Tuesday, 11 September 2012

Wahdatul Wujud : Antara Kebenaran Dan Kesesatan


Pengenalan:

            Perkataan "Wahdatul-Wujud" ini sering diperbincangkan oleh ramai para cendikiawan Islam. Ianya sering dikaitkan dengan golongan sufi dan tasawwuf malah golongan tawassuf turut disesatkan oleh sebahagian orang dengan masalah "Wahdatul-wujud" ini.

            Ada golongan yang menyesatkan kaum sufi secara keseluruhan kerana Wahdatul-wujud ini dan ada juga yang tersesat dengan kefahaman yang salah terhadap Wahdatul-wujud ini juga. Namun, di antara kedua-dua golongan tersebut, golongan yang benar adalah golongan yang menghayati Wahdatul-wujud dengan makna yang sebenarnya.

            Adapun orang yang jahil tentang maksud kaum sufi yang benar dan para wali yang arif tentang wahdatul-wujud, bersikap menolak wahdatul-wujud secara mutlak, dengan memukul sama rata, antara kefahaman yang benar tentang wahdatul-wujud yang dimaksudkan oleh para sufi yang benar dengan kefahaman yang salah tentang wahdatul-wujud yang diketengahkan oleh orang-orang yang sesat, namun masih menggunakan nama  sufi dan tasawwuf, padahal kaum sufi yang benar dan ahli tasawwuf yang sejati, berlepas tangan daripada mereka.

            Penulis -dengan bantuan Allah s.w.t.- rasa terpanggil untuk menulis tentang hal ini, kerana penulis terbaca sebuah buku yang dikarang oleh seorang penulis bernama (Dr.) Abdulfatah Haron Ibrahim, berjudul "Sanggahan Ke Atas Kitab Kasyf Al-Asrar" yang diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada tahun 2000 (walaupun penulis baru mendapat buku ini) dan diedarkan secara percuma.

            Penulis (alfaqir) yang serba kekurangan ini, takkala meneliti buku ini, seraya mendapati bahawa, penulis buku sanggahan ini, telah salah faham tentang banyak perkara yang cuba dimaksudkan oleh penulis asal buku Kasyf Al-Asrar itu sendiri. Penulis pun agak hairan dengan JAKIM sendiri, kerana sanggup menerbitkan buku tersebut, sedangkan penulis buku itu sendiri tidak faham isi buku kasyf Al-Asrar dengan makna yang sebenar. Adakah para panel penyelidikan JAKIM tidak dapat mengesan kecelaruan dan salah faham penulis buku ini dalam memahami buku kasyf Al-Asrar ini, atau mereka sendiri tidak memahami apa yang mereka sanggahi?

            Penulis (alfaqir) bukanlah ingin membela keseluruhan isi buku ini tetapi setakat yang penulis baca buku kasyf Al-Asrar tersebut, seperti yang dinukilkan sendiri dalam buku Sanggahan tersebut, penulis (alfaqir) dapati, jika seseorang memahami buku kasyf Al-Asrar tersebut dengan maknanya yang sebenar, lalu mengukur isi-isi utama dalam buku tersebut dengan neraca Al-Qur'an dan As-Sunnah, nescaya dia tidak akan dapati sebarang percanggahan yang melibatkan masalah aqidah.

            Cuma, apabila seseorang memahami buku kasyf Al-Asrar dengan kefahaman penyanggah buku tersebut, pasti mereka akan memahami buku tersebut sebagai sesat, tetapi bukan kerana buku itu sesat, cuma kerana memahami makna buku kasyf Al-Asrar dengan makna sesat mengikut kaca mata penyanggah buku itu. Sedangkan, jika seseorang baca satu persatu isi-isi buku kasyf Al-Asrar  itu dengan adil, dan mengukurnya dengan neraca Al-Qur'an dan As-Sunnah, tanpa taqlid, maka pasti dia dapati hampir tiada yang bercanggah dengan Al-Qur'an dan As-Sunnah.

            Penulis yang serba jahil ini dapati sendiri, setelah mengukur isi-isi kandungan dalam buku kasyf Al-Asrar seperti yang dilampirkan dalam buku Sanggahan tersebut, dengan neraca wahyu samawi, penulis dapati, kebanyakkan isi-isi tersebut ada sandarannya yang jelas daripada Al-Qur'an dan As-Sunnah itu sendiri. Penulis katakan: "kebanyakkan isi-isi buku tersebut ada sandarannya", bukan kerana menolak sebahagian lain isi kandungan buku tersebut, tetapi setakat dengan kejahilan penulis ini, penulis tidak mendapati sandaran yang jelas, mengenainya, dan tetap yakin, ada sandarannya yang jelas cuma belum penulis jumpai.

Namun, kesemua isi kandungan buku ini secara umumnya tidak bercanggah langsung dengan aqidah Islam yang murni. Cuma ada daripada isi-isinya yang tidak dijumpai sandarannya yang kukuh dalam ilmu-ilmu rusum (seperti dalam buku-buku himpunan hadith dan sebagainya), namun tidak pun membawa kepada bercanggah dengan aqidah Islam.

            Antara sanggahan-sanggahan yang disanggah oleh penyanggah ke atas buku kasyf Al-Asrar adalah seperti fahaman Wahdatul-wujud, nur muhammad, ilmu tasawwuf, kesyirikan menurut ahli tasawwuf, mencela dunia, dan sebagainya. Namun, semua sanggahan tersebut ada jawapannya untuk menyanggah kembali sanggahan tersebut (namun bukan di sini kesempatan untuk menyanggahnya).

            Berkenaan dengan kefardhuan ilmu tasawwuf ini sendiri, ramai ulama' besar yang berkata tentangnya termasuklah Imam Malik itu sendiri (sila rujuk jawapan siri pengenalan tasawwuf). Begitu juga dengan masalah mencela dunia, masalah beribadah bukan kerana syurga dan sebagainya, bukanlah suatu yang perlu disanggah kerana terlalu banyak sandarannya daripada nas-nas Islami. Bahkan, ianya tiada kaitan dengan masalah aqidah itu sendiri.

            Namun, fokus paling utama dalam perbahasan di sini hanyalah berkenaan dengan kefahaman sebenar tentang Wahdatul-wujud, agar orang-orang awam tidak terkeliru dengan dakwaan kononnya golongan sufi sesat atas dasar Wahdatul-wujud ini.

            Penulis hairan dengan JAKIM sendiri kerana sanggup menerbitkan buku ini yang mana, perbahasannya terlalu rapuh dan mengandungi banyak kecelaruan serta salah faham. Bagaimana mungkin seseorang mampu membetulkan "salah faham" dengan salah faham juga? Ia tidak pernah memberi sebarang penyelesaian sama sekali.

            Persoalan-persoalan seperti NUR MUHAMMAD itu sendiri bukanlah suatu persoalan yang berkaitan dengan aqidah. Bahkan, konsep NUR MUHAMMAD ini dipegang oleh ramai ulama' besar yang menjadi sumber rujukan dunia sehingga hari ini, dengan maknanya (makna NUR MUHAMMAD) yang sebenar.

