Saturday, 11 April 2020

Puisi Cinta Sang Pelajar Nahu

Oleh : Marzuka Martillo

kau dan aku
seperti mubtada' dan khobar
kesatuan yang tidak terpisah
tiada penghalang jumlah i'tidrodhiyyah
menjauhkan antara kau dan aku
sepertimana fi'il yang telah menjadi ism,
ketika digandingkan dengan harf masdariy
sebegitulah cinta kita melebur
dari kerlipan mata ke hati yang damai
tatkala kita berdua dipertemukan,
senyuman manis yang kau berikan padaku,
kau telah mengikat diriku
sepertimana ikatan silah al-mausul
bahawa sesungguhnya tiada badal bagimu,
telah pun mamnu' min as-sorf dari jiwaku,
tanwin yang mengalihkan walau sesaat pun
pandangan mataku dari menatap wajahmu,
kau telah memfathahkan kasih yang ku nida'kan
umpama mudhof menyambut mudhof ilaihnya,
alangkah seronoknya perasaan ini!
tetaplah fi'l muta'addi mengejar maf'ul bihnya,
seluas lautan api pun ku sanggup renangi,

usah kau ragu dengan apa yang kau rasakan,
bukankah tamyiz telah dinasabkan?
demikian juga maf'ul mutlaq yang sudah ternyata?
kekasihku, masih lagikah kau memerlukan harf ta'lil?
setelah ku lengkapkan isim inna dan khobarnya?
setelah ku perkukuhannya dengan lam at-taukid?
jika engkau adalah isim maqsur,
akulah baris muqaddarah bagimu,
jika engkau adalah 'amil,
maka akulah ma'mul bagimu,
eksistensiku hanyalah untukmu
sentiasa aku di sisimu
semuanya kepada dirimu,
walau engkau hazaf sekalipun
tetaplah engkau tidak hilang di pandanganku,
namun kau nyata di sanubariku,

wahai kekasihku!
cinta sejati adalah seperti fa' fasihah,
sentiasa ia berdiri tanpa perlu penyebutan syaratnya,
atau seperti ma an-nakirah at-taammah,
tanpa ia berhajat pada silah atau sifat
semogalah cinta kau dan aku ini mabni,
walau mengharungi pelbagai i'rab yang membadai,
kau dan aku dalam dunia sighah at-ta'ajjub
penuh dengan keindahan dan kekaguman

No comments:

Post a Comment