Namun, saya di sini ingin bawakan perspektif yang melihat pada seorang yang murid yang berpegang teguh dalam jalan kesufian, tetapi masih tersisip lagi penyakit-penyakit jiwa yang menjalar dalam persangkaannya terhadap Tuhan, tetapi dia tidak menganggap apa-apa masalah, bahkan dengan lagaknya ia berkata: "Kalau aku salah, sudah tentu aku akan dibalas". Kadangkala, ini juga berlaku untuk orang yang ahli ibadah dan zuhud tanpa disedari. Inilah apa yang Ibn ʿAṭoʾillah as-Sakandariy sampaikan kepada kita :
من جهل المريد: أن يسيء الأدب، فتؤخر العقوبة عنه، فيقول: لو كان هذا سوء أدب لقطع الإمداد، وأوجب الإبعاد؛ فقد يقطع المدد عنه من حيث لا يشعر، ولو لم يكن إلا منع المزيد. وقد يقام مقام البعد وهو لا يدري، ولو لم يكن إلا أن يخليك وما تريد.
Antara kebodohan para murid adalah buruknya adab, lalu ditangguhkan hukuman terhadapnya, lalu murid itu berkata: "Kalaulah ini adalah adab yang buruk, pasti terputus pertolongan dan penyebabnya kejauhan". Padahal, telah pun terputus pertolongan daripadanya dari arah yang dia tidak sedari walaupun tidak berlaku apa-apa melainkan tertegahnya penambahan. Boleh jadi telah pun terjadi kejauhan sedangkan dia tidak mengerti walaupun tidaklah berlaku apa-apa melainkan Dia membiarkanmu dan apa yang kau inginkan.
"Sering terjadi, di mana seorang musafir yang sedang berkelana menuju Allah Taʿālā terjatuh pada kesalahan yang bersifat lisan mahupun perbuatan. Dan pada saat yang sama ia merasakan bahawa kurnia (berupa pertolongan) daripada Allah yang diberikan padanya terus mengalir. Akibatnya, ia lalu terus-menerus beradab buruk kepada-Nya. Adakalanya pula permasalahannya lebih jauh dari itu. Yakni, ia merasa bahawa dirinya memiliki karamah daripada Allah sehingga Allah tidak menghukumnya atas perbuatan maksiat yang telah ia lakukan serta adabnya yang buruk itu. Bahkan sampai-sampai ia menganggap apa yang dilakukannya adalah kebenaran sejati. Menurut Syeikh, pendapat seperti ini sangat berbahaya" [Kitab al-Hikam; Petuah-Petuah Agung Sang Guru, m/s 87-88, terbitan Khatulistiwa Press].
Ibn ʿAbbād berkata :
هذا نوع من الاستدراج وسوء أدب المريد، موجب لعقوبته، ولكن العقوبات مختلفة، منها معجلة ومنها مؤجلة، ومنها جلية ومنها خفية. فالعقوبة الجلية بالعذاب، والعقوبة الخفية بوجود الحجاب، فالعقوبة العذاب لأهل الخطايا والذنوب، والعقوبة بالحجاب لأهل إساءة الأدب بين يدي علام الغيوب.
"Ini adalah jenis istidraj dan buruk adab bagi murid yang mendorong kepada hukuman. Namun, hukuman ada pelbagai. Antaranya adalah yang disegerakan. Antaranya juga adalah yang dilambatkan. Antaranya juga adalah hukuman yang terang dan ada hukuman yang tersembunyi. Hukuman yang terang adalah hukuman dengan azab, manakala hukuman yang tersembunyi adalah dengan adanya hijab. Hukuman azab adalah untuk pelaku kesalahan dan dosa, manakal hukuman dengan hijab adalah untuk mereka yang buruk adab di hadapan Yang Maha Mengerti hal ehwal ghaib" [Ar-Risālah al-Ghulāwiyah. karangan Sīdī Muḥammad al-Kholifah al-Kunti, m/s 138, keluaran Dār al-Kutub al-ʿIlmiyyah, Beirut].
Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata: Pendekatan "Kalaulah ini adalah adab yang buruk" memberi isyarat betapa redanya dengna nafsu; sedangkan kaedah yang dinyatakan bahawa redanya nafsu membawa mudarat sebagaimana tohmah dan tidak reda merupakan asal setiap kebaikan. [Syarah al-Hikam, jilid 1, m/s 451, terbitan Telaga Biru].
Seorang hamba yang sedang senang-lenang dan tenggelam dalam kenikmatan berkata: "Ah! Seandainya apa yang saya lakukan selama ini adalah satu kemaksiatan kepada Allah, nescaya Allah akan menghentikan segala bantuan dan anugerah-Nya dan tentulah aku telah menjadi susah".