            Antara para ulama' yang membincangkan tentang masalah NUR MUHAMMAD ini sendiri adalah seperti Imam Al-Hafiz As-Suyuti yang menjadi antara rujukan utama dalam bidang hadith, Imam Izzuddin Abdul Salam (Sultan Ulama') dan ramai lagi. Begitu juga dengan ulama'-ulama' masa kini khususnya ulama'-ulama' besar di Al-Azhar, Mesir sendiri. Antara mereka adalah seperti Sheikh Muhamad Zaki Ibrahim, Sheikh Dr. Umar Abu Hasyim (bekas raktor Azhar), Sheikh Dr. Ali Jum'ah (mufti Mesir) dan sebagainya.

            Tidak adakah seorang pun daripada ustaz-ustaz di penyelidikan JAKIM yang pernah belajar di Al-Azhar atau belajar daripada Dr. Ali Jum'ah, atau Dr. Umar Abu Hasyim, dan bertanyakan kepada mereka tentang makna yang sebenar mengenai Nur Muhammad itu sendiri, sehingga sanggup membiarkan buku sanggahan ini diterbitkan, sedangkan penulis buku ini sendiri tidak faham maksud sebenar daripada perkataan Nur Muhammad itu sendiri (bahkan maksud-maksud perkataan lain yang dibahaskan dalam buku tersebut)?

            Kalaulah masalah Nur Muhammad itu suatu kesesatan, bagaimana JAKIM sendiri boleh menjemput Dr. Ali Jum'ah (mufti Mesir) ke Malaysia sebagai tetamu dalam membincangkan tentang Islam, sedangkan beliau sendiri menyokong masalah Nur Muhammad ini? Bagaimana JAKIM mengiktiraf Universiti Al-Azhar itu sendiri sedangkan ramai ulama' mereka menyokong masalah Nur Muhammad ini termasuklah bekas Raktor Al-Azhar sendiri, sehingga menulis satu risalah mengenainya, seperti yang diterbitkan oleh Jabatan Mufti Negeri Sembilan?

            Siapakah yang perlu disanggah atau yang pelu diperbetulkan sebenarnya?

            Penulis bukanlah seorang yang berilmu, tetapi penulis pernah belajar dengan mereka yang mendalami dalam perkara-perkara seperti ini. Jadi, ini merupakan amanah ilmu untuk membetulkan salah faham tentang perkara yang ingin dibincangkan di sini (iaitu tentang wahdatul-wujud).

Berhati-hatilah Dalam Menghukum

            Penulis meyeru agar pihak-pihak yang diberi tanggungjawab untuk memberi kefahaman yang benar tentang Islam kepada masyarakat, supaya berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan apatah lagi menerbitkan buku-buku rujukan agama, kerana ia sebenarnya merupakan amanah dari Allah s.w.t.. Ilmu itu amanah. Allah s.w.t. akan bertanya tentangnya. Kalau tidak faham atau tidak teliti dengan mendalam tentang sesuatu masalah, maka bertanyalah kepada mereka yang ahli sebelum menghukum.

            Allah s.w.t. berfirman:

Dan janganlah kamu mengikuti (membahaskan) apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggung jawab ke atasnya. (Surah Al-Isra': 36)

Imam Al-Baidhowi r.a. ketika mentafsirkan ayat ini berkata:

            "Jangan kamu cuba mengikuti (iaitu membahaskan, apatah lagi menyalahkan) sesuatu yang kamu tidak memiliki ilmu tentangnya, semata-mata kerana taqlid kepada seseorang atau mengikut prasangka kamu sendiri tanpa usul periksa"

            Wahai para pengkaji ilmu Islam, inilah saranan Allah s.w.t. terhadap orang yang tidak mengetahui tentang sesuatu perkara, dengan kefahamannya yang sebenar, agar menjauhi daripada sikap terlalu ghairah dalam menyalahkan dan mengkritik, khususnya dalam masalah yang dia sendiri tidak memahaminya.

            Malang bagi seseorang yang kononnya memperjuangkan kebenaran, dan menolak kebatilan, dalam masa yang sama menolak kebenaran kerana menyangka ianya suatu kebatilan. Hati-hatilah wahai pengkaji ilmu. Allah s.w.t. tidak mempersoalkan kamu jika kamu baik sangka terhadap sesama muslim, tapi Dia mempersoalkan kamu terhadap buruk sangka kamu terhadap sesama muslim.

            Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

            "Janganlah kamu berprasangka (buruk). Sesungguhnya prasangka itu seburuk-buruk perkataan…" (Hadith riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

            Bagaimana seseorang sanggup melemparkan tohmahan dan menuduh sesat para sufi dengan perkara-perkara atau istilah-istilah yang mereka sendiri tidak memahaminya menurut kefahaman para sufi itu sendiri? Maka, tohmahan dan tuduhan tersebut hanyalah berdasarkan buruk sangka mereka terhadap para sufi yang benar itu sendiri.

            Penulis bukan bertujuan mengkritik mana-mana pihak, tetapi sekadar prihatin dengan masyarakat awam Islam itu sendiri, malah lebih penting lagi, ianya melibatkan masalah amanah ilmu itu sendiri.

Fenomena Mengkritik Kaum Sufi yang Benar: Natijah Kejahilan Seseorang Tentang Mereka (Kaum Sufi)

            Orang-orang yang mengkritik para sufi secara umum, samada dari kalangan awam mahupun dari kalangan ulama', sebenarnya tidak mengkritik mereka melainkan hanya kerana kejahilan mereka terhadap maksud-maksud yang cuba disampaikan oleh para sufi yang benar tersebut. Mereka menuduh kaum sufi dengan pelbagai tuduhan kerana mereka tidak pernah berinteraksi dengan para sufi dan meminta penjelasan daripada para sufi, terhadap perkataan mereka (para sufi tersebut).

            Namun, terlalu ramai dalam kalangan ulama' yang mana, pada awalnya mengkritik para sufi, namun setelah bersahabat dengan para sufi yang benar, maka mereka kembali mengakui kebenaran yang disampaikan oleh golongan sufi.

            Imam Ahmad bin Hanbal r.a., sebelum bersahabat dengan golongan sufi, melarang anaknya dari bersahabat mereka. Namun, setelah beliau bersahabat dengan Abu Hamzah Al-Baghdadi r.a., seorang sufi, dan mengenali mereka, beliau berkata kepada anaknya: “Wahai anakku. Hendaklah kamu duduk bersama-sama dengan kaum tersebut (sufi). Sesungguhnya ilmu mereka, muroqobah mereka, ketakutan mereka kepada Allah s.w.t., zuhud mereka dan semangat mereka, lebih banyak dari kita.” (Tanwir Al-Qulub M/S: 405).

            Begitu juga dengan Sultanul-Ulama' Imam Izzuddin bin Abdul Salam r.a., sebelum bertemu dengan Sheikh Abil Hasan As-Syazuli r.a., beliau antara orang yang lantang mengkritik kaum sufi dengan berkata:

            "Adakah jalan lain selain daripada Al-Qur'an dan As-Sunnah?"

            Namun, setelah peristiwa yang berlaku di Mansurah, Mesir, di mana Sheikh Izzuddin bin Abdul Salam r.a., Sheikh Makinuddin Al-Asmar r.a. dan Sheikh Taqiyuddin ibn Daqiq Al-'Id r.a. bertemu dengan Sheikh Abul Hasan As-Syazuli r.a., maka mereka (termasuklah Imam Izzuddin bin Abdul Salam) mengakui kebenaran kaum sufi. Peristiwa ini diceritakan sendiri oleh Sheikh Makinuddin Al-Asmar yang kemudiannya menjadi pendokong manhaj tarbiah Imam As-Syazuli r.a..

