(a) Jangan anggap seseorang yang boleh membaca kitab Arab yang berbelit bahasa masih lagi dikira sebagai bodoh atau diperlekehkan jika dia tidak boleh mengungkap perkataan harian seperti "Sidai baju di luar", "Tumbuk bawang", "Mop lantai" dan lain-lain. Keperluan dan matlamat pembelajaran bahasa Arab berbeza-beza mengikut individu. Ada orang cukup sekadar boleh baca kitab sudah memadai. Ada orang mahu sampai boleh menulis dan sehinggalah ke komunikasi. Ada orang mahu sampai boleh menterjemah dan menjadi interpretasi. Jadi, tidak perlu rendah-rendahkan tahap yang dicapai bagi setiap matlamat individu.
Ya, sebahagian pelajar pondok kadang berdepan dengan kesukaran untuk berkomunikasi dalam bahasa Arab, tetapi perlukah sampai anggap kemahiran membaca kitab mereka tidak ada nilai apa-apa langsung? Pandai atau tidak pandai bergantung pada tahap, keperluan dan matlamat masing-masing.
(b) Jangan perlekehkan uslub bahasa al-Quran. Ya, kalam dengan pembahasaan al-Quran sememangnya tidak dapat diaplikasikan dalam perbualan harian, lagi-lagi apabila suasana masyarakat bertutur dengan bahasa pasar, tetapi perlukah sampai rendahkan nilai gaya bahasa al-Quran dan memencilkannya? Sepatutnya bagi pecinta al-Quran, mereka akan takjub dan kagum bagi sesiapa yang dapat ekspresi perkataan sepertimana pengungkapan al-Quran, bukan rasa janggal, aneh dan geli.
Sepatutnya, bagi pecinta al-Quran, tahap yang paling bagus adalah pencapaian yang boleh meniru atau mengikut lenggok bahasa al-Quran, bukannya lenggok bahasa Jordan, Mesir, Saudi, Morocco, Yaman dan lain-lain. Sepatutnya bagi pecinta al-Quran, mereka akan sedaya upaya dan bersungguh-sungguh untuk meneladani tatabahasa dan gaya ungkapan al-Quran, bukannya anggap seni al-Quran ini seolah-olah seperti tidak ada "market" atau "low class". Sepatutnya pecinta al-Quran akan meletakkan standard kepandaian adalah bagi sesiapa yang boleh berbicara fasih tanpa lahn serta semakin dekat dengan uslub al-Quran, bukan mereka yang dapat tiru bulat-bulat ungkapan bahasa yang rosak dan caca-merba nilai tatabahasa dan estetikanya.
Teguran ini dibuat sebab saya nampak konotasi negatif yang dibuat secara tanpa sedar walaupun nampak tidak bertujuan seperti itu. Harap selepas ini setiap daripada kita berhati-hati dalam mengajar, terutamanya dalam meletakkan nilai kepandaian seseorang itu.
No comments:
Post a Comment