Friday, 10 April 2020

#MalaysiaMembaca

Sebelum saya kongsi 10 buku yang menjadi bacaan kegemaran, di sini saya akan kongsikan beberapa rujukan yang sesuai untuk mereka yang bergelar pelajar bahasa Arab yang berhajat untuk “memahami bahasa al-Quran”. Saya harap perkongsian ini membantu seseorang untuk menggapai cita-cita tersebut. Berikut adalah rujukan yang boleh saya cadangkan :

A) Terjemahan al-Quran

Ya. Ini pun penting kerana terjemahan adalah salah satu manifestasi kefahaman penterjemah terhadap sesuatu ayat. Daripada ini, kita akan dapat melihat bagaimana penterjemah kongsikan idea tentang kefahaman ayat itu dan persembahkan kepada pembaca bagaimana dia mengolahkan makna ayat itu. Adalah lebih baik seseorang itu hanya memiliki satu terjemahan sahaja, cuba dapatkan pelbagai penterjemahan yang berbeza seperti al-Quran terjemahan bahsa yang berbeza seperti bahasa Inggeris dan Indonesia atau penerbit yang berbeza dan penterjemah yang berbeza. Ini kerana lain penterjemah dan bahasa boleh menatijahkan beberapa penafsiran makna yang berbeza. Di sini kita boleh membandingkan penterjemahan dan mencari makna serta pengolahan yang lebih baik dalam mengungkapkan maksud al-Quran.

B) I'rab al-Quran secara khusus.

Maksudnya adalah kitab yang menyatakan i'rab 30 juzuk ayat secara lengkap. Kitab i'rab al-Quran membantu bagaimana ilmu tatabahasa diaplikasikan dan bagaimana ia mampu diekspresikan dan dijadikannya sebagai seni. Antara kitab I'rab al-Quran yang ringan ialah Mu'jam I'rab al-Fazh al-Quran al-Karim yang diteliti oleh Syeikh Muhammad Fahm kerana kitab ini memaparkan i'rab yang ringkas. Antara kitab I'rab al-Quran peringkat seterusnya ialah Al-I'rab al-Mufassol Li Kitab Allah al-Murattil kaya ‘Abdul Wahid Soleh dan I'rab al-Quran karya Ahmad 'Ubaid dan sahabatnya kerana ini memaparkan i'rab yang penuh tanpaa memasukkan perbahasan yang panjang padanya. Kemudian, kitab I'rab al-Quran peringkat lanjut ialah I'rab al-Quran wa Bayanuh karya Ahmad Darwish. Kitab ini bukan sahaja pengkhususan dalam i'rab semata-mata, ia juga membentangkan perselisihan pengi'raban sesuatu kalimah dan ayat serta faedah bahasa, tafsir dan balaghah.

Di sana ada lagi kitab i'rab yang lain, tetapi sebahagiannya hanya fokus pada bahagian yang penting, bahagian yang menjadi kemusykilan atau tidak fokus untuk i'rab secara khusus. Karya ini pun penting kerana ia mungkin sahaja akan memaparkan pengi'raban yang lebih terperinci dan menjelaskan perselisihan i'rab pada sesuatu ayat lebih banyak. Misalnya, Ma'ani al-Quran wa I'rabuh karya az-Zajjaj, I'rab al-Quran karya an-Nahhas, Musykil I'rab al-Quran karya Abu Muhammad Makki dan I'rab al-Quran karya al-Asbahani. Atau cuba-cubalah untuk intai seperti tafsir Bahr al-Muhith, tafsir az-Zamakhsyari, tafsir Ibn 'Athiyah dan tafsir al-Qurtubi kerana kadangkala mereka akan selitkan perbahasan i'rab pada sesuatu ayat, terutamanya apabila berlakunya perselisihan atau wujudnya kemusykilan.

image

c) Kitab yang mengumpulkan kosa kata al-Quran dan memaparkan ayat contoh padanya.

Karya ini penting dimiliki kerana ia akan mengumpulkan seluruh kosa kata yang terdapat al-Quran, kemudian kita boleh teliti bagaimana sesuatu perkataan itu diungkapkan berdasarkan kesesuaian konteks ayat itu dan melihat perbezaan makna bagi perkataan yang sama apabila bertembung dengan ayat atau konteks bicara yang berbeza. Karya yang ada di tangan saya ialah al-Mu'jam al-Mufahras li Alfaz al-Quran al-Karim karya Muhammad Fu-ad 'Abdul Baqi, terbitan dari Indonesia. Karya bahasa Arab ada, tetapi saya tidak ingat namanya. Kalau mahu cari di Google, cubalah masukkan kunci kata “Kutub Mufradat al-Quran” atau seumpama dengannya (tulis dalam bahasa Arab, bukan rumi).

d) Tafsir al-Quran yang memfokuskan penafsiran bahasa.

Tafsir ini akan membantu seseorang untuk melihat makna yang lebih sepadan, lebih serupa dan lebih sesuai dengan ungkapan yang dinyatakan dalam al-Quran. Antara kitab yang boleh saya cadangkan ialah at-Tafsir al-Wajiz karya Dr. Wahbah az-Zuhaili kerana banyak tafsirannya terhadap sesuatu ayat dengan memaparkan penggunaan makna yang sinonim, seerti, se-tesaurus dan sejiran dengannya. Di sana ada sahaja kitab tafsir lain, tetapi tidak memfokuskan penafsiran bahasa kerana adanya selitan perbahasan fiqh, falsafah, sejarah dan lain-lain topik secara terperinci, tetapi ia masih ada peri pentingnya. Kalau saya, maka saya lebih suka merujuk tafsir az-Zamakhsyari, tafsir Ibn 'Athiyyah dan tafsir al-Qurtubi sebelum merujuk yang lain.

https://www.facebook.com/photo.php?fbid=2295750037142243&set=a.2757481107635798&type=3&theater

No comments:

Post a Comment