dengan keluarga. Dia sudah mula menziarahi isterinya yang dia tidak begitu ngam dan tunjukkan rasa kasih kepada anaknya, khususnya Todoroki. Dia mahu menebus masa lampaumya yang penuh bakaran kemarahan.
Barangkali setelah melihat apa yang berlaku pada All Might yang telah hilang kuasanya, dia tersentak. Dia yang dahulu telah berputus asa untuk bersaing dengannya dan menyerahkan semuanya kepada anaknya, Todoroki untuk mengatasi All Might untuk menjadi nombor satu, kini dia sendiri terheret untuk menghadap cabaran yang dia tidak sangka dalam hidupnya.
Dia perlu menjadi orang yang terkehadapan dalam komuniti hero. Dia tidak sangka dia akan menjadi nombor satu yang dia telah lama berputus asa dengannya. Dia perlu berubah dan tidak boleh kekal di fasa dan sikap yang sama.
Jenayah semakin meningkat saban hari setelah persaraan All Might. Dia sedar yang dia perlu menggalas tanggungjawab yang besar sebagai seorang yang bernombor satu dan simbol keamanan yang akan memimpin semua hero dan mengembalikan kepercayaan kepada masyarakat. Sebab itulah dia sanggup rendahkan sayap superiornya untuk berbincang dengan All Might tentang wawasan hero yang perlu direalisasikan.
Dia bertanya kepada All Might: "Apa makna Simbol Keamanan?". Dia sedar bahawa sekadar menjadi kuat tidak cukup untuk membina imej dan ikon kepada masyarakat. Dia perlu ada pemahaman dan pembuktian bahawa dia adalah nilai hero yang menjadi teras sentimen kepada semua orang.
Semasa di Carta Papan Tayangan Hero Jepun, mesejnya ringkas sahaja: "Kau tengok aku!". Aku sendiri mula-mula rasa tidak ada apa-apa makna yang besar daripada kata-kata ini. Namun, setelah saksikan episod yang seterusnya, setelah berjaya menumpaskan Nomu, barulah nampak betapa dahsyatnya kata-kata ini walaupun pendek dan diekspresikan secara biasa dengan nada tegas sahaja. Dia membuktikan bahawa dia boleh menjadi penyambung legasi kepada Simbol Keamanan yang dinantikan semua orang.
Kedua, refleksi kepada mayarakat. Bila masyarakat sudah hilang simbol yang boleh dibanggakan dan dipercayai yang menjamin keamanan dan melindungi mereka, masing-masing panik. Siapa lagi yang boleh mereka harapkan dan siapa lagi yang boleh menjadi barisan hadapan dan barisan akhir yang berkompeten untuk hadapi bajingan (villain) yang kuat dan mula mendapat pengaruh besar?
Apabila kehadiran Nomu yang tampaknya mengungguli sang bernombor satu, semua orang tidak keruan dan tidak tentu hala. Legasi hero nampaknya mengalami keretakan yang menanti ambang keruntuhannya. Ia telah disaksikan di hadapan mata dan di hadapan media. Masyarakat yang sudah selesa dengan kemakmuran, kini berdepan dengan krisis; krisis keamanan dan krisis identiti. Mereka begitu terdesak untuk mendapatkan tempat perlindungan yang menjamin kelangsungan hidup mereka.
Dalam situasi runcing ini, seseorang yang baru sahaja melangkah ke perwatakan baharu dengan idea yang masih belum jelas, apa yang perlu dia buat? Di sinilah cabaran hebat yang dihadapi oleh Endeavor.
Sekarang, kita saksikan, versi Simbol Keamanan apakah yang dia akan menjadi? Tatkala semua orang sibuk bernostalgia dengan aura All Might dan selalu merendah kadar Endeavor kerana masing-masing asyik membandingkannya dengan All Might, sekarang Endeavor perlu membuat tampilan yang menyerlah dengan wajah yang lebih berketerampilan di dunia hero.
Jadi, apa pandangan anda tentang Endeavor saat ini?
Nota: Aku hanya bagi ulasan berdasarkan adaptasi anime sehingga musim ke-4 sahaja, tidak pada manga hanya untuk menggalakkan orang menonton anime sambil memahami isi kandungan plot. Itu sahaja.
No comments:
Post a Comment