Aku sudah lama percaya bahawa dunia ini memang kejam serta tidak pernah dan tidak akan beri keadilan kepada kita. Kalau kita dapat apa yang kita mahu pun, ia sebenarnya mahu mempermainkan kita, lagi dan lagi. Kemudian, belasah dan buli kita semula. Begitulah kitarannya sampailah akhir nafas kita. Memang dunia itu permainan. Dia mempermainkan kita dan kita pula terbelenggu dalam permainannya.
Untuk isu lambakan immigran dan pelarian, entah kenapa tiba-tiba aku teringat kepada kata-kata Rize tentang perlunya seseorang mengorbankan salah satu dua daripada dua pilihan untuk selamatkan yang lain dalam anime Tokyo Ghoul, musim pertama, episod 13. Bagi Rize, ada masanya kita perlu tinggalkan pilihan yang lain untuk memelihara pilihan yang lain. Tidak memilih atau enggan memilih bermaksud kita menjadi seorang yang lemah.
Dialog ini panjang, mencakupi 3/4 babak dalam satu episod. Namun, aku cuba ringkaskannya sedaya yang boleh yang untuk paparkan satu perspektif.
Untuk kes Kaneki Ken, kalau diberi pilihan untuk selamatkan ibunya yang sudah semakin melarat dan makciknya yang tidak peduli pun keadaan kakaknya, tetapi terus meminta-minta wang daripadanya, apa pilihan sepatutnya untuk Kaneki? Mengapa Kaneki keberatan dalam memilih untuk selamatkan ibunya? Tidakkah Kaneki kasihan dengan ibunya sendiri yang semakin hari semakin terbeban? Kenapa perlu kasihankan makciknya yang merampas kegembiraan ibunya?
Sebabnya Kaneki mengambil ajaran ibunya bahawa lebih baik merasa sakit daripada menyakiti orang lain. Baginya, orang yang baik dapat menemukan kebahagiaan hanya dengan itu. Namun, Rize sinis menjawab: "Dia sungguh baik dan seorang yanghebat, bukan? Sebab itulah kau terjerat dalam keributan". Kemudian, Rize berkata lagi: "Lebih baik merasa sakit daripada menyakiti orang lain? Adakah sepanjang hidup kau percaya dengan dusta itu?". Kaneki hanya mampu menjawab bahawa ibunya yang mengajarkan sedemikian. Rize berkata: "Engkau berpaut dengan setiap kata-katanya tanpa berfikir?". Katanya lagi: "Kau pastikah ibu kau yang baik dan hebat sepertimana yang kau sangka?".
Kemudian, Kaneki diberi pilihan secara paksa. Dia dipaksa oleh Yamori untuk memilih pada dua pasangan bercinta, lelaki dan wanita, yang mana patut dibunuh? Kalau Kaneki tidak buat pilihan, maka kedua-duanya dibunuh. Namun, Kaneki tidak dapat buat pilihan kerana bagi Kaneki, membuat pilihan sama seperti seorang pembunuh. Maksudnya, kalau dia memilih untuk Yamori membunuh lelaki sebagai contoh, automatik Kaneki sudah menjadi pembunuh. Akhirnya, disebabkan Kaneki tidak dapat buat keputusan, kedua-duanya dibunuh.
Rize persoalkan sekali lagi: "Lebih baik merasa sakit daripada menyakiti orang lain? Sebab itulah kau terjerat dalam keributan". Katanya lagi: "Kalaulah kau memilih yang lelaki, yang perempuan akan diberi belas".
Katanya lagi: "Kau nampak tak? Inilah haluan yang kau pilih. Inilah masa depan yang kau pilih. Kenapa kau menangis? Kenapa kau teresak-esak? Kau pilih lebih baik merasa sakit daripada menyakiti orang lain, bukan? Kau baik dan hebat. Kau mungkin memilih kedua-duanya, tetapi sebenarnya kau tinggalkan kedua-duanya. Ibu kau pun sama. Kalaulah ibu kau berpaling daripada adiknya yang tidak merana apa-apa, pasti dia tidak akan mati kerana memenatkan dirinya. Alangkah bodoh si ibu itu. Kalaulah betul dia mencintai kau, sepatutnya dia tinggalkan adiknya yang tidak berguna. Dalam diri kau, itu sebenarnya yang kau dambakan, bukan?".
Akhirnya, Kaneki sudah mula menyesali dan meratap mengapa ibunya tinggalkan dia dan berharap agar ibunya memihak kepadanya. Rize bertanya: "Walaupun dengan meninggalkan makcik kau? Walaupun ia bermaksud menyakiti seseorang? Walaupun dengan merampas nyawanya?". Kaneki tidak lagi teragak-agak untuk bertekad dengannya. Rize menyambung kata-katanya: "Ada masanya kita perlu tinggalkan pilihan yang lain untuk memelihara pilihan yang lain. Ibu kau tidak dapat melakukannya. Itu bukan sikap yang baik, tetapi ia cumalah sifat lemah. Dia tidak ada kekuatan, tekad untuk kembalikannya. Adakah engkau mahu membiarkan diri engkau menderita berpanjangan?". Di akhirnya, Kaneki berkata selepas dia diberitahu oleh Rize bahawa Yamori akan merampas rakan baiknya, Hide dan kawannya di Anteiku: "Aku tidak akan beri belas kasihan kepada mereka yang merampas tempat kepulangan aku".