            Kisahnya, di mana sewaktu mereka berhimpun di Mansurah, lalu mereka membaca buku Ar-Risalah Al-Qusyairiyah. Setiap daripada mereka mensyarahkan buku tersebut dalam majlis tersebut. Lalu, tiba-tiba, Imam Abul Hasan As-Syazuli r.a. melalui khemah mereka, lalu mereka memanggil Imam Abul Hasan As-Syazuli r.a. agar mensyarahkan kitab tersebut kepada mereka.

            Imam Abul Hasan As-Syazuli r.a. lalu berkata:

            "Kamu semua adalah pembesar-pembesar dari kalangan ulama'. Kamu semua adalah penghulu-penghulu ilmu zaman ini. Bukankah kamu semua sudah mensyarahkannya? Maka, apakah lagi yang layak untuk orang seperti saya ini mensyarahkannya kepada kamu semua setelah syarah kamu semua?"

            Namun, mereka memujuk Imam As-Syazuli r.a. untuk mensyarahkannya, lalu Imam As-Syazuli r.a. mensyarahkannya dengan syarah sufi yang mendalam. Akhirnya, Imam Izzuddin Abdus Salam berlari keluar khemah lalu menyeru:

            "Wahai sekalian manusia. Marilah bersama-sama kami. Marilah mendengar ulasan-ulasan yang memberi penawar bagi hati." (rujuk Muqoddimah buku Anwar An-Nabi  m/s 47 oleh Sheikh Ahmad Farid Al-Mazidi)

            Begitu juga hal yang berlaku dengan Imam Ibn 'Atho'illah As-Sakandari r.a., yang merupakan ulama' Al-Azhar di zaman beliau, yang pada awalnya menolak kaum sufi. Namun, setelah bertemu dengan Sheikh Abul Abas Al-Mursi r.a. (anak murid Imam Abul Hasan As-Syazuli r.a.), beliau akhirnya menjadi orang yang paling banyak berkhidmat dalam menyebarkan ilmu kaum sufi yang benar. (rujuk buku Lato'if Al-Minan oleh Imam As-Sakandari r.a.)

            Imam As-Sya'rani juga mengingkari kaum sufi secara umum, sebelum bertemu dengan Sheikh Ali Al-Khawwas r.a.. Setelah berguru dengan Sheikh Al-Khawwas r.a., Imam As-Sya'rani r.a. juga menjadi orang yang banyak berkhidmat dalam menyebarkan dan mempertahankan kaum sufi yang benar.

            Ramai para ulama' melalui hal sedemikian, yang mana pada awalnya mengingkari para sufi secara umum, akhirnya memperjuangkan kaum sufi yang benar, kerana bertemu dengan kebenaran yang disampaikan oleh kaum sufi yang benar tersebut.

            Oleh yang demikian, jika seseorang tidak memahami istilah-istilah yang digunakan oleh para sufi yang benar, maka janganlah cepat melatah dan terlalu ghairah menyalahkan dan menghukum sesat sesuatu perkara. Ini kerana, ianya boleh membawa kepada buruk sangka.

            Sekurang-kurangnya, kembalilah kepada kaedah yang dijelaskan oleh Imam An-Nawawi r.a. dalam berhadapan dengan perkara-perkara yang melibatkan kaum sufi dan para wali Allah s.w.t.. Imam An-Nawawi r.a. berkata tentang masalah yang sering dipersalahkan oleh sesetengah pihak terhadap para sufi:

            "Jika kamu berhadapan dengan perkataan-perkataan mereka (yang kesamaran maknanya), maka ta'wilkanlah ia dengan tujuh puluh ta'wilan (untuk baik sangka kepada mereka)" (Syarh Al-Muhazzab)

            Imam Al-Mujtahid Tajuddin As-Subki r.a. berkata dalam buku Ma'id An-Ni'am:

            "Ada dari kalangan fuqoha' yang walaupun bersikap menjaga zahir syariat, mengamalkan perintah dan meninggalkan laranganNya, namun malangnya, mereka bersikap memperkecilkan fuqoro' (kaum sufi) dan ahli tasawwuf dengan menafikan kebaikan pada mereka. Mereka mencela mereka (kaum sufi) kerana mendengar banyak perkara yang disebutkan tentang mereka (kaum sufi), padahal khabar dari pendengaran berbeza dalam kalangan manusia. Orang yang memperkecilkan mereka sebenarnya tidak mengetahui tentang mereka. Wajib bagi kita untuk menyerahkan keadaan mereka kepada mereka sendiri. Kita tidak boleh menyalahkan mereka semata-mata dengan zahir perkataan mereka. Jika boleh mentakwil perkataan mereka, maka lakukanlah. Takwilkanlah dengan takwilan yang baik, terutamanya perkataan mereka yang diakui kepercayaan mereka…Sesungguhnya, saya (Imam As-Subki r.a.) tidak menjumpai seorang faqih pun yang mengingkari kaum sufi dan mencela mereka, melainkan Allah s.w.t. membinasakannya…Merekalah ahli Allah s.w.t…"

            Inilah perkataan Imam As-Subki r.a., (seperti yang dinaqalkan oleh Imam As-Suyuti dalam ta'yiiad al-haqiqah al-aliyah) seorang ulama' fiqh mazhab As-Syafi'e, yang mana beliau bukanlah dari kalangan ahli sufi, tetapi tetap mengakui kebenaran dan kemuliaan kaum sufi, kerana adil dalam menilai kaum sufi secara menyeluruh.

Kefahaman Yang Benar Tentang Wahdatul-Wujud Menurut Kaum Sufi

Di sini, penulis cuba menyentuh secara khusus berkenaan dengan masalah Wahdatul-wujud ini, secara adil dengan merujuk buku-buku ulama' yang mendalam ilmu mereka, dalam membetulkan salah faham tentang masalah ini.

            Perbahasan berkenaan "Wahdatul-wujud" ini ada dua golongan yang memahaminya secara berbeza iaitu:

Pertama: Kefahaman yang Salah Tentang Wahdatul-Wujud:

            Golongan yang memahami "Wahdatul-wujud" dengan bermaksud: Allah dan makhluk adalah satu. Iaitu, makhluk bersatu dengan Allah. Mereka memahami Wahdatul-wujud sebagai fahaman hulul (Allah bergabung dalam makhluk) dan ittihad (Allah dan makhluk adalah satu pada zat).

            Hasil daripada kefahaman yang salah berkenaan Wahdatul wujud ini, melahirkan dua golongan:

            Golongan yang menolak Wahdatul-wujud ini lalu menghukum sesat orang-orang yang berpegang dengan Wahdatul-wujud ini. Golongan ini benar dari satu sudut, tetapi salah dari satu sudut yang lain. Mereka benar dari satu sudut kerana menolak Wahdatul-wujud dengan makna hulul dan ittihad ini kerana hulul dan ittihad adalah kesesatan yang nyata.

            Namun, mereka salah dari sudut menyesatkan seluruh golongan yang berpegang dengan Wahdatul-wujud ini kerana majoriti para sufi dan ahli tasawwuf yang benar, yang bercakap tentang Wahdatul-wujud ini, tidak memahami Wahdatul-wujud ini dengan fahaman yang salah, iaitu dengan maksud hulul dan ittihad.