Ucapan sepertimana di atas adalah satu kebodohan yang tanpa disedari akan membawa dirinya kepada kebinasaan yang dahsyat. Sesungguhnya Allah akan menarik kembali semua anugerah itu dan akan menghempasnya ke lembah kehinaan. Apabila Allah SWT sentiasa memberikan kurniaan-Nya, padahal kita sering pula bertentangan dan bercanggah dengan-Nya, maka hendaklah kita takuti bahawa hal itu termasuk dalam ancaman Tuhan yang pada suatu waktu Allah SWT akan bertindak terhadap kita. Meskipun pada zaman-zaman sebelumnya kita tetap seperti biasa, yakni di dalam anugerah kurniaan Allah SWT.
Sesungguhnya menderhaka dengan Allah mempunyai erti yang luas. Bukanlah ertinya terhad pada tidak melaksanakan perintah-perintahNya atau mengerjakan larangan-laranganNya, tetapi bertentangan dengan Allah termasuk pula tidak sopan kepadaNya sepertimana rumusan yang dinyatakan oleh al-Imām Ibn ʿAṭoʾillah as-Sakandariy. [Syarah al-Hikam; Bimbingan Menjadi Wali Allah, jilid 1, m/s 549, terbitan al-Hidayah Publication].
Kalam hikmah di atas untuk lebih jelasnya dapat disemak menerusi huraian-huraian sepertimana berikut :
Bahawa sebahagian daripada bermacam-macam al-Istidraj, yakni tidak ada keseimbangan antara nikmat dan rahmat Allah atas kita dengan terima kasih kita dengna-Nya. Tegasnya, kita masih belum begitu bersungguh-sungguh mengingatkanNya, apalagi jika kita melupakanNya. Sebenarnya keadaan itu disebabkan kerana kita masih jahil, yakni kita belum merasakan hakikat sopan santun yang diperlukan bagi kita sebagai hamba Allah yang sedang berjalan di jalanNya engan maksud untuk sampai kepadaNya atau dekat kepadaNya.
Kejahilan kita pada hakikat kesopanan yang diperlukan dalam perjalanan kepada Allah itulah yang membawa kepada al-Istidraj ke atas kita. Maka, kejahilan pada hakikat kebaikan kesopanan yang diperlukan itu adalah sebagaimana berikut :
(i) Tidak ada sopan santun atau tidak baik adab kita pada Allah SWT, yakni kita seolah-olah bersifat kasar terhadap Allah. Misalnya, hati kita bertentangan atau tidak sejalan. Pendek kata, suka membantah terhadap sebarang keputusanNya kepada diri kita. Misalnya, hati kita berkata kiranya sesuatu itu ada, maka si Fulan tidak akan ada. Atau lebih nyata dalam contohnya, sudah sekian banyak aku beribadah kepada Allah, tentu selayaknya Allah Taʿālā tidak menjadikan aku sakit, miskin dan sebagainya. Misalnya juga, perasaan keberatan kita dalam mengerjakan perintah-perintah Allah. Seolah-olah perintah-perintah Alah itu membawa kesibukan atau membawa kerugian pada diri kita atau orang lain sehingga kerananya lidah kita mengadu dan menyampaikan kepada makhluk-makhluk manusia. Seolah-olah ajaran agama itu menghambat kemajuan, bahkan juga merugikan kepada kesempatan-kesempatan duniawi yang kita dapat mengerjakannya andaikata kita tidak mengamalkan ajaran agama. Itulah hal-hal yang disebut kurang beradab kepada allah, bahkan tidak ada adab sama sekali kepadaNya seperti dalam gambaran di atas adalah paling keji dari segala macam gambaran tentang tidak sopan dalam erti kata yang luas. Apabila kita sudah demikian, hendaklah kita cepat bertaubat kepada Allah dan mengharapkan keampunanNya kerana kita takut apabila Allah bertindah terhadap kita tanpa kita ketahui dan tanpa kita sedari. [Syarah al-Hikam; Bimbingan Menjadi Wali Allah, jilid 1, m/s 550-551, terbitan al-Hidayah Publication].
(ii) Tidak beradab atau kurang sopan, bahkan tidak sopan sama sekali pada guru atau orang ynag menuntun kita dalam perjalanan di jalan Allah demi sampainya kita kepada Allah; tidak berlaku adab kepada guru yang sebagai penuntut kita kepada jalan kebaikan. Misalnya, hati kita membantah guru atau dengan kata lain, hati kita merendahkan atau menghina guru adalah kurang ajar namanya. Sebab itu hati tidak boleh berkata terhadap guru dengan pertanyaan hati yang kurang puas. [Syarah al-Hikam; Bimbingan Menjadi Wali Allah, jilid 1, m/s 551-552, terbitan al-Hidayah Publication].
Maka, berlakulah adab dan sopan kepada guru seperti gambaran di atas, tempatnya adalah pada guru yang bukan hanya sekadar memberi ilmu sahaja kepada kita, tetpai guru yang dimaksudkan, lebih dari itu, Yakni guru yang memberikan ilmu pengetahuan kepada kita, di samping juga ia adalah mursyid kita, pembimbing kepada jalan kebenaran, bahkan juga sebagai doktor kita yang selalu memimpin dan menuntun jiwa dan amaliah untuk dekat kepada Allah SWT. Itulah guru yang dikehendaki dan yang dimaksudkan dalam ilmu tasawuf Islam. [Syarah al-Hikam; Bimbingan Menjadi Wali Allah, jilid 1, m/s 552, terbitan al-Hidayah Publication].
