Padahal, idea mereka kosong dan jauh daripada berpijak di landasan dan kaedah ilmu yang haq. Bahkan, mereka sebenarnya menyelam di lautan kebatilan, tetapi mereka perdaya diri mereka dan orang lain dengan ungkapan yang mempesona, menakjubkan, menghairankan dan tampak seni indah melakar lukisan. Mereka tidak lebih menjustifikan kecanggihan teknologi ciptaan mereka hanya dengan membanyakkan wayar dan komponen dalam satu mesin, lalu rumitkan pembinaan dan cat mesin dengan beraneka warna-warni supaya kelihatan mereka telah maju ke hadapan. Walhal, apabila diuji dan disemak, teknologi mereka tidak mampu hasilkan apa-apa atau memberi apa-apa kontribusi. Sekadar mesin yang menyampuk yang berasa ia di barisan mesin berguna yang lain. Paling buruk sekali ialah ciptaan mereka itu hanya gedegang yang menyahstabilkan kefungsiannya dan ciptaan mereka itu akhirnya memusnahkan sekelilingnya.

Tidak perlu terpedaya dengan gah penggayaan dalam mempengaruhi minda audien, tetapi sebenarnya tin kosong berharuman candu. Nilailah dengan kemampuan ilmu yang ada secara objektif dan kerahkan tenaga untuk meneliti pada dasar. Bezakan yang mana menjadi intipati dan yang mana sekadar aksesori sahaja. Ekstrak intipati itu, kemudian saringlah ia sehingga peroleh jawapan yang bebas dari unsur mencemarkan minda. Kalau didapati ia sekadar celoteh yang dicarumkan bermacam-macam madah, buanglah walau seenak dan semanis mana ia didengari atau dibaca. Bisikan manis yang mengumpan jika kita menggelojohnya, nescaya kita akan direntap. Jangan pandang rendah dengan tipu daya mereka kerana pengabaian kita untuk berwaspada adalah meletakkan diri untuk dicabul dan diratah.
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=2707200502663859&set=a.2757481107635798&type=3&theater
No comments:
Post a Comment