            Kedua: golongan yang berpegang dengan Wahdatul-wujud yang bermakna hulul dan ittihad ini, lalu mereka ini memperjuangkan ketuhanan diri mereka sendiri dengan mengaku tuhan dan sebagainya. Mereka adalah golongan yang sesat lagi menyesatkan. Mereka lebih mendakwa diri mereka sebagai golongan hakikat. Namun, golongan sufi dan ahli tasawwuf yang benar, yang bersuluhkan Al-Qur'an dan As-Sunnah, berlepas tangan daripada golongan ini.

Kedua: Kefahaman yang Benar Tentang Wahdatul-Wujud

            Iaitu: Seluruh makhluk yang wujud, pada asalnya tidak wujud (adam). Mereka (seluruh makhluk tersebut) akhirnya wujud apabila Allah s.w.t. mewujudkan mereka. Maka, seluruh makhluk pada hakikatnya wujud dengan sebab kewujudan Allah s.w.t., kerana kalau tanpa kewujudan Allah s.w.t., tanpa izin dan bantuan Allah s.w.t., nascaya tiada makhluk pun yang wujud ataupun meneruskan kewujudannya.

            Inilah maksud sebenar Wahdatul-wujud yang dihayati oleh orang-orang arif dari kalangan para sufi. Mereka menghayati dan merasai, kewujudan mereka, bahkan seluruh kewujudan makhluk Allah s.w.t., adalah daripada Allah s.w.t., yang telah menciptakan mereka daripada tiada. Jadi, mereka tidak merasakan wujud mereka tersendiri (mustaqil), tetapi kewujudan mereka denganNya (dengan bantuan dan izinNya).

            Dengan kefahaman ini, tiada seorang pun yang beraqidah yang murni, mampu menafikannya. Kalau ada orang yang menafikan Wahdatul-wujud dengan makna ini, maka dialah pada hakikatnya seorang yang sesat, kerana tiada yang wujud secara mustaqil (tersendiri), kecuali Allah s.w.t. kerana hanya Allah s.w.t. sahaja yang bersifat dengan qiyamuhu binafsihi (berdiri dengan diriNya sendiri) sedangkan seluruh makhluk berdiri dengan Allah s.w.t. (dengan bantuan dan izin Allah s.w.t.).

            Orang-orang yang mengingkari bahkan menyesatkan golongan arif billah (seperti Sheikh Ibn 'Arabi, Sheikh Al-Jili dan sebagainya) dan para sufi yang mengetengahkan Wahdatul-wujud ini, hanya mengingkari mereka kerana jahil dengan maksud Wahdatul-wujud di sisi para sufi itu sendiri, lalu salah faham dengan memahami Wahdatul-wujud sebagai hulul dan ittihad. Maka, mereka sebenarnya mengingkari khalayan mereka sendiri tentang kaum sufi itu sendiri, padahal kaum sufi yang benar berlepas tangan daripada pengingkaran mereka dan khayalan orang-orang yang mengingkari itu sendiri.

            Hakikatnya, Wahdatul-wujud ialah, apabila seseorang sudah menghayati rasa kewujudan dirinya dan seluruh perbuatan dirinya serta yang berlaku dalam alam ini adalah daripada Allah s.w.t.. Maka, seluruh pergerakan makhluk, termasuklah perbuatan manusia, sebenarnya dengan Allah s.w.t., iaitu, dengan kewujudan, kekuasaan, bantuan dan izin Allah s.w.t.. Kalau ini bukan aqidah Islam, bagaimana pula aqidah Islam itu? Adakah setiap makhluk ada kuasa dirinya sendiri yang mutlak? Tidak sama sekali!

            Maka, siapakah yang sesat wahai orang-orang yang menuduh sesat? Atau anda tidak faham apa yang anda sesatkan itu sendiri? Na'uzubillah!

            Wahdatul-wujud ialah suatu peringkat penyaksian dengan mata hati, dalam diri seseorang, yang merasakan diri mereka dan seluruh alam ini sebenarnya ditadbir oleh Allah s.w.t.. Manusia terutamanya diri mereka sendiri, bergerak dan beramal dengan izin daripada Allah s.w.t., yang memberikan mereka kuasa untuk memilih, tetapi bukan dengan kuasa mutlak, cuma dengan kuasa majazi, yang pada hakikatnya daripada keizinan Allah s.w.t.. Kalau tanpa izin Allah s.w.t., bagaimana manusia itu sendiri mampu memilih dan berkehendak? Maka, kehendak dalam diri manusia juga dari kehendak Allah s.w.t. dan dengan izin Allah s.w.t..

            Apa yang salah dengan penyaksian ini? Inilah tauhid, demi Allah, Tuhan yang menurunkan Al-Qur'an sebagai bukti yang nyata.

            Seseorang yang lalai dengan dunia, dan dengan nafsu diri mereka sendiri, pasti tidak merasai perkara ini, kerana merasakan dirinya sendirilah yang berkuasa dan berkehendak secara mutlak, dalam kehidupannya. Ini natijah kelalain mereka dengan diri mereka sendiri dan natijah hijab mereka daripada Allah s.w.t. takkala sibuk dengan mengikut hawa nafsu dan dunia. Namun, dari sudut akal sendiri, Wahdatul-wujud suatu perkara yang berpandukan asas aqidah Islam yang kukuh.

Wahdatul-Wujud : Proses Penghayatan Tauhid-Afal

            Jika kita singgap buku-buku ahlus sunnah wal jamaah, sudah pasti kita akan dapati, mereka berbincang tentang sifat-sifat yang wajib bagi Allah s.w.t., sifat-sifat yang mustahil bagi Allah s.w.t. dan yang harus bagi Allah s.w.t.. Dalam perbahasan mereka, seseorang pasti mendapati perbahasan tentang tauhid af'aal, iaitu setiap perbuatan yang berlaku, dalam makhluk itu, hakikatnya kembali kepada Allah s.w.t..

            Seluruh alam ini bergerak di bawah kekuasaan Allah s.w.t. Bahkan, seluruh makhluk wujud dengan penciptaan Allah s.w.t.. Semua makhluk meneruskan kewujudan mereka dengan penjagaan Allah s.w.t. melalui nikmat imdaad (bantuan Allah s.w.t.). Inilah hakikat yang tidak dapat dinafikan oleh setiap orang Islam. Maka, seluruh makhluk adalah daripada perbuatan Allah s.w.t. yang mana perbuatan tersebut daripada sifat qudrah Allah s.w.t.. Ia (penciptaan dan penjagaan Allah s.w.t.) dikenali dengan sifat af'al Allah s.w.t. (sifat perbuatan-perbuatan Allah s.w.t.).

            Tiada yang bergerak di dalam kerajaan Allah s.w.t., tanpa kehendak daripadaNya. Inilah hakikat sifat iradah dan qudrah Allah s.w.t.. Dari sinilah timbulnya tauhid af'al, di mana segala yang berlaku dalam alam ini daripada kehendak Allah s.w.t. dan dengan kekuasaanNya.

            Wahdatul-wujud pula ialah, suatu penyaksian dalam lubuk hati terdalam manusia (sirr) terhadap tauhid af'al ini pada permulaannya (seterusnya kepada tauhid sifat dan tauhid zat), dan penghayatan kepada makna tersebut dalam seluruh kehidupannya. Hal ini hanya dapat dicapai oleh orang-orang yang sudah meleburkan hawa nafsunya yang sentiasa mengajak kepada kejahatan, sehingga nafsu itu tenang dalam ketaatan kepadaNya, dan tenang dengan merasai kebersamaanNya dalam ketaatan tersebut (mutma'innah).