Apabila kita tidak menjaga adab-adab seperti tersebut di atas, meskipun pada lahirnya tidak ada tindakan-tindakan Allah pada zahiriah kita dan juga batiniah kita, menurut perasaan kita, tetapi berhati-hatilah bahawa kita tidak terlepas dari amaran Allah SWT yang sifatnya disebut dengan al-Istidraj. Tunggulah satu waktu Allah SWT tidak akan lupa pada janjiNya sebagai balasan atas tidak beradabnya kita kepadaNya. Hendaklah dimaklumi bahawa yang dimaksudkan dengan tindakan Allah yang bersifat zahiriah adalah seperti bala, musibah, penyakit dan lain-lain, sedangkan tindakan Allah yang bersifat batiniah seperti tidak ada ketenangan hati, tidak ada kenteraman jiwa, penyakit hati semakin bertambah dan kita bertambah jauh dari Allah SWT.
Orang ynag tidak menjaga adab-adab seperti di atas itulah orang yang selalu merasa penuh harapan pada hakikat kenyataan yang negatif. Orang yang demikian adalah orang yang tertipu dengan keselamatan zahiriah yang masih menjadi tanda tanya untuk mencapai kebaikan batiniahnya, padahal mungkin jauh dari kenyataan yang sesungguhnya. Orang itulah yang sering timbul dalam ucapannya yang nadanya sebagai berikut: Jikalau keadaan saya tidak baik menurut Allah dan rasul, menurut guru-guru saya, teman-teman saya dan pandangan akal saya, maka tentu Allah memutuskan bantuanNya kepadaku dan tentu Allah akan mengambil segala-galanya dariadaku dan tentu Allah akan menjadikan aku untuk tidak ingat kepadaNya".
Demikian kira-kira perasaannya. Tetapi orang itu lupa bahawa ia berperasaan demikian adalah kerana kejahilannya dan kerana tidak mahu sedar terhadap Allah SWT yang telah memberikan nikmat dan kuriaNya kepada orang tersebut. Sebab pada hakikatnya, Allah SWT pada suatu waktu dapat menghentikan bantuanNya tanpa diketahui dan tanpa disedari oleh yang berkenaan. Kalaupun Tuhan tidak memutuskan bantuan-bantuanNya, tetapi mungkin juga Tuhan mencukupkan dengan nikmat-nikmat yang ada tanpa ditambah dan tanpa diberikan tambahan atas nikmat-nikmat itu. Yang kemudian, itupun bererti juga putus bantuan dari Allah SWT. Jikalau kita sudah berperasaan seperti di atas terhadap Allah SWT disebabkan secara adat kerana tidak melaksanakan adab-adab sopan santun seperti di atas, maka hilanglah kemurniaan perasaan dari hati dan lenyaplah pula fungsi akal daripada otak kita. Pada waktu itu, gugurlah kita dari perhatian Allah dan bererti pula telah terbalik dan terselubung hati kita dengan hijab-hijab yang tebal sehingga gelaplah hati kita dan mulailah bertukar ketenteraman jiwa dan hati dengan kegelisahan dan serba keragu-raguan pada jalan hidup yang dihadapinya. Apalagi telah sampai ke tahap begini, beransur-ansur turunlah nilai akidah dan nilai keimanannya sehingga boleh menimbulkan malapetaka bagi hidup dan kehidupan.
Bagi orang-orang yang sudha merosot keimanannya disebabkan tidak melaksanan adab-adab sopan santun seperti diatas, maka mereka itu telah mulai jauh dari padangan Allah SWT meskipun mereka sembahyang, puasa dan lain-lain. Tetapi taat dan ibadahnya sudah tidak bernilai lagi seperti sebelumnya. Dan yang demikian itu tidak diketahuinya dan tidak disedarinya sehingga kadnag-kadang hatinya menyangka bahawa ia masih seperti sediakala juga, iaitu dalam hubungan yang baik dengan Allah, tetapi pada hakikatnya, tali perhubungan itu sudah lapuk dan tidak sekuat sediakala.
Ambillah contoh bahawa ia masih beum jauh dari Allah SWT, tetapi Allah tidak memberikan perhatianNya lagi kepadanya kerana Allah telah membiarkan kemahuannya menurut hawa nafsunya. Seolah-olah Allah berkata: "Terserahlah menurut semahumu dan Aku tidak akan memberikan bantuan kepadamu lagi seperti biasa". Kalaulah Allah sudah sedemikian terhadap hambaNya yang berkenaan, maka ini lebih celaka dan lebih binasa dari segala-galanya. [Syarah al-Hikam; Bimbingan Menjadi Wali Allah, jilid 1, m/s 554-556, terbitan al-Hidayah Publication].
No comments:
Post a Comment