Wednesday, 8 April 2020

Adakah Filem Sekadar Hiburan?

“Rileks lah. Enjoy cerita sudah lah. Aku pun layan jugak cerita tu, tapi tak ada lah sampai lepas habis tengok tu nak bajet ahli falsafah. Hiburan je pun. Chill lah”.

Komentar sebegini antara suatu hal yang dimaki oleh Benz Ali dalam penulisannya yang berjudul “Murtad Ideologi” yang disiarkan di blog Murbareviu[1]. Spieses yang gemar sindir dan bersikap sinis terhadap mereka yang mengambil inisiatif untuk membedah, mengorek, mengamati dan membincangkan pengetahuan yang ada dalam sesuatu filem itu; idea, falsafah, pandangan, sejarah, sosiologi, psikologi dan lain-lain ilmu.

Mereka ini juga kononnya kebal daripada terkesan atau tidak triggered dengan persembahan sesuatu filem untuk mereka fikirkan atau mencorak perspektif yang baharu atau berbeza selepas tontonan. Bagi mereka, itu sekadar cerita rekaan yang hanya dilayan sambil makan popcorn. Selebih daripada itu, bagi mereka itu adalah orang bertakalluf (membeban diri) dan sengaja peningkan diri.

Berikut kritik Benz Ali untuk spieses ini (aku ringkaskan sedikit)

Inilah masalah aliran pop-popan ini. Yang hanya gemarkan hal-hal popular, ringan, “mudah”, dan tak perlu pikir sangat. Seolah-olah Christoper Nolan-Heath Ledger itu melakukan kegiatan seni mereka tanpa menggunakan otak. Seolah-olah Todd Phillips-Joaquin Phoenix berkarya itu sekadarnya dan main-main untuk aliran pop-popan ini melancap sahaja. Dan apabila kita serius membahaskan persoalan yang ditimbulkan, jawapan puak pop-popan yang selekeh ini,

“enjoy movie sudah”.

Ya. Benar. Pastilah kita enjoy. Jika sekadar hendak enjoy dan tak perlu pikir, elok kita tengok drama yang dihasilkan anak-anak Melayu pukul 7 petang menjelang maghrib itu. Pastilah tidak memberatkan kepala otak. Dan itu percuma, serta mudah. Tidak perlu permainan ekspresi dan pemerihalan latar dan konteks. Cukup office, papa, mama, kahwin dan mampus!

Pastilah kita mengeluarkan duit dari kocek kita, sama ada untuk membeli buku atau membelanja kekasih menonton wayang, pastilah kita hendak membaca atau menonton sesuatu yang bermutu. Yang ada benda menarik untuk disembangkan.

======================================

Cukup takat ini. Selebihnya boleh baca di blog Murbareviu. Di sini, bukanlah hasrat aku untuk tulis sanggahan kepada Benz Ali. Aku setuju apa yang disampaikan dalam penulisan tersebut daripada tajuk sehingga titik yang terakhir. Cuma, penulisan ini dapat kita katakan ini adalah penulisan susulan untuk artikel tersebut dengan melihat satu sudut lain. Maksudnya, kalau Benz Ali membincangkan perangai pop yang acah-acah tidak berideologi, aku pula ada perkara lain mahu dibincangkan. Namun, ia tetap berkisar penolakan terhadap tanggapan selekeh golongan pop ini.

Sebenarnya, menggunakan “cerita rekaan” walaupun tidaklah sepanjang cerpen, apatah lagi untuk seperti novel untuk sampaikan dan bincangkan falsafah sebenarnya sudah lama. Contohnya, the Ring of Gyges, iaitu kisah tentang cincin magik yang boleh menghalimunankan pemakainya. Dengan kisah ini, Plato dalam The Republic membawakan dialog antara Thrasymachus dan Socrates yang pendapat mereka berdua saling bertentangan[2]. Di sini bukan untuk bincang selebihnya. Yang ingin dtekankan adalah bahawa penceritaan boleh menjadi satu cara untuk membuka perbincangan dan sampaikan idea.

Begitu juga dengan Ship of Theseus[3] dan Trolley Problem atau Trolley Dilemma[4]. Cerita dalam bentuk andaian ini boleh jadi satu asas untuk ujikaji pemikiran. Malah, Friedrich Nietzsche juga menulis novel yang berjudul Thus Spoke Zarathustra untuk menyampaikan fasafahnya. Ya, walaupun pada asalnya cerita tersebut bukan dikomersialkan dan diadunkan untuk hiburan, malah sebahagian cerita tidak terikat dengan mana-mana pandangan dan diakhiri dengan menimbulkan persoalan untuk setiap aliran memberi pendapat, tetapi cerita fiksyen berupaya untuk membangkitkan kesan dalam berfikir.