Apabila Kaneki sudah tekad untuk memilih menjadi Ghoul, Rize berkata: "Kau tak rasa pilihan kau salah?". Kaneki menjawab: "Bukan aku yang bersalah. Yang salah adalah dunia ini". Tamat.
Apa yang ingin disampaikan daripada cerita ini adalah bahawa ada masanya kita perlukan korbankan satu pilihan demi mengambil pilihan yang lain. Jika kita tidak berbuat sedemikian, ia mampu memusnahkan diri kita. Kalau kita cuba memilih kedua-duanya, maka ia bermaksud, kelak kita akan meninggalkan kedua-dua pilihan tersebut. Kita perlu korban rasa baik kita untuk suatu pilihan yang berbaloi untuk diambil dan diselamatkan.
Baiklah. Berbalik kepada isu. Ketepikan sebentar konservatif atau liberal atau mana-mana ideologi dan aliran. Kita tengok analogi ini kenapa rasa xenofobia ini ada asasnya.
Katakanlah kita menerima seratus orang pelarian meminta bernaung di negara ini atas dasar rasa kemanusiaan dan persaudaraan sesama agama merentas sempadan dan bangsa. Ye lah! Kita yang menentang penerimaan ini dianggap bersikap assobiyyah dan xenophobia. "Cuba bayangkan diri anda di tempat mereka, apa perasaan anda kalau dilayan seperti itu?". Itulah retorik yang terus-menerus meratib dalam menjustifikasikan tindakannya. Ye lah! Kita mengalah dengan kehendak mereka yang berkeras untuk menerima juga. Kita pun terima sahajalah.
Apa akan jadi selepas itu? Bulan depan, kawannya atau keluarganya bawa pula seratus orang lain. Baiklah. Kita terima sahaja mereka atas dasar ihsan, rasa simpati, rasa kemanusiaan dan rasa persuadaraan sesama agama tanpa mengira budaya dan sempadan. Kemudian? Bulan depan, bertambah lagi. Kemudian, bertambah, bertambah, bertambah dan bertambah lagi. Berganda-ganda pula pertambahannya. Kita tidak boleh menolak sebab mahu berkeras sangat dengan rasa kemanusiaan dan persaudaraan. Ulangilah retorik tadi kalau tiba-tiba hati terasa waswas dan syak wasangka. Lama-lama boleh cukup dua juta atau lebih populasi negara kita hanya dengan pelarian atau pendatang asing sahaja.
Itu baru satu negara. Cuba kalau lepas ini negara lain pula dan mereka pula tahu bahawa tanah air kita ini syurga idaman untuk menempatkan pelarian? Mereka pula datang bukan dengan seratus orang, tetapi beratus ribu. Cuba darabkan pula dengan negara-negara yang lain. Akhirnya apa? Lama-lama kita pun tidak boleh terbuka sangat. Tidak dapat tidak, sudah jadi kewajiban untuk menjadi tegas sebab sudah muak dan risau dengan lambakan orang asing yang bertapak kukuh, malah mendominasi negara dan enggan pulang ke kampung halamannya. Tambah lagi dengan situasi epidemik penyakit berjangkit yang tiada vaksin masih mencengkam nyawa manusia, tentu lagi kita perlu bertegas dalam menapis membawa masuk pendatang asing atau pelarian.
Apa lagi? Akhirnya, orang yang ejek orang lain xenofobia dan assobiyyah, mereka sendiri juga akan memakan cemuhan yang mereka sendiri lemparkan. Mereka sendiri akhirnya tersisip sedikit xenofobia dan assobiyyah terhadap negara walaupun mereka berdalih dan enggan mengakuinya kerana sudah banyak immigran yang masuk tetapi tidak pernah keluar telah mula bertapak dan membina kekuatan di sini.
Lihat! Selagimana tidak ada dasar atau polisi yang boleh menyeleraskan, mengawal dan menjanjikan yang terbaik untuk dua pihak; pelarian atau pendatang dengan rakyat tempatan, selagi itu rasa xenofobia masih ada dasarnya. Sembanglah tentang kemanusiaan dan persaudaraan. Selagimana tidak ada satu sistem atau orde yang boleh menjamin kepentingan nasional, selagi itu xenofobia tidak dapat dihapuskan. Menyalahkan orang hanya kerana bersikap sedemikian tidak ada guna kalau enggan menerima dan tidak mahu mengamati puncanya.
Kita terpaksa menelan kepahitan bahawa kita sudah terlalu baik, terbuka dan berlembut sangat sehingga tempat kita sudah menjadi transit atau dunia baru untuk orang luar jalani kehidupannya. Kita terlalu bagi ruang sangat sehingga akhirnya orang asing sudah mampu bersaing, menentang dan mengancam kedudukan rakyat tempatan. Masa itu, penyesalan pun agaknya sudah kira terlambat. Orang asing dengan kelompoknya sendiri dan mengasingkan diri daripada penduduk tempatan. Multibudaya telah membuka lebih banyak jurang perpecahan dan perselisihan.