            Adapun secara teori, seseorang yang lalai daripada Allah s.w.t. pun boleh menghafal sifat dua puluh yang wajib bagi Allah s.w.t. tersebut seperti qudrah (kekuasaan), iradah (kehendak) dan sifat-sifat lain bagi Allah s.w.t., namun tidak mampu merasainya dalam bentuk penghayatan dalam segenap kehidupannya. Oleh kerana itulah, kita dapati, betapa ramai dari kalangan orang-orang Islam itu sendiri, yang menghafal sifat-sifat bagi Allah s.w.t., lalu mengetahui bahawasanya Allah s.w.t. itu wujud, Maha Berkuasa dan sebagainya, namun masih sanggup menderhakaiNya? Bagaimanakah seseorang yang mengetahui Allah s.w.t. itu wujud dan Maha Berkuasa, dalam masa yang sama sanggup menderhakai Allah s.w.t.? Bagaimana seseorang masih sanggup menderhakai Allah s.w.t. sedangkan dia tauhu bahawa seluruh kehidupan dan tenaganya daripada Allah s.w.t.? Bagaimana seseorang sanggup mengunakan tenaga dan keupayaannya untuk menderhakai Allah s.w.t. sedangkan dia tahu bahawa semua tenaganya, nyawanya dan segalanya adalah daripada Allah s.w.t.?

            Hal ini kembali kepada penghayatan seseorang itu sendiri, terhadap sifat-sifat Allah s.w.t. itu sendiri. Hal ini (ketaatan mutlak kepadaNya) tidak akan berlaku dengan cara menghafal sifat-sifat Allah s.w.t. semata-mata, tetapi perlu kepada proses melawan hawa nafsu juga (mujahadah An-Nafs).

            Proses menuju penghayatan terhadap kewujudan Allah s.w.t. dalam kehidupan seseorang manusia, dimulai dengan proses mujahadah an-nafs (melawan hawa nafsu) dengan melakukan ketaatan kepadaNya dan meninggalkan maksiat terhadapNya, seterusnya diiringi dengan proses zikir yang berpanjangan sehingga nama-nama Allah s.w.t. tersebut diterjemahkan ke dalam bentuk penghayatan dalam hati hamba tersebut.

            Proses mengukir nama Allah s.w.t. dalam hati seseorang melalui zikir yang diambil secara talqin daripada seseorang mursyid yang kamil, yang bersambung sanad zikir tersebut sehingga kepada Rasulullah s.a.w., merupakan suatu proses perjalanan kerohanian ke arah menghayati kewujudan Allah s.w.t. di sebalik kehidupan hamba tersebut.

            Dengan zikir hati yang berpanjangan-dengan izin Allah s.w.t.-, seseorang akan lebur daripada merasai kewujudan dirinya sendiri. Hal ini dikenali sebagai fana' (lebur), iaitu penyaksian hatinya tenggelam dalam menyaksikan kewujudan Allah s.w.t. sehingga tidak menyedari lagi kewujudan dirinya sendiri. Ini suatu keadaan di mana seseorang sibuk dalam menyaksikan kewujudan Allah s.w.t. sehingga tidak menyedari lagi kewujudan dirinya. Dia tenggelam dalam musyahadah Allah s.w.t. dan tidak lagi diselaputi kekotoran selain daripada Allah s.w.t.. Hatinya sentiasa fokus kepada Allah s.w.t..

            Ada dari kalangan mereka yang fana' ini terus dikekalkan dalam keadaan fana' oleh Allah s.w.t. dan ada dari kalangan mereka yang dikembalikan kesedaran diri mereka sehingga dia menyedari semula kewujudan dirinya dalam masa yang sama menyaksikan kewujudan Allah s.w.t. yang Maha Esa dalam bentuk penghayatan yang berkekalan.

            Namun, mereka yang dikembalikan kesedaran diri dalam masa yang sama menyaksikan kewujudan Allah s.w.t. di sebalik kewujudan alam ini, lalu menghayati bahawa seluruh alam ini, termasuklah kewujudan dirinya sendiri, merupakan kewujudan dengan Allah s.w.t.. Iaitu, dia menghayati dan menyaksikan dengan mata hatinya, secara tahqiq, bahawa seluruh makhluk wujud dengan pentadbiran, kekuasaan dan izin Allah s.w.t.. Pada ketika ini, hamba tersebut baqo' (kekal) dengan keabadian Allah s.w.t. kerana sentiasa menyaksikan kewujudan Allah s.w.t. yang Maha Kekal dalam mata hatinya.

            Hatinya kekal dalam penyaksian kepada Allah s.w.t. dan jasadnya bersama dengan makhluk. Hatinya bersama dengan Allah s.w.t. dan menyaksikan ketuhanan Allah s.w.t., dalam masa yang sama, jasadnya dalam kehambaan kepadaNya, dengan melaksanakan seluruh syariatNya.

            Penyaksian terhadap hakikat bahawa segala makhluk wujud dengan bantuan Allah s.w.t. dan terus wujud dalam kekuasaanNya inilah, yang dikenali di sisi kaum sufi sebagai Wahdatul-wujud (kesatuan-wujud), bukan seperti prasangka orang-orang yang mengingkarinya. Hakikatnya, Wahdatul-wujud dalam erti kata sebenar adalah wihdatus-syuhud, iaitu menyaksikan hanya Allah s.w.t. sahaja yang wujud secara mustaqil (terasing) dan hakiki, adalpun selain daripadaNya, wujud dengan Allah s.w.t., bukan dengan diri mereka sendiri!

Dalil Wahdatul-Wujud Dalam Al-Qur'an:

            Firman Allah s.w.t.:

"Kepunyaan siapakah kerajaan pada hari ini?" kepunyaan Allah yang Maha Esa lagi Maha Mengalahkan. (Surah Ghafir/Mu'min: 16)

            Maksudnya, seluruh yang wujud di bawah kekuasaanNya. Segala yang wujud tidak akan wujud tanpa bantuan daripadaNya. Maka, wujud yang hakiki, yang berdiri dengan sendiri hanyalah Allah s.w.t.. Adapun selain daripada Allah s.w.t., pada hakikatnya tidak wujud ('adam). Mereka hanya wujud setelah Allah s.w.t. menciptakan mereka. Maka, kewujudan mereka sebenarnya dengan Allah s.w.t..

            Kesatuan penyaksian ini juga sepertimana dalam firman Allah s.w.t.:

Dan kepunyaan Allah-lah timur dan barat, Maka kemanapun kamu menghadap di situlah wajh (zat) Allah. Sesungguhnya Allah Maha luas (rahmat-Nya) lagi Maha Mengetahui. (Surah Al-Baqarah :115)

Dalil Wahdatul-Wujud dalam hadith:

            Rasulullah s.a.w. bersabda:

            "Sesungguhnya Allah s.w.t. itu wujud, dan tiada yang wujud bersamaNya. Allah s.w.t. itu wujud dalam keesaan, tanpa bersama dengan selainNya" (Hadith riwayat Al-Bukhari).

            Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:

            "Sebenar-benar perkataan yang pernah diucapkan oleh sya'ir Arab adalah perkataan Labid iaitu:

            Ketahuilah sesungguhnya semua benda selain daripada Allah ialah batil" (Hadith riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

            Maksudnya, setiap sesuatu selain daripada Allah s.w.t. pada hakikatnya tiada kewujudannya. Semua makhluk wujud dengan kekuasaan dan bantuan Allah s.w.t..

Penjelasan Ulama'-ulama' Sufi tentang Wahdatul-Wujud:

            Imam Abdul Ghani An-Nablusi r.a. (1143 H) berkata dalam buku beliau Idhoul Maqsud, min ma'na wihdatil-wujud:

            "Sesungguhnya, maksud Wahdatul-wujud bukanlah sesuatu yang bercanggah dengan perkataan para ulama' Islam, bahkan maksud sebenar Wahdatul-wujud yang sebenar, pada hakikatnya disepakati oleh seluruh orang-orang khawas dan awam. Ia juga sesuatu yang perlu dimaklumi oleh setiap muslim, dan tidak boleh diingkari oleh setiap orang yang beriman. Tiada dapat digambarkan bahawa, ada orang yang berakal sanggup mengingkari Wahdatul-wujud dengan makna ini.

            "Sesungguhnya, seluruh alam ini, walaupun berbeza jenis, sifat, bentuk dan rupanya, sebenarnya wujud daripada ketiadaannya ('adam) dengan kewujudan Allah s.w.t., bukan dengan diri mereka sendiri. Bahkan, seluruh makhluk yang wujud, terus terpelihara wujud mereka dengan kewujudan Allah s.w.t., bukan dengen diri mereka."

            Imam Mustofa Al-Bakri berkata dalam buku beliau Al-Maurid Al-Azb:

            "(Wahdatul-wujud ialah:) dengan wujud Allah s.w.t. itulah, seluruh yang wujud terus wujud. Dengan sentiasa menyaksikanNyalah, ahli syuhud terus meningkat. Bahawasanya Dialah yang mendirikan langit dan bumi, sedangkan seluruh makhluk berdiri denganNya (dengan kekuasaanNya) secara realitinya."

            Jelaslah bahawasanya, Wahdatul-wujud di sisi kaum sufi dan arif biLlah, merupakan suatu penghayatan dan penyaksian terhadap kewujudan Allah s.w.t. yang wajibul-wujud (wajib wujudNya), dan seluruh makhluk yang wuju, tidak wujud melainkan denganNya.

            Allah s.w.t.lah yang menciptakan segala makhluk daripada tiada, yang mana kewujudan makhluk yang mana mereka wujud dengan kewujudan tersebut, tidak datang daripada diri mereka sendiri, pada hakikatnya merupakan dari kewujudan Allah s.w.t. jua. Penyaksian hati terhadap hal sedemikianlah yang dikenlai dengan Wahdatul-wujud atau wahdatus-syuhud.

            Seluruh para sufi yang kamil memahami Wahdatul-wujud dengan makna wahdatus-syuhud ini, bukan dengan makna yang difahami oleh orang-orang yang sesat seperti hulul dan ittihad, lalu diingkari juga oleh orang-orang yang jahil dengan makna sebenar Wahdatul-wujud ini, ke atas seluruh kaum sufi.

            Sheikh Ahmad Farid Al-Mazidi dalam muqoddimah Anwar An-Nabi menegaskan:

            "Maknanya (makna wahdatul-wujud): Bahawasanya, wujud pada hakikatnya satu sahaja, iaitu bagi Allah s.w.t. semata-mata dan tiada yang bersekutu denganNya dalam hakikat wujud (qadim) tersebut. Maka, Dialah yang wujud secara mutlak (wajibul-wujud). Adapun kewujudan sekalian makhluk adalah kerana bersandarkan kepadaNya (kepada kekuasaanNya) dan kelangsungan kewujudan makhluk tersebut daripada pemeliharaanNya…Maka, kewujudan makhluk itu bersandarkan kepada kewujudan yang hanya milik Allah s.w.t., bukan kewujudan lain, kerana tiada yang wujud dengan dirinya (qiyamuhu binafsihi) melainkan Allah s.w.t… Sesungguhnya, wujud makhluk bukan daripada zat mereka sendiri, dan tidak dapat digambarkan bahawa seluruh makhluk berdiri dengan diri mereka sendiri…"

            Hujjatul Islam, Imam Al-Ghazali r.a. sendiri berbicara tentang maksud wahdatul-wujud ini walaupun tanpa menggunakan lafaz tersebut, takkala mensyarahkan perkataan Labid dalam hadith tadi dengan berkata (Al-Ihya' di bawah tajuk At-Tauhid):

            "Iaitu, setiap makhluk tiada berdiri dengan dirinya sendiri. Ia berdiri dengan selainnya (iaitu berdiri dengan kekuasaan Allah s.w.t.). Ia (makhluk) tersebut dari sudut dirinya sendiri adalah batil. Ini kerana, hakikatnya (hakikat makhluk) itu, dengan selainnya (iaitu dengan hakikat Allah s.w.t.),bukan dengan dirinya sendiri. Oleh yang demikian, tiada yang hak (benar) pada hakikatnya melainkan Allah s.w.t. yang Maha Hidup lagi Maha Mentadbir, yang tiada menyerupai sesuatu. Dialah yang berdiri dengan diriNya sendiri, sedangkan selain daripadaNya, berdiri dengan kekuasaanNya. Maka, Dialah Al-Haq dan selain daripadaNya adalah batil (pada hakikatnya)."

            Imam Al-Ghazali r.a. berkata lagi tentang penyaksian wahdatul-wujud dalam pandangan para sufi (Al-Ihya' tajuk As-Syauq):

            "Sesiapa yang kuat pandangan mata hatinya, maka keadaannya akan menjadi seimbang, di mana dia tidak lagi melihat selain daripada Allah s.w.t.. Dia tidak lagi mengenal selain daripada Allah s.w.t. (tidak fokus kepada yang lain-ini hal fana'). Maka, ketika itu dia mengetahui (bukan dengan pengetahuan akal semata-mata, tapi dengan penghayatan) bahawa tiada yang wujud kecuali Allah s.w.t.. (Dia mengetahui) perbuatan dirinya merupakan kesan daripada kekuasanNya, yang mana ianya wujud daripadaNya. Maka, tiada wujud bagi perbuatan-perbuatannya kalau tanpaNya. Sesungguhnya wujud itu milik Allah s.w.t. semata-mata, yang mana denganNyalah, sekalian makhluk itu wujud. Sesiapa yang dalam keadaan ini, tidak akan melihat satupun perbuatan, melainkan dia melihat Pembuatnya yang hakiki (iaitu Allah s.w.t.)…"

            Inilah kefahaman para penghulu sufi dan ahli tasawwuf yang benar, berkenaan dengan wahdatul-wujud. Siapakah yang merasa dirinya lebih berilmu daripada Hujjatul-Islam Imam Al-Ghazali r.a. takkala berani menyesatkan kaum sufi hanya kerana tidak memahami maknanya dengan makna yang benar?

Golongan Sufi yang Menetapkan Wahdatul-Wujud Juga Menolak Hulul dan Ittihad

            Tidak dapat dnafikan bahawa, ada dari kalangan manusia yang memahahmi makna Wahdatul-wujud ini dengan makna yang sesat, iaitu dengan makna hulul (Tuhan menempati makhluk) dan Ittihad (Tuhan bergabung dengan makhluk).