Malah, filem juga boleh dijadikan sebagai bahan propaganda ketika negara bergelojak dalam kancah peperangan[5]. Filem juga boleh menjadi satu medium untuk menjadi lambang bagi sesuatu bangsa dan negara seperti filem Ip Man untuk nasionalisme China[6]. Contoh kesemua ini, terlalu banyak. Novel juga boleh menjadi bahan untuk membangkitkan sentimen menentang penjajah seperti novel Pak Sako yang bertajuk Putera Gunung Tahan[7].

image

Bahkan, kalau kita telusuri laman web Psychology Today, pada bahagian “Beyond Heroes And Villains”[8], ahli psikologi menjadikan filem untuk bahas psikologi dan sosiologi. Artikel yang terkumpul di situ ada beberapa banyak yang menjadikan filem sebagai dasar perbincangan. Malah, ada juga filem yang boleh menjadi rujukan untuk memahami sesuatu isu dalam sains seperti The Interstellar[9].

Meskipun masing-masing mendasarkan untuk hiburan dan keseronokan penonton, tetapi dakyah dan idea daripada pengkarya terkesan atau memberi kesan dalam pembinaan plot dan persembahan cerita. Bergantung tujuan pengkarya, ia boleh dieksplotasi untuk lebih dari sekadar hiburan.

Filem boleh menjadi cerminan pengkarya; bagaimana dia memahami masyarakat, apa perspektifnya pada dunia, apa visinya pada matlamat kehidupan dan ke mana fokusnya pada dunia khayalan dan realiti. Di situ kita tahu juga peribadi dirinya melalui ekspresi ideanya dengan terjemahan sebuah filem.

Filem yang sampah boleh jadi ada masalah perspektifnya pada kehidupan, visinya, masyarakat sekeliling, dunia dan tumpuan dalam hidupnya. Apa yang ada di fikirannya sehingga ingin persembahkan kebodohannya kepada penonton? Bahkan, kita pun mungkin akan tahu betapa teruknya peribadi dia dengan paparan idea seperti itu.

Ya, tidak semua filem betul-betul untuk memprovokasi fikiran. Sebahagiannya memang hanya untuk golongan pop ini. Namun, kita tidak boleh nafi bahawa ada pengkarya memang mahu penonton bincang dan mengambil kira pandangannya pada sesuatu filem. Tinggal lagi kita mahu memanfaatkan otak kita sama ada untuk hemati dan amati isi yang terkandung dalam filem itu.

Tidak perlu bakul sampahkan karya filem seolah-olah ia tidak terkait dengan falsafah langsung. Biarlah orang ingin membuka diskusi dan wacana yang sihat tentang dapatan yang boleh diperoleh dalam filem tersebut. Melalui filem, kita dapat sampel andaian dan gambaran stimulasi bagaimana jika idea dan falsafah itu diterapkan dan dipengaruhi dalam kehidupan.

Perlu diingatkan bahawa filem bukanlah satu-satunya yang memahamkan falsafah atau apa-apa yang menjadi teras idea kepada sesuatu ilmu. Walaupun ada unsur ilmiah, tetapi ia juga dikisar untuk menjadi hiburan. Jika benar-benar serius untuk memperdalam dan mengukuhkan kefahaman, maka rujuklah buku atau penulisan yang bersesuaian atau dengar wacana dan kuliah daripada yang berautoriti. Ini barulah yang betul. Bezakan antara kedua-duanya.

Jangan mudah anggap apa yang ada dalam filem itu adalah fakta berpaksikan dan mencerminkan realiti sepenuhnya walaupun ada sari kata (subtitle) yang kata itu diambil daripada kisah benar. Kita jangan lupa bahawa filem tetap berdasar atas hiburan walaupun pembinaannya adalah apa yang difikirkan dan difahami oleh pengkarya.

Nota Kaki

[1]http://murbareviu.blogspot.com/2019/10/murtad-ideologi.html

[2]http://oregonstate.edu/instruct/phl201/modules/Philosophers/Plato/plato_dialogue_the_ring_of_gyges.html

[3]https://www.utne.com/mind-and-body/ship-of-theseus-identity-ze0z1311zjhar

[4]https://philosophynow.org/issues/116/Could_There_Be_A_Solution_To_The_Trolley_Problem

[5]https://the-artifice.com/world-war-ii-weapon-propaganda-film/

[6]Rujuk : https://www.thepatriots.asia/nasionalisme-china-dalam-filem-ip-man/

[7]https://soscili.my/sasterawan-dulu-popular-bak-selebriti-sekarang-dipandang-sepi/

[8]https://www.psychologytoday.com/intl/blog/beyond-heroes-and-villains

[9]https://www.thepatriots.asia/interstellar-membedah-sebuah-mahakarya-sains-fiksyen/

https://www.facebook.com/photo.php?fbid=2990818344302072&set=pb.100001218067654.-2207520000.1571478160.&type=3&theater

No comments:

Post a Comment