Aku (atau orang lain) tidak peduli digelar buruk atau dituduh atau diejek, terutamanya xenofobia atau kepuakan atau fasis atau tidak belas kasihan sebab mahu pertahan kepentingan negara terlebih dahulu. Sebab kita tahu impaknya apabila terlalu beri muka dan peluang. Kita tidak boleh berpaut dengan dunia utopia dan alam idealistik. Kita berpaksikan pada realiti dan pelajaran yang kita peroleh akibat kegagalan kita atau orang lain sama ada yang terdahulu atau sekarang. Sentimen dan semangat yang berkobar bukan magik untuk menyelesaikan masalah. Dengan adanya rasa kemanusiaan atau semangat persaudaraan, bukan bermakna automatik aturan dunia akan berpihak dengan wawasan kita. Penyelesaian bijaksana diperlukan lebih daripada sentimen dan semangat atau retorik semata-mata.
Jadi apa? Kita sudah hilang kasihan, ihsan dan simpati kepada mangsa kerana mendahulukan kepentingan negara? Kita sudah sirna perasaan kemanusiaan dan ikatan persaudaraan sesama agama merentas sempadan dan agama kerana kita sudah menjadi assobiyyah dan xenofobia? Tidak sama sekali! Kita semua, tidak kira konservatif atau liberal atau sesiapa pun sangat ingin membantu dan mengakhiri penderitaan mereka. Kita semua sama-sama mahu cari jalan penyelesaian yang terbaikyang membantu para pelarian tanpa memusnahkan nilai sentimen dan identiti yang telah lama dikongsi, diwarisi dan disematkan dalam minda dan jiwa kita.
Namun apa? Kita semua belum berpuas dengan dasar dan polisi yang sedia ada. Ada sahaja lompong dan pincang. Kita boleh toleransi kekurangan yang dianggap tidak sempurna, tetapi kita tidak boleh berlapang dada dengan korupsi dan kebejatan yang wujud dalam sistem. Kita masih tidak dapat atau belum mampu berbuat apa-apa lagi atau yang dianggap terbaik untuk semua. Kita belum ada lagi jalan penyelesaian bersama untuk selesaikan krisis yang membimbangkan kita semua.
Adakah dengan kita menegaskan pendirian untuk tidak menerima pelarian itu menunjukkan kita semua sudah tidak lagi peduli ikatan kemanusiaan dan persaudaraan yang kita perjuangkan selama ini? Bahkan, kita semua berat hati memandang duka mata mereka yang kabur masa hadapannya dan menanggung nestapa yang melukakan sepanjang pelayaran. Wajah kita tampak bengis dan meradang tatkala kita menolak dan menghalau, tetapi di hati kita sudah terbeban dengan beribu-ribu perasaan yang membadai di jiwa. Kita terpaksa menutup mata dengan jiwa yang hiba seolah-olah kita perlu ketepikan ihsan atau tidak dapat berlembut lagi.
Kita semua saudara seagama dan kita juga ada ada rasa kemanusiaan, tetapi kita tidak boleh ambil kedua-duanya dalam dua pilihan yang terbentang. Kerana kelak ia menghuru-harakan kita semua. Kita memang ada impian untuk dunia yang aman dan manusia saling toleransi dalam angan-angan imaginasi kita. Malangnya, realitinya tidak akan pernah menjanjikan sebegitu. Sebab jikalau kalian mari beramai-ramai pun, kelak akan wujud jenis perang versi berbeza dari kampungan halaman kalian yang telah pun berkecamuk. Kalian mungkin akan merasa aman dengan sifat ihsan, tetapi akan datang boleh wujud suatu keresahan dan kita semua akan laluinya. Kita tidak ada pilihan lain lagi. Berat hati kita terpaksa mengorbankan ihsan yang kita begitu mahu berikan demi sifat tegas untuk melindungi kepentingan negara.
Kejam kan dunia yang kita saksikan, rasai dan alami sendiri? Ya. Itulah yang aku rasa dan fahami. Rasa meluat dan bara geram itu sudah lama menggelegak bertarung dengan kesabaran. Apa yang kita boleh buat? Kita tiada daya untuk mengubah peraturan permainan dunia yang memang tidak ada belas kasihan. Kita terpaksa buat pilihan yang si kejam ini paksakan kepada kita. Dunia sedang mempermankan kita dengan pilihan kejam ini! Kalau tidak buat pilihan, kita sendiri, malah orang lain juga akan derita bersama.
Dan aku (dan sahabat lain) keberatan untuk memilih menolak pelarian ini sambil terpaksa tutup mata dan menebal muka untuk menolak keras. Maafkan kami. Bukan kami tidak mahu terima, tetapi kami juga dalam kepayahan yang tersendiri.
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=3424268894290346&set=a.344595828924350&type=3&theater
No comments:
Post a Comment