            Akhirnya, mereka mendakwa sudah sampai kepada Allah s.w.t. dan mencapai darjat makrifat, lalu mendakwa bahawa dirinya sebagai tuhan, kerana tuhan wujud dalam setiap makhluk. Hasil daripada dakwaan itu, mereka mendakwa diri mereka tidak perlu melakukan syariat dan ketaatan kerana mereka adalah tuhan, atau tuhan wujud dalam diri mereka. Ini suatu kesesatan yang nyata, yang diingkari sendiri oleh para sufi yang benar.

            Para ulama' sufi seperti Imam Ibn 'Arabi r.a., Imam Abdul Karim Al-Jili r.a., Sheikh Ibn Al-Faridhi r.a., Sheikh Ali ibn Wafa dan sebagainya, berlepas tangan daripada fahaman sesat ini, bahkan turut membantah kesesatan ini secara keras.

            Imam Ibn 'Arabi berkata dalam Al-Futuhat pada bab Al-Isra':

            "Sesiapa yang mendakwa akan hulul, bererti dia telah sesat. Ini kerana, orang yang berkata tentang hulul itu berpenyakit yang tidak dapat diubati. Sesiapa yang membezakan antara di antara diri kamu dengan diriNya, maka kamu telah menetapkan dirimu dan diriNya. Tidakkah kamu mendengar sabda Nabi s.a.w. yang berbunyi: "Maka Aku jadi pendengarannya yang Dia mendengar dengannya". Dia menetapkan dirimu dengan menunjukkan dirimu dalam hadith tersebut. Sesiapa yang mendakwa ittihad merupakan orang yang athies, seperti yang mendakwa hulul juga, merupakan orang yang jahil dan melampau. Ini kerana dia menisbahkan hal yang mustahil. Sesiapa yang membezakan dirinya dengan Allah s.w.t., maka dialah yang benar."

            Imam Ibn 'Arabi r.a. juga berkata lagi dalam buku Aqidah Al-Wusto:

            "Maha Suci Allah s.w.t. daripada menempati sesuatu yang baharu, atau sesuatu yang baharu tersebut menempatiNya"

            Imam Al-Ghazali r.a. juga menolak keras fahaman Hulul dan Ittihad ini dengan berkata:

            "Hukuman bunuh seorang daripada mereka (mendakwa hulul dan ittihad) lebih baik daripada membunuh seratus orang kafir kerana kemudaratannya lebih merbahaya kepada agama. "

            Imam An-Nablusi r.a. berkata dalam buku Idhohul Maqsud:

            "Adapun orang-orang jahil, zindiq dan mulhid (athies) yang memahami wahdatul-wujud dengan maksud, bahawa wujud mereka yang baharu pada hakikatnya merupakan wujud Allah s.w.t., dan zat mereka adalah pada hakikatnya zat Allah s.w.t., sehingga mendakwa gugurlah hukum-hukum syariat daripada mereka, maka menyesatkan mereka adalah suatu tindakan yang benar.

"Para ulama' zahir mendapat pahala daripada Allah s.w.t. dalam menesatkan golongan tersebut, dan para arif biLLah dan kaum sufi juga bersama mereka dalam menghukum sesat golongan tersebut, tanpa perselisihan lagi."

            Imam As-Suyuti r.a. sendiri menulis dua fasal dalam menolak kesesatan hulul dan ittihad dalam buku beliau, Ta'yiid Al-Haqiqah Al-'Aliyah.

            Beliau berkata dalam bab fil Ittihad:

            "Seseorang makhluk pun tidak dapat bergabung atau bersatu dengan zat makhluk yang lain, bagaimana pula dia mampu bersatu dengan zat Allah s.w.t.? Ini suatu kemustahilan dan kesesatan yang nyata!"

            Sheikh Mustafa Al-Bakri pula berkata dalam risalah beliau Al-Maurid Al-Azb:

            "Ketahuilah bahawa telah terzahir suatu golongan yang mendakwa diri mereka sebagai ahli makrifat, namun mereka adalah golongan yang sesat, takkala mereka mendakwa, wujud mereka yang baharu, berkadar dan berbatas itu, merupakan hakikat wujud Allah s.w.t. itu sendiri yang qadim. Mereka juga mendakwa bahawa, zat mereka yang baharu pada hakikatnya adalah zat Allah s.w.t. yang qadim. Tujuan mereka menetapkan sedemikian adalah untuk menggugurkan ketetapan hukum ke atas mereka, dan menolak taklif daripada diri mereka, maka merekalah yang wajib dihukum keluar daripada agama, ke atas mereka. Merekalah golongan athies yang durjana. Mereka sesat lagi menyesatkan, kerana mengingkari penciptaan Allah s.w.t. ke atas diri mereka yang baharu, yang jelas menurut syarak, dan menolak syariat Islam itu sendiri.

            "Ini suatu perkataan yang tidak pernah diucapkan oleh sebarang orang jahil, apatah lagi diucapkan oleh orang alim mahupun orang arif….Demi Allah, hendaklah kamu jauhi mereka…"

Wahdatul-Wujud Tidak Menafikan Syariat

            Penghayatan wahdatul-wujud dengan makna sebenar oleh orang-orang sufi tidak membawa kepada sebarang pengakuan bahawa, syariat tidak lagi perlu dilaksanakan. Ini suatu kesesatan yang nyata.

            Wahdatul-wujud justeru dihayati dalam melaksanakan tanggungjawab yang murni, sebagai seorang hamba kepada Allah s.w.t., dengan merasai dan mengakui kewujudan diri sebagai hamba Allah s.w.t, dalam masa yang sama menyaksikan bahawa, kewujudan dirinya yang baharu daripada kekuasaan Allah s.w.t., sehingga zahir rasa kesyukuran kepada Allah s.w.t. yang telah menciptakannya dan telah menggerakkannya ke arah ketaatan kepadaNya.

            Imam An-Nablusi r.a. berkata dalam Khamratul Khan:

            "Orang yang sempurna adalah orang yang menyedari dua bahagian kewujudan. Dia menyaksikan secara berkekalan, akan kewujudan Allah s.w.t. yang azali dan abadi, yang berdiri dengan diriNya sendiri, lalu mengagungkan ketuhananNya, dalam masa yang sama menyaksikan kewujudan diri yang baharu, yang berdiri dengan (kekuasaan) Allah s.w.t. lalu menunaikan tanggungjawab kehambaan kepadaNya."

            Jadi, jika seseorang memahami wahdatul-wujud dengan makna wahdatus-syuhud, iaitu seseorang menyaksikan bahawa dirinya wujud dengan kekuasaan Allah s.w.t., past tidak akan meninggalkan syariat, sebaliknya melaksanakan syariat dalam masa yang sama, bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana mengizinkannya untuk mengamalkan syariatNya. Hal ini seterusnya mengelakkan rasa ujub dalam diri seseorang hamba tersebut.

            Seseorang yang mendakwa menghayati wahdatul-wujud tetapi meninggalkan syariat, ketahuilah bahawa dia telahpun tersesat dalam memahami wahdatul-wujud tersebut dengan kefahaman yang sebenar, dan telahpun berdusta dalam dakwaannya.

            Inilah juga yang gagal difahami oleh (Dr.) Abdulfatah Haron ketika menyanggah buku Kasyf Al-Asrar (semoga Allah s.w.t. memberi kefahaman yang benar kepada beliau dan kepada kita semua, amin).

