Saya secara peribadi memang tidak akan ucap selamat untuk perayan agama lain walaupun diminta. Apatah lagi menghadiri majlis atau tempat yang menjadi sambutan perayaan walaupun dijemput.
Sebab utama saya memilih tidak untuk mengucap dan menghadirinya adalah kerana saya tidak hanya melihat hukum fiqh semata-mata, tetapi melihat kepada dua perkara ini.
Pertama sekali, adakah umat Islam tidak boleh meneruskan perayaan tanpa ucapan dari penganut agama lain? Adakah perayaan agama Buddha akan tergendala tanpa ucapan dari penganut agama Islam? Adakah penganut Kristian akan menghadapi masalah jika tidak ada penganut agama lain menghadiri ke gereja demi meraikan perayaan mereka? Begitu juga dengan agama-agama lain.
Masing-masing boleh mengamalkan dan meneruskan perayaan sepertimana biasa serta bergembira tanpa perlu menagih ucapan mahupun kehadiran dari penganut agama lain pun. Lalu, mengapa perlu sampai mahu menjadi polemik?
Kedua, kalau saya atau orang lain tidak mahu mengucapkan selamat, jadi kenapa? Mahu gaduh sampai tujuh keturunan? Mahu bersangka buruk? Berbaloikah bergeseran hanya kerana tidak mahu mengucapkan selamat dan tidak mahu menghadiri majlis perayaan?
Takkan sebab tak ucap selamat, terus kita mahu melupakan teras yang menjadi sebab perpaduan kita yang lain seperti keadilan, isu-isu sosial, kedaulatan negara, kesihatan setempat dan lain-lain? Patutkah ini semua dibelakangkan hanya kerana tidak mahu mengucapkan selamat atau tidak menghadiri perayaan?
Kalau kita seorang yang terbuka dan toleransi, maka kita perlu akui dan terima yang orang lain tidak berkompromi dengan apa yang menjadi selain pegangannya atau apa yang dia tidak suka.
Kita tidak pernah paksa pun vegetarian untuk hadir ke pusat penyembelihan untuk melihat bagaimana daging dihasilkan. Sudah tentu juga umat Islam pun tidak perlu dipaksa untuk mengucapkan "sila dan selamat menikmati makanan anda" untuk mereka yang menjamah daging babi.
Memaksa orang lain untuk mengucapkan selamat, apatah lagi menghadiri lebih-lebih lagi jika tahu ia adalah sesuatu yang tidak disukai dan menyalahi pegangan kepercayaannya, adakah ini termasuk keterbukaan dan toleransi?
Cuma, walaupun saya menyatakan bahawa tidak ada keperluan untuk mengucapkan selamat atau tidak menghadiri majlis perayaan mereka, bukan bermakna kita perlu bermasam muka apabila bertemu, bersikap bengis, kasar, tidak mahu memberi hadiah dan belanja. membantu jika ada kesusahan, bersosial seperti minum kopi bersama dan lain-lain.
Yang saya ingin nyatakan adalah yang penting jangan terlalu berkompromi sangat dengan sesuatu yang menjadi teras kepercayaan. Yang menjadi asas akidah, kita perlu tegas untuk mengatakan "tidak" walau didesak. Yang lain, dipersilakan untuk bersikap luas.
Nota: Saya fikir kalau umat Islam faham tentang ini, rasanya tidak perlu disibukkan lagi perbahasan mengucapkan selamat kepada perayaan agama lain. Cukup berpada dengan kefahaman ini, saya berharap ia mampu mencaknakan naratif untuk memilih jalan yang lebih selamat kepada pegangan akidah, justifikasi yang baik untuk keluar daripada ikhtilaf serta bebas dari sebarang konflik.
No comments:
Post a Comment