Dalam situasi yang panik, kita rentap pelbagai barangan keperluan di kedai secara pukal dan berlebihan dari keperluan tanpa memikirkan orang yang lebih memerlukan dan berhajat kepadanya. Malah, dengan sebab panik tersebut, harga barang naik mendadak sehingga meskipun ada stok di pasaran, mereka tidak mampu membelinya.
Kemampuan yang kita ada menjadi sebab penghalang dan beban yang menyusahkan orang yang berhajat sama ada sedar atau tidak. Kita berasak-asak mencedok dan mengisi seberapa banyak tong air untuk simpanan kita dari perigi yang kita tahu ia lebih dari yang memadai tanpa memikirkan yang berbaris di belakang berada di situasi yang lebih terdesak. Akhirnya, tiba giliran mereka untuk mengambil air, perigi sudah kering licin dan yang tinggal hanyalah lumut yang melekat di dinding perigi. Atau mungkin sampah sarap dan bangkai haiwan yang menghuni di sana.
Harap kita semua tidak termasuk golongan yang menzalimi hak orang lain akibat kerakusan kita. Belilah keperluan yang cukup mengisi perut, bukan mengenyangkan perut. Keperluan pun yang memadai dua minggu, bukan dua bulan. Puasa yang mendidik kita menahan lapar dan dahaga, adakah hanya tinggal upacara tahunan? Sama-sama kita beringat.
=========================
Kita berlebihan mengejek orang yang berlagak tawakkal maqam tinggi dan acah-acah lebih takut kepada Allah berbanding Covid-19 yang perli fatwa penutupan sementara masjid dan pembatalan program keagamaan. Kita meluat dengan ego serta permainan sentimen dan emosi mereka yang mengabaikan pertimbangan fiqh.
Tapi, entah lah. Yang kita ejek dan bertekak tidak tentu pasal telah menjadi palitan yang melumur jiwa kita sendiri. Kita mahu bebas dari kejahatan pemikiran mereka, akhirnya kita masuk kepada kejahatan dalam jiwa diri kita sendiri.
Kita pun sudah hilang tawakkal dan sangat panik sehingga lupa pergantungan kepada-Nya. Apa yang menjadi bahan untuk kita kutuk mereka, menjadi ujian untuk kita. Akhirnya, benar-benar Covid-19 jadi lebih kita takut berbanding Allah Ta'ala. Panik tidak ke sudah sampai beli itu ini buat simpnan yang menggunung di rumah seolah-olah krisis yang meranapkan komuniti kita terus berpanjangan. Lupa bahawa Allah Ta'ala menjamin rezeki dan sebaik-baik tempat pergantungan bagi mereka yang benar-benar berpaut dengan tali-Nya.
Yang beri kuliah ini pun barangkali beribu-ribu kali lebih teruk lagi daripada individu yang penulis pernah kutuk atau para pembaca sekalian. Allah lebih tahu. Kita semua sama-sama beringat dan saling mengingatkan.
Apapun, marilah kita hayati firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala :
الَّذِينَ قَالَ لَهُمُ النَّاسُ إِنَّ النَّاسَ قَدْ جَمَعُوا لَكُمْ فَاخْشَوْهُمْ فَزَادَهُمْ إِيمَانًا وَقَالُوا حَسْبُنَا اللَّـهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ
Iaitu, orang yang apabila orang ramai berkata: "Segerombolan orang telah pun mengepung kalian!!! Takutlah kalian kepada mereka!!", lalu itu menambahkan iman mereka dan mereka berkata: "Allah sudah cukup buat kami dan Dia sebaik-baik Pengelola". (Surah Ali 'Imran ayat 173).
Bilamana orang sekeliling sudah panik, pakat sebar desas-desus dan berita yang membuatkan orang ramai bimbang, risau, hiruk-pikuk dan tidak keruan; macam-macam malapetaka yang akan menimpa kita semua nanti, semua sergahan dan kekcohan itu menjadikan iman mereka bertambah. Mereka berkata: "Cukuplah Allah untuk kami. Dialah sebaik-baik penolong untuk orang yang berhajat. Sudah-sudahlah dengan risau memanjang yang tidak kesudahan. Kita serahkan semua kepada Allah. Kita jalani kehidupan harian sewajarnya dan terus istiqamah dengan ibadah kepada-Nya".
Semoga kita semua mengecapi iman di tahap yang tertinggi sehingga akhir nafas kita.
No comments:
Post a Comment