Wahdatul-Wujud Tidak Menafikan Wujud Makhluk yang Baharu

            Ramai orang yang menuduh sesat fahaman wahdatul-wujud ini kerana kejahilan mereka (termasuklah Dr. Abdulfatah Haron dalam buku sanggahan tersebut), menyatakan bahawa, wahdatul-wujud menafikan ithnaniyat al-wujud (dua jenis kewujudan iaitu kewujudan Allah s.w.t. yang qadim dan kewujudan makhluk yang baharu).

            Sebenarnya, wahdatul-wujud menurut kaum sufi tidak pernah menafikan dua jenis kewujudan, iaitu: wujud qadim (kewujudan Allah s.w.t.) dan wujud baharu, iaitu kewujudan makhluk. Namun, wahdatul-wujud menegaskan bahawa, kewujudan makhluk yang baru tersebut merupakan kesan yang terzahir daripada kewujudan Allah s.w.t. juga kerana wujud makhluk tersebut bukanlah dengan diri mereka sendiri dan bukan juga dari diri mereka sendiri. Namun, wujud makhluk yang terbatas dan baharu bukanlah wujud Allah s.w.t. yang qadim, cuma kewujudan mereka daripada kewujudan dan penciptaanNya. Kewujudan makhluk tidak mutlak, tidak mustaqil (terasing) dan makhluk tidak berdiri dengan diri mereka sendiri, sebaliknya bersandar kepada kekuasaan Allah s.w.t..

            Hal ini samalah seperti kekuasaan makhluk, di mana, kekuasaan makhluk yang terbatas daripada kekuasaan Allah s.w.t. juga, tetapi kekuasaan makhluk bukanlah seperti kekuasaan Allah s.w.t.. Begitulah sifat-sifat yang lain.

            Dua jenis kewujudan tidak pernah menafikan bahawa, wujud yang baharu itu pada hakikatnya daripada wujud Allah s.w.t. yang qadim, tetapi bukanlah wujud yang baharu itu, adalah wujud yang qadim secara zatnya. Kalau bukan daripada Allah s.w.t., maka daripada siapa pula wujud yang baharu itu? Mustahil daripada zat-zat makhluk itu sendiri kerana makhluk-makhluk tidak berdiri dengan diri mereka sendiri.

Wahdatul-Wujud Tidak Membawa Kepada Fahaman Jabbariah

            Jabbariah adalah suatu kefahaman yang menafikan secara mutlak, usaha bagi makhluk, sehingga akhirnya membawa kepada meninggalkan amalan ketaatan. Ada orang yang mendakwa bahawa, wahdatul-wujud membawa kepada fahaman Jabbariah (seperti yang didakwa juga oleh Abdulfatah Haron -hadahuLLah- dalam buku sanggahan beliau tersebut), padahal tidak sedemikian.

            Dalam aqidah ahlus-sunnah wal-jamaah, manusia juga diberi peluang untuk berusaha, sesuai dengan izin Allah s.w.t., bukan seperti fahaman jabbariah yang menafikan usaha secara mutlak. Golongan sufi yang berkata tentang wahdatul-wujud juga menetapkan usaha kepada makhluk, seperti aqidah ahlus-sunnah wal-jamaah.

            Begitu juga dalam penghayatan wahdatul-wujud, di mana seseorang hamba masih lagi melihat dirinya ada ruang untuk berusaha, namun dalam masa yang sama, melihat ruang untuk berusaha tersebut merupakan anugerah daripada Allah s.w.t.. Lalu, mereka sibuk melihat bantuan Allah s.w.t. dalam ketaatan mereka, tanpa menisbahkan ketaatan tersebut kepada diri mereka, dalam rangka menjauhi ujub dan takabbur, dalam masa yang sama, menunaikan makna kesyukuran kepadaNya.

            Imam Al-Qunawi r.a. berkata (seperti yang dinukilkan oleh Imam As-Suyuti dalam ta'yiid al-haqiqah al-'aliyah:

"Maksud sufi daripada tidak melihat amalan diri, iaitu, tidak memerhatikan bahawa usaha ketaatan tersebut daripada diri mereka, kerana lemas dalam menyaksikan bahawa ketaatan tersebut merupakan anugerah daripada Allah s.w.t. kepada mereka."

            Mereka menisbahkan seluruh kebaikan kepada Allah s.w.t. dalam ruang lingkup penghayatan wahdatus-syuhud dan menisbahkan keburukan kepada diri mereka melalui penghayatan ubudiyyah dalam diri mereka. Inilah aqidah ahlus-sunnah wal jamaah.

Kesimpulan:

            Maka, jelaslah bahawa, kefahaman yang sebenar tentang wahdatul-wujud menurut kaum sufi yang benar adalah suatu kefahaman yang murni dan bertepatan dengan aqidah Islam iaitu, melihat seluruh wujud makhluk tidak wujud dengan diri mereka sendiri, tetapi wujud dengan Allah s.w.t. (dengan bantuan dan kekuasaanNya).

            Adapun orang-orang yang jahil yang cuba menyesatkan kaum sufi dalam masalah ini, sebenarnya tidak memahami wahdatul-wujud dengan maknanya yang sebenar menurut kaum sufi itu sendiri.

            Begitu juga, golongan orang yang sesat dalam fahaman wahdatul-wujud dengan mendakwa ketuhanan diri, mendakwa hulul dan ittihad, merupakan golongan yang tertolak di sisi kaum sufi itu sendiri. Kefahaman mereka bukanlah kefahaman kaum sufi terhadap wahdatul-wujud itu sendiri kerana kaum sufi memahami wahdatul-wujud dengan maksud wahdatus-syuhud, bukan dengan maksud hulul dan ittihad.

Rujukan:

·        Al-Qur'an Al-Karim
·        Tafsir Al-Baidhowi
·        Tafsir Ar-Razi
·        Tafsir Pimpinan Ar-Rahman
·        Kitab-kitab Hadith (terutamanya Sahih Al-Bukhari dan Sahih Muslim)
·        Al-Washoya oleh Imam Ibn 'Arabi r.a.
·        Al-Futuhat oleh Imam Ibn 'Arabi r.a.
·        Ihya' Ulumiddin oleh Imam Al-Ghazali r.a.
·        Lafo'iful Minan oleh Imam As-Sakandari r.a.
·        Ta'yiid Al-Haqiqah Al-'Aliyah oleh Imam As-Suyuti r.a.
·        Syarah Hikam Ibn Roslan oleh Imam Zakaria Al-Ansari r.a.
·        Syarah Al-Muhazzab oleh Imam An-Nawawi r.a.
·        Idhohul Maqsud fi ma'na wahdatul-wujud oleh Imam An-Nablusi r.a.
·        Khomrotul Khan oleh Imam An-Nablusi r.a.
·        Al-Maurid Al-Azb oleh Sheikh Mustofa Al-Bakri r.a.
·        Muqoddimah buku Anwar An-Nabi s.a.w. oleh Sheikh Ahmad Farid Al-Mazidi
·        Tahzib Syarah Al-Aqidah At-Tohawiyah oleh Dr. Umar Abdullah Kamil
·        Tahzib Syarah As-Sanusiyah oleh Sheikh Sa'id Fudah
·        Sanggahan Ke Atas Kitab Kashf Al-Asrar oleh (Dr.) Abdulfatah Haron Ibrahim

Sumber : http://mukhlis101.multiply.com/journal/item/